AnNasru

Pertolongan Hanya DariNya

Arkib bagi Bulan Jun 2008

Arak & Judi Masih Wujud di Negeri Pakatan Rakyat

DIkirim oleh annasru di Jun 30, 2008

Marwazi & Al Maseh    Letih makan angin di Langkawi belum hilang. Naik bas Trans Nasional yang entah keluaran tahun berapa menguji kesabaran. Nasib baiklah lawatan ini ditaja oleh bos.

   Sudah agak lama saya tidak melancong dengan keluarga. Isteri memang lama merengek-rengek ajak berjalan jauh. Peluang ke Langkawi tidak dilepaskan walaupun sebelumnya kami tempah chalet di Sudara Beach Resort. Nasib sempat dibatalkan. Anak-anak tumpang gembira walaupun mereka tak tahu di mana itu Langkawi. Ahmad Al Masih pun tahu sebut kawi kawi. Hak mana tak dengar kata tak leh gi Langkawi. Habis semua ikut kata umi dia.

    Apa perubahan yang boleh dilihat di Langkawi setelah beberapa tahaun lalu saya ke sana.Tidak ada perubahan besar. Dulu saya naik flight ke sana, kali ini naik feri di Kuala Perlis. Nasib baik feri ferinya besar, bimbang saya sejak akhir-akhir ini boleh mabuk kalau dilambung-lambung.

    Premis jual arak masih banyak. Paling sedih bila lihat juru jualnya anak-anak Melayu. Ketika masuk sebuah kedai budak perempuan bertudung sedang melayan pelanggan cina yang mencari wiski. Inilah bahana apabila anak bangsa melayu muslim kita dirosakkan sejak berzaman dengan pemikiran sekular yang masih dipertahankan oleh orang kita.

    Siapa lagi kalau tidak Umno dan Barisan Nasional. Mereka seperti tidak pernah mendengar hadis bahawa semua yang terlibat dengan najis arak adalah berdosa. Tak kira jadi peminum ke, pembekal ke, chaser ke, jaga ke…

    Soalnya kenapa kerajaan baru Kedah yang diterajui oleh PAS hari ini tidak mengambil langkah drastik mengekang penjualan terbuka arak sebagaimana yang dibuat oleh Kelantan. Bukankah apabila turun sahaja ayat pengharaman arak, Sahabat Nabi tidak tunggu hingga habis stok! Diriwayatkan para Sahabat mempunyai simpanan arak yang banyak dalam tempayan-tempayan besar mereka. Alkisah ada seoarng sahabat yang minum arak, kemudian ke masjid. Tentu sahaja dalam keadaan separuh sedar bacaannya entah ke mana. Justeru Allah Taala menurunkan firmannya yang bermafhum : Mereka bertanya kamu (wahai Muhammad) arak dan judi. Katakan keduanya dosa besar, ia ada manafaat pada manusia dan dosa keduanya adalah lebih besar daripada manafaat keduanya.

   Dalam konteks pengharaman judi dan arak dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat kita perlu juga melihat dari aspek politik, sosio budaya masyarakat setempat. Mengambil contoh Selangor sebuah negeri yang dikatakan paling maju dalam Malaysia. Di situlah tersergamnya kilang arak terbesar. Dan ia masih di situ, beroperasi seperti sebelumnya.

   Hakikatnya kita perlu akur bahawa budaya masyarakat Selangor tidak sama dengan budaya orang Kelantan. Kita pasti sekiranya Tok Guru tidak mengambil langkah awal mengekang arak dan judi, rakyat Kelantan akan bangkit. Antara arahan awal yang dikeluarkan “ saya tidak mahu lihat kedai judi dalam bandar Kota Bharu” Lalu para pegawai menyebut bahawa kuasa lesen judi adalah kuasa pusat. Tok guru beri penegasan bahawa belah mana pun dia tidak mahu ada kedai judi di KB.

   Pegawai mengadakan mesyuarat. Dengan ilham Allah, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan premis untuk tujuan judi. Walhasil TOTO, Loteri dan seumpamanya tidak wujud lagi dalam Kota Bharu Bandaraya Islam.

    Tetapi di negeri lain budaya masyarakatnya berbeza. Langkah yang terlalu drastik mungkin tidak menuntungkan dari segi politik. Tetapi sesekali menembak seperti yang dilakukan oleh pemuda Selangor tidak sepatutnya dilihat tindakan yang melampau dan ekstrem. Mereka pemuda Islam yang punya tanggungjawab terhadap agama dan parti mereka. Kalau diam dan lihat sahaja segala kemungkaran di hadapan mata suatu yang tak kena juga.

    Apapun kita serahkanlah segala kebijaksanaan pimpinan. Kalau jelas ia bertentangan dengan dasar maka kita tegurlah secara berhikmah. Tetapi sekiranya ia hanya suatu prinsip, pendekatan dan strategi akurlah setakat yang kita boleh akur. Selebihnya baiklah kita diam daripada menembak tak tentu hala yang akhirnya tidak menguntungkan jemaah juga.

Dikirim dalam Siasah | 1 Komen »

Wacana Perdana : Berjaya dan Mengesankan

DIkirim oleh annasru di Jun 22, 2008

Berjaya, puashati dan mengesankan. Itulah yang dikatakan oleh rata-rata audien Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang berlangsung pada 21 Jun lepas di Balai Islam Kota Bharu. Wacana Perdana yang dikendalikan moderator YB Ahmad Baihaqi Atiqullah ternyata hidup dengan menggunakan format ahli panel bebas mengemukakan pandangan dengan tidak terlalu terikat dengan soalan. Pada satu-satu ketika moderator memberi peluang kepada panelis untuk segera respon kepada kenyataan rakan panelis lain. Profesor Dr. Aziz Bari beberapa kali mendapat tepukan gemuruh apabila menyebut tentang jangkaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September, lebih cepat daripada tarikh itu adalah lebih baik. Dalam keadaan markah lulus Pakatan Rakyat hari ini lebih tinggi daripada Barisan Nasional, maka menjadi cabaran kepada PR untuk terus merubah landskap politik negara.

Sohibu Samahah Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam muqadimah pusingan pertama mengingatkan tentang sejarah manusia tidak seharusnya lupa apabila diberi kuasa. “Saya tidak bimbang dengan Kelantan kerana rakyatnya menghayati firman Allah yang bermaksud : orang-orang yang sekiranya mereka diberi kekuasaan di muka bumi, mereka mendirikan solat, dan mereka mereka menunaikan zakat, dan mereka menyuruh yang maaruf dan mereka mencegah mungkar.” Menurutnya kita jangan terlalu gembira dan seronok dengan kekalahan orang lain, tetapi bagaimana kita mengisi kemenangan. Beliau juga menerima tepukan apabila secara sinis mengulas Islam Hadhari. Prinsip yang terkandung dalam Islam Hadhari asasnya baik, tetapi pelaksanannya yang perlu mengikut acaun yang sebenar berteraskan Al Quran dan Hadis.

Ketika beliau melahirkan kebimbangan tentang nasib umat Melayu Islam di Pulang Pinang ianya disambut oleh YB Saifudin Nasution Ismail, panelis ketiga dengan menyebut bahawa kebimbangan itu bukannya baru dengan memberi beberapa contoh nasib melayu muslim yang terpinggir di bawah pemerintahan parti Gerakan. Menyentuh apa yang disinggung oleh Dr. Asri dengan dasar tender terbuka, Saifudin mempersoalkan apakah kita mahu terus dengan dasar tender tertutup yang rata-ratanya diperolehi oleh kroni pimpinan Umno termasuk kerabat Perdana Menteri sendiri.

 

Pusingan kedua wacana menjadi lebih hangat dengan penglibatan audien dengan soalan-soalan yang mengamatkan dewan yang penuh dengan orang ramai itu

 

Ternyata Wacana Perdana Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang didahului ucapan YB Dr Fadzli Dato Hassan selaku ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tayangan dokumentari wawancara Global Media Channel membawa damensi baru dalam menampilkan sikap telus dan keterbukaan kerajaan Kelantan yang diterajui oleh PAS.

 

Oleh : Nasruddin Mahmud Muhaidin (Setiausaha Wacana Perdana)

 

 

Dikirim dalam kerajaan | Leave a Comment »

Kota Bharu pun suramm…

DIkirim oleh annasru di Jun 20, 2008

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang berlangsung hari ini (Jumaat 20 Julai) lebih kurang dengan suasana Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang saya ulas sebelumnya. Selain faktor hari Jumaat rata-rata perwakilan hadir sebagai memenuhi perlembagaan Parti Islam Se Malaysia yang mewajibkan PAS peringkat kawasan-kawasn mengadakan MAT.

Sekali lagilah kita perlu akur bahawa inilah suasana lazim yang berlaku setiap kali berlalu pilihanraya yang mencatatkan kemenangan yang besar bagi kita.

Perwakilan sendiri seperti berkejaran apabila Pengerusi Tetap Tok Imam Kob (skor pengendalian Amat Baik) mengingatkan bahawa hari ini adalah Jumaat.

Mesyuarat digemparkan ketika agenda pembentangan kewangan tahunan. Seorang perwakilan bangun mencadang sekaligus menyokong laporan kewangan sebelum Bendahari membentangnya!! huhuhu

Dalam banyak senario perbincangan hari itu saya hanya ingin menyentuh rasa tidak puas hati muslimat kerana montaj Rangkuman Lensa Pilihanraya Umum ke 12 yang ditayangkan seperti meminggirkan muslimat hanya kerana tiada gambar muslimat. Walaupun montaj itu adalah idea dan design bersama saya dan anak buah si Syamim budak siber itu, saya pasti bukan saya yang menjadi fokus kritikan muslimat. Siapa lagi kalau tidak sahabat saya si budak buas itu. Heee..pukul 3 pagi baru boleh pejam mata tidur di Grand River View.

Kami bukan berniat meminggirkan muslimat tersayang. Aduhai…kebetulan lensa kamera saya tidak terfokus kepada program muslimat kerana kami pemuda menumpukan kepada DUN Bunut Payong. Maaf saya tidak berkesempatan hadir program muslimat lewat PRU lalu. Keduanya saya lekat kuong kata orang Kelate. Waktu di Mesir, kami pelajar tak terbiasa (bahkan terlarang) muslimin ambil gambar muslimat dan sebaliknya. Jadi saya terlekat dengan tabiat tersebut.

Cuma dalam MAT tadi saya mula menghalakan kamera digital milik Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang saya usung itu kepada muslimat. Insyaalah lah lepas ni akan ada gambar muslimat dalam mana-mana montaj pemuda KB.

Apapun terima kasih kepada Cik Na di atas teguran, keperihatinan dan sikap ambil tahunya. Moga ia menjadi pengajaran bagi saya dan orang lain bahawa jiwa muslimat perlu dijaga..sensitivitinya cukup-cukup tinggi…

Dikirim dalam Siasah | Leave a Comment »

Muktamar yang Suram?

DIkirim oleh annasru di Jun 16, 2008

suram pun ceriaSidang perwakilan dan hadirin perasmian  Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang berlangsung pada 14 Jun 2008 di Hotel Grand River View terpegun dengan ucapan perasmian yang disempurnakan oleh sdra. Azman Syafawi Abdul Rani, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

 

Bagi saya yang belajar di Kaherah sudah biasa mendengar ceramah lepasan pelajar Universiti Kaherah itu. Biar pun latar belakangnya bukan berpendidikan agama, beliau tetap dipanggil al fadhil ustaz sebagaimana yang disebut oleh YB pengerusi muktamar hari itu. Namun saya tidak bercadang untuk mengimbau kembali lewat pidato klon Dato’ Seri Presiden itu. Entahkan klon ke berapa daripada sekian klon-klon Dato’ Seri Presiden PAS

 

Rata-rata audien sidang muktamar menyebut bahawa tiada yang menarik perhatian pada sesi Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kali ini. Senarionya tampak lesu, penyertaan dalam perbahasan yang kurang dan usul yang diterima untuk dibahas tidak dibahas.

 

Apakah menjadi syarat suatu muktamar perlu dihangatkan dengan isu-isu yang sengaja ditimbulkan. Atau pun wajib ada cerita-cerita humor yang boleh mengeletek perut yang kekenyangan di Grand River View ?. Isu-isu yang dikemukakan oleh sahabat-sahabat pemuda sudah memadai. Sense of humor Pengerusi Tetap sudah berbaloi. Tinggal lagi apakah plan action yang bakal dipacu oleh kepimpinan.

 

Kalau ditanya sidang muktamar isu apakah yang sepatutnya diketengahkan untuk menjadikan muktamar hangat dan bertenaga. Saya rasa jawapan yang akan diberi juga tidak pasti atau tidak tahu.

 

Memang benar pemuda perlu bersifat agresif dan tebolah. Namun bagi saya isu program tarbiah yang berada di tahap minima dan pemerkasaan Pentas Pemuda adalah antara pandangan perlu diambil serius. Ustaz Azhar Satar, wakil Pengkalan Chepa terusan dengan penampilan seperti sebelumnya. Saya kenal beliau di Mesir. lazimnya saya teruja bila bersamanya dalam mana-mana mesyuarat. Pandangan yang diberi bernas dan penuh pengalaman walau pun kadang-kadang terasa sedang mengigit lada Sudan. Sebenarnya empirikal sahabat banyak membantu saya mengurus Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM). Tidak keterlaluan kalau saya kalungkan beliau sejambak bunga plastik kerana mempertahankan identitinya yang berani, pedas, menyekik, berterus terang walau pun kelihat gaban dan robust. Saya pasti ustaz Azhar akan menjadi sejarah dalam pemuda negeri dan kehilangannya kelak bakal dirasai.

 

Yang pasti kita sebagai ahli jawatan kuasalah yang perlu sama-sama memperkasakan lajnah yang kita disenaraikan dalamnya. Kitalah yang wajar mengimplemtasikan pandangan-pandangan yang kita sendiri lontarkan. Bukannya sekadar memberi pandangan, tetapi apabila ditaklifkan, maka kitalah yang kerap masuk senarai absent biduni izni.

 

Apa pun tahniah kepada sof kepimpinan pemuda negeri. Demi survival pemuda yang menjadi sayap kepada jamaah aku mempertaruhkan jiwa dan ragaku. Selagi Allah mengurniakan tenaga dan kekuatan kepadaku, aku rela diguna dan dipergunakan untuk kepentingan jamaah walaupun siapa yang memimpin pemuda. Sesungguhnya hidup dan matiku adalah untuk jemaah.

 

DON’T FORGET 5TH OF JULY ’08 AT KL. 

KITA SEMARAKKAN WARNA MERAH DI JALANAN

 

Dikirim dalam Siasah | Leave a Comment »

Perubahan Panelis Wacana Perdana

DIkirim oleh annasru di Jun 10, 2008

1. YB Saifudin bin Nasution ( Ahli Parlimen Machang)

2. S.S Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin (Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

3. Dr. Aziz bin Bari (Professor Undang-undang di UIAM) 

Dikirim dalam Uncategorized | Leave a Comment »

WACANA PERDANA 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat

DIkirim oleh annasru di Jun 4, 2008

WACANA PERDANA

100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat

Merubah Lanskap Politik Negara

Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat akan di adakan pada 21 Jun 2008, bertempat di Balai Islam Kompleks Darul Naim Lundang Kota Bharu, jam 9 malam.

Ahli penel yang akan mejayakan Wacana Perdana tersebut ialah , Dato’ Hj. Husam Musa (Naib Presiden PAS)S.S Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Kerajaan Perlis) dan Raja Petra Kamaruddin (pengendali blog Malaysia Today). Manakala moderator ialah YB Ustaz Hj. Ahmad Baihaqi bin Hj. Atiqullah.

Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat adalah anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Akhbar Harakah dan Siasah, Akhbar Sinar Harian, Kelantan TV dan Global Media Channel Sdn. Bhd

Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat dapat disaksikan secara lintas langsung di http://ipglobal.tv/ dan http://www.kelantan.tv/

 Satu dokumentari khas wawancara 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat juga akan ditayangkan. 

Dikirim dalam Siasah | Leave a Comment »