AnNasru

Pertolongan Hanya DariNya

Arkib bagi Bulan Julai 2009

Genap Setahun (Siri 2)

DIkirim oleh annasru di Julai 19, 2009

Kadang-kadang saya dipanggil Pegawai Khas (PK). Terkadang pula digelar PA (Pembantu Am). Pada masa yang lain mereka menyebut setiausaha, termasuk setiausaha politik kepada bos saya. Saya tak kisah, lantaklah nak panggil apa pun. Gelaran muluk-muluk hanya sekadar menyedapkan halwa telinga yang akhirnya tetap sirna dimamah buana!

Pegawai Khas adalah jawatan yang termaktub dalam perjanjian profesyen saya. Sebagai Pegawai Khas (PK), tugas-tugas banyak dibantu dan dijalankan oleh Pembantu Am Puan Nik Norma yang lebih mesra panggilan Kak Ma.

Saya membantu bos saya dalam aspek berkaitan dengan potfolio beliau, kerajaan tempatan, pelancongan dan kebudayaan.

Kerajaan tempatan menuntut saya banyak berhubung dengan majlis perbandaran dan majlis daerah. Manakala dalam pelancongan dan kebudayaan saya banyak berurusan dengan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC).

Cuma saya akan jadi kenalin (gabra) kalau-kalau bos minta saya menggantikan beliau untuk acara rasmi yang besar. Setakat ini alhamdulillah saya selamat.. Bukan saya tidak mampu untuk berucap atau memalu gong gimik pelancaran, tetapi saya tidak berminat bila nama saya disebut-sebut dan keluar akhbar! Apalah ada pada sebuah nama. Populariti? Kemasyhuran? Lainlah kalau saya punya cita-cita siasi yang merabung langit. Hehehe. Takut cari glamour orang kata nak jadi tok wakil pulak!

Kalau ada pun saya beberapa kali menggantikan beliau untuk program Ladang Rakyat yang lebih bersifat lokaliti yang juga sepatutnya diambil alih peranan oleh pegawai khas ADUN Bunut Payong di pejabat DUN.

Kadang-kadang memang saya merasakan saya seperti benar-benar pembantu peribadi beliau, terutama ketika mengikuti majlis-majlis rasmi. Kendatipun, sumpah!!! saya tidak pernah mengambil tahu urusan kehidupan peribadi beliau, biar pun ada masanya bos saya bercakap dengan saya seolah-olah saya tahu serba serbi tentang dia. Huhuhu!

Sudah beberapa kali saya membuat ucapan untuk beliau. Selalunya beliau tidak membacakan sepenuhnya teks bikinan saya, bahkan satu pun tak diambilnya, tapi yang pasti beliau memetik ayat Al Quran atau Hadis yang saya sediakan. Saya bertanggung jawab memastikan persiapan berjalan lancar, siapa yang akan hadir, bagaimana agenda program, apa yang seharus dan apa yang tak sewajarnya.

Suatu waktu saya benar-benar belajar dari Dato Taki. Kalau dia minta saya selesaikan suatu urusan yang penting dan bersifat segera, pagi diarah, tengahari terus ditanya (follow up). Sekali lagi alhamdulillah, setakat ini saya tidak gagal dalam melangsaikan tugasan. Paling kurang saya punya jawapan yang boleh memuaskan bos saya. Contohnya “telefon doh, tok angkat!”

Saya tidak menganggap saya adalah setiausaha politik beliau. Pertamanya kerana saya terlalu kerdil dalam ilmu siasah berbanding beliau. Jauh untuk mencorak dan mempengaruhi minda politiknya. Justeru, saya hanya membantu DUN mengatur program beliau bersama rakyatnya di Bunut Payong. Itu saya anggap sebagai membina imej politiknya yang tampak mencakna rakyat. Kematian atau ada orang sakit, saya dan pejabat DUN yang bertanggungjawab memaklumkan. Antara khuluk resam prioriti Nabi adalah melawat orang mati dan menziarah orang sakit.

Ada sumber menyebut saya seperti kebisingan (tak puas hati?) bila bos saya tidak dilantik semula sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan. MasyaALah!!! Saya tidak pasti dari mana sumber itu dan saya tidak berminat untuk mencari puncanya. Lebih baik diam dan akur dengan cakap-cakap orang. Formula saya, lama-lama ia kan hilang. Sebagaimana molekul kabus yang akan luput diserap rawi, maharaja siang.

Mungkinkah ia kesan daripada tulisan saya dalam blog interaktifbp.blogspot.com yang postingnya bertajuk Tidak Dikekalkan. Salahkan saya melaporkan suatu fakta yang benar. Biarlah… saya perlu memaghlikan diri dengan cakap kalam begitu.

Rupanya zaman sekarang berterus terang bukan bermakna boleh membuat semua orang akur dan faham. Tapi saya akan terus dengan prinsip saya. Berterus terang dan terus berterus terang kerana saya yakin berselindung, celika, menyembunyi kelak akan menyerlahkan sikap hipokrit dan tidak ikhlas. Kalau nak diambil kira tahap kebisingan tidak puashati dengan keputusan Muktamar Agung lalu, rasanya frekuansinya lebih tinggi!! Cukup!!! Enoungh is enough!! Nanti saya dicap pula pendokong perpaduan! Hahaha!

Ya. Atas kapasiti saya sebagai Pegawai Khas kepada seorang exco kerajaan negeri, tentu sahaja saya bertanggungjawab untuk mengurangkan beban bos saya. Apa boleh diselesaikan sendiri, akmal sahaja tanpa merujuk kepada beliau. Jika ditegur, saya anggap mengajar. Kalau diam mungkin tandanya redha… Hendak berlebih tidak sekali…

Saya meletakkan matlamat agam saya berkerja untuk ad din dan demi Tuhan. Dengan cara itu saya menghindarkan diri berkerja semata untuk manusia. Tiada apa nilai keringat, hasil kerja saya di sisi Allah jika nawaitu saya tersasar dan menyekutu.

Kalau pun saya membantu manusia, matlamatnya kerana Allah Taala. Bukankah itu dituntut syariat. Lantas kerja saya menyalin jadi satu pengabdian kepada Al Khaliq (ubudiyyah) yang mutlak kepada Sang Ilahi.

Seandainya ketua saya melakukan kesalahan dan kesilapan, apakah perlu saya menyiakannya atau sekadar menutupinya. Tidak!!! Kerana jika saya memilih tariq itu, maka saya melalui jalan dosa dan mendorong saya ke neraka. Wa nau’zubillah min zalik!

Saya ada lagak pendekatan sendiri yang tidak perlu saya war warkan kepada khalayak. Saya tidak mahu menjadi manusia assobiyah yang menyebabkan saya jadi bolor dan penasaran. Benar kata sabdaan Baginda mafhumnya

“Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Anda perasan dengan entri saya kali ini? Sebenarnya saya sedang menekuni novel (novel pertama yang saya baca tahun ini) Mengintai Cinta Khalifah karya A. Ubaidillah Alias, rakan junior saya yang akan berkhidmat di PKINK awal Ogos ini. Sesekali bersastera terasa gurih juga.

Dikirim dalam Inilah Saya | 6 Komen »

Bila Tun Dollah Bersuara

DIkirim oleh annasru di Julai 17, 2009

ISA
Mantan Perdana Menteri paling lemah, Tun Abdullah bersuara lagi. Suara yang nadanya mula meniru gaya mantan PM paling berkuasa, Tun Mahathir. Abdullah selepas melepaskan jawatan berjanji tidak akan mengganggu kerajaan baru PM Najib, PM paling kontroversi. Bersuara tidak semestinya menganggu. Bersuara memberi pandangan dan pendapat. Pandangan dan pendapat tidak semestinya sentiasa pro dan bersifat mengacau.

Namun pandangan supaya memansuhkan ISA daripada seorang bekas PM, adalah suatu pandangan yang kalau pun tidak melucukan, menyerlahkan kembali kelemahan beliau sewaktu memegang tampuk kuasa.

Abdullah dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan perlu membuat suatu langkah berani dengan memansuhkan akta maha zalim itu. Bermakna bahawa zaman beliau merupakan zaman tak berani dan takut untuk memansuhkan ISA.

Beliau terang-terangan menganggap bahawa ISA dipergunakan untuk tujuan politik parti pemerintah sedangakan masa beliaulah yang memberi penegasan bahawa ISA bukan sahaja tidak akan dimansuh malah cadangan untuk dikaji juga ditolak dengan angkuh.

Tak usah berlagak nak jadi mentorlah Tun Lah. Tak ada siapa yang akan dengar salakan Tun. Lagikan masa Tun jadi PM pun Tun dijolok-jolok agar cepat gugur, inikan pula Tun duduk di luar kandang.

Tun hanya ada dua pilihan. Kalau Tun nak bina semula imej yang bergelar PM paling terlesu, Tun kena sertai Pakatan Rakyat dan lawan habis-habisan kezaliman Barisan Nasional sekarang.

Atau lebih baik Tun jaga saja orkid-orkid dengan Tun Jeane di rumah!

Jom Tun Lah! Join kami 1 Ogos ini!

Dikirim dalam Santai | 1 Komen »

Iktibar Uhud dan MU

DIkirim oleh annasru di Julai 16, 2009

وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ وَتِلْكَ الأيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاء وَاللّهُ لاَ يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim,

وَلِيُمَحِّصَ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ وَيَمْحَقَ الْكَافِرِينَ
Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir

Saya teringat kembali kepada posting saya sebelum ini 14 Jun 2009 lalu:
entri Ya Allah Selamatkan Jemaah Ini

Ya Allah!! Jangan hendaknya fenomena ini kelak akan memberi kesan kepada Manek Urai yang akan menghasilkan suatu yang di luar dugaan kami!! Nau’ zubillah!

IKTIBAR UHUD

Peperangan Uhud menyaksikan kekalahan tentera Allah pimpinan Rasulullah. Allah mengajar dan memberi pengajaran kepada Sahabat dan tentera Allah. Jangan leka dengan kemenangan yang telah dicapai dalam peperangan sebelumnya. Jangan bersengketa sesama sendiri dan menyalahi pimpinan (tidak wala’).

Jangan leka dengan kemenangan sehingga pergantungan kepada Allah kembali menurun. Agenda munajat seperti dilaksanakan secara adhoc dan tiada penekanan. Walau pun tidak semesti dilaksanakan secara jame’i,

Ketika mana saat hampir kemenangan tentera Uhud, Yang Mulia Panglima Perang (SAW) menitahkan arahan agar tentera berada di posisi masing-masing.

Sahabat teruja dengan kemenangan dan dan teruja melihat habuan di hadapan mata.

Saya sesekali tidak mengatakan Sahabat gelap mata dengan ghanimah. Mereka menerpa kepada harta rampasan bukan dengan hasrat berebut untuk di bawa pulang ke rumah masing-masing. Bukan untuk menggantikan atap yang sudah sedia ada elok. Bukan untuk menukar papan rumah yang sudah sedia utuh.

Mereka mengambil dan membawanya pulang kepada Allah dan RasulNya.

Cuma mereka terkhilaf dengan arahan menyebabkan musuh kembali mengatur strategi.

Namun Allah itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani lagi Maha Mengetahui. Allah Taala tidak menyalahkan tentera Islam, apatah lagi pimpinan perang. Allah memulih semangat tentera Islam dengan firman motivasi yang cukup tinggi. Kamu lebih mulia dengan syarat kamu komited dan istiqamah di atas jalanNya. Jalan sebenar orang-orang mukmin.

Uhud adalah medium Allah melontar ujian dan menapis para amilin pejuang Islam. Manakah orang yang benar-benar beriman. Siapakah mereka yang benar-benar ikhlas berjuang di jalanNya tanpa ada kepentingan. Manakah orang yang kufur melawan Allah dan RasulNya.

Redha dan Akur

Kita akur dan menerima keputusan Pilihanraya Kecil N.41 Manek Urai. Ya.. menerima bahawa kita menang tipis dan BN kalah tipis. Itu adalah ketentuan langit yang terusan mengajar dan menguji.

Ketika pemilihan Muktamar Agung PAS 55 saya redha menerima keputusan walau pun beberapa calon pilihan naluri saya tidak terpilih. Saya perlu akur kerana kerana saya belajar dan diajar supaya menerima keputusan syura.

Lagikan mesyuarat cawangan kita diajar akur keputusan, inikan pula Muktamar Agung parti Islam. Lainlah jika ahli syura bias dan tidak menepati kretria. Huraian bias dan kretria anda semak sendiri dalam kitab-kitab muktabar..

Saya tidak berhasrat untuk membincangkan faktor yang disebabkan oleh strategi dan janji lawan, Umno Barisan Nasional.

Faktor-faktor strategi BN anda boleh baca sendiri lewat kenyataan-kenyataan pimpinan PAS.

Bagaimana BN mendakwa membina kembali kekuatan mereka anda boleh dengar daripada pemimpin BN.

Manek Urai

Manek Urai….Mana zikir yang lazim menjadi amalan
Manek Urai….Arahan puasa dipandang mudah dan ringan
Manek Urai….Isu-isu aqidah tidak menjadi prioriti
Manek Urai….Politik dalaman terbawa-bawa ke arena
Manek Urai….Kenyataan tersembur tidak mencerminkan sikap rendah diri
Manek Urai….Ambil peluang dengan kebendaan yang lagak keterlaluan
Manek Urai….Politik mengatasi dakwah dan tarbiah

Itulah sebahagian daripada pandangan kaca mata saya berharga murah. Sebahagian yang lain rasanya tak perlulah saya warwarkan…biarlah saya simpan…

Dikirim dalam Siasah | 4 Komen »

Genap Setahun

DIkirim oleh annasru di Julai 12, 2009

kota darul naim
Sedar tak sedar genap setahun saya berada di Blok 1, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK). Saya sendiri tidak terduga bahawa saya akan menghuni di Kota Darul Naim yang sememangnya saya punya nastoglia sewaktu zaman kecil saya. Biarlah saya bercerita sedikit. Sambil-sambil rehat kerana tiada tugas di Manek Urai ini. Ya, mungkin kerana gerak kerja kami Pasukan Pembantu Kota Bharu yang bermula cukup awal, maka banyak banyak perancangan selesai. Alhamdulillah.. Tinggal lagi kuasa Allah yang menentukan. Insyaalah dengan nawaitu kita yang Ikhlas berjuang kita akan peroleh kemenangan lagi esok.

Kampung saya dengan Kota Darul Naim hanya sekitar 2 kilometer sahaja. Selain disebut Kg. Paya Senang dan Telipot, kami kadang-kadang menggunakan alamat Kg. Puteh untuk urusan surat menyurat. Kg. Puteh inilah lokasi Kota Darul Naim. Mengikut cerita ayahanda saya, Kg. Puteh mendapat namanya kerana kawasan ini menjadi penempatan dan perkampungan British sewaktu menjajah Malaya dalulu. Fakta ini diperkuatkan, jika anda pergi ke kawasan perumahan Raja Dewa, anda akan temui masih ada lagi rumah-rumah yang mempunyai reka bentuk keinggerisan. Sayangnya kerajaan negeri juga dalam perancangan meruntuhkan monumen-monumen itu untuk dibangunkan projek baru.

Kawasan Kota Darul Naim itu dahulu adalah tempat saya ‘berderat’ (istilah Kelantan yang membawa maksud berjalan-jalan tanpa ada tujuan yang jelas). Kawasannya cukup redup dan cantik dengan pokok-pokok besar, pokok bambu dan rumah-rumah dekorasi Inggeris yang menarik dan menyamankan.

tempat jatuh lagi dikenang..

tempat jatuh lagi dikenang..


Taman Indera Putra (yang lebih dikenali dengan taman medan oleh penduduk setempat) adalah tempat saya dan adik-adik bermain ketika dibawa oleh ayah. Di situ ada sebuah mini perpustakaan. Bahkan waktu-waktu senggang saya bersama sahabat saya Faiz mentelaah dalam taman itu.

Itulah yang dapat saya gambarkan secara ringkas Kg Puteh, kampung kecintaan dan kelahiran saya yang semakin pesat mengalami proses urabanisasi.

Kini saya berada di dalam kota tinggalan kerajaan Umno itu. Ah! Bukan hak Umno, hak rakyat. Dalam bilik berhawa dingin yang aircondnya kadang-kadang bermasalah, saya menjalankan tugas sebagai Pegawai Khas kepada YB Dato’ Hj. Takiyuddin bin Hj. Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Suatu realiti yang juga tidak terduga oleh saya. Inilah antara keputusan berani yang pernah saya buat dalam hidup saya dalam keadaan saya sudah mempunyai karier yang agak selesa di Yayasan Islam Kelantan.

Ada sahabat memberi komen terkejut, “Enta urus seni dan kebudayaan??”

Memang dari dahulu saya tidak terlalu memikirkan masalah karier dan kewangan. Berbohonglah saya kalau tidak ambil kira lansung pasal wang. Macamana nak survive dan nak makan kalau tak dok pitih. Tapi percayakah anda, saya tidak bekerja selepas setahun menamatkan pengajian, sedangkan masa sama saya sudah mempunyai seorang anak! Kesimpulan yang ingin saya kongsi bahawa rezeki semua datangnya dari Allah!

Bulan lepas saya ditawarkan jawatan pegawai latihan di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Tawarannya agak menarik, tapi saya dengan baik menolak. Saya rasa agak selesa dan bebas dengan jawatan lantikan politik yang saya sandang ini. Saya punya banyak masa untuk menyalur khidmat kepada jemaah yang saya sayangi. Saya bukan orang politik, saya orang jemaah! Beza tu..
makyong
Saya punya beberapa harapan dan hasrat dalam membangunkan seni budaya dan pelancongan Negeri Serambi Mekah ini. Tapi hasrat saya belum tercapai dan ia bukanlah mudah. Mungkin sudah wujud pelancongan ibadah (ibadah tourism) di Kelantan, tetapi ia masih di tahap minima dan tidak dikomersial sepenuhnya. Sekolah-sekolah agama dan pondok-pondok adalah antara produk ibadah tourism. Qaryah Ramadhan yang saban tahun diadakan di perkarangan stadium menjadi acara kalendar pelancongan Kelantan, negeri berbudaya. Lebih daripada itu budaya rakyat Cik Siti Wan Kembang yang masih menebal sentimen keagamaan mereka sebenarnya adalah produk yang tidak ternilai bagi negeri Di bawah Tadahan Wahyu ini. Itulah produk paling berharga yang ada pada Taman Serendah Sekebun Bunga ini.

Saya cuma mengharapkan bahawa setiap kegiatan seni budaya yang diadakan turut diwacanakan dengan fokus sisi perspektif Islam. Kita hanya adakan himpunan 1000 pendikir, langkah 1000 pesilat dan paluan 1000 gendang, tetapi kita tidak selitkan sama program-program yang bersifat ilmiah seperti forum, diskusi, ceramah dan seumpamanya yang membincangkan secara serius dari sudut Islam.

Hiburan yang bagaimana diharuskan, mengapa dan kenapa diharuskan. Demikian juga kesenian bagaimana yang ditolak Islam. Kenapa dan mengapa ia ditolak dan tidakkah ada suatu kaedah untuk mengharuskannya. Mengapa dikir barat yang suatu waktu dahulu diharamkan kemudian dibenarkan. Persembahan makyong sampai sekarang tidak dibenarkan, sedangkan elemen muzik yang digunakan hampir sama. Tidak bolehkah watak wanita yang menjadi faktor utama ia diharamkan ditukar kepada watak lelaki. Kalaulah ia boleh menghakis tohmahan bahawa Kelantan membunuh seni budaya Kelantan…

Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan perlu diperhalusi dan disebarluaskan maklumatnya kepada pengiat seni dan masyarakat awam. Biar mereka faham dan menghayati mengapa enakmen itu digubal mengikut lunas membangun bersama Islam.

Bagaimana untuk memastikan ia menarik khalayak untuk join program bergantung kepada strategi, inovasi dan kreativiti. Ya, bukan mudah untuk menarik kelompok manusia seni untuk komited program ilmiah seumpama itu.

Sebenarnya banyak lagi Ayah Su nak cerita tentang kerjaya Ayah Su… Itu belum masuk hasil kerja seni ayah Su.. Lainlah kalilah Atiqah…Salimah ayang yeee!!

Dikirim dalam Inilah Saya | 4 Komen »

Kalaulah wakil-wakil rakyat selalu turun…

DIkirim oleh annasru di Julai 9, 2009

Gambar hiasan..

Gambar hiasan..

Petang tadi saya mengikut YB Ustaz Ahmad Baihaqi, ADUN Pasir Tumboh merangkap Ketua Penerangan PAS Kelantan ke kawasan agak pendalaman di Manek Urai. Ada perlawanan persahabatan antara Ahli Parlimen dengan penduduk setempat di Chucuh Putri.

Antara yang membarisi pasukan ahli parlimen ialah YB Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) YB Dato’ Cikgu Rahim (Kota Bharu), YB Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), YB Ustaz Mohd Firdaus Jaafar (Jerai), YB Ustaz Nasir Zakaria (Padang Terap), YB Ustaz Mohd Husin (Pasir Puteh). Turut beraksi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah. YB Solahudin Ayub (Kubang Kerian) dan Yb Ustaz Latif Abd Rahman (ADUN Mengkebang) hadir sebagai penonton dan menyampaikan hadiah cabutan bertuah. Saya tidak merakamkan lensa gambar aksi-aksi wakil rakyat tersebut yang berkesudahan Pilihan MU mengatasi Ahli Parlimen 3-1.

Apa yang ingin ulas ialah bagaimana ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat ini boleh bersama rakyat dalam suatu program yang mesra dan santai. Walau pun tidak ada acara khusus yang lebih mendekatkan mereka dengan rakyat setempat, selain daripada cabutan bertuah, kehadiran wakil-wakil rakyat parlimen petang tadi membuktikan mereka boleh turun bersama rakyat.

Esok ada satu lagi program ahli parlimen dan kelab penyokong Dewan Undangan Negeri Kelantan di Balai Islam Sg. Peria. Program jamuan teh.

Saya terfikir kalaulah program-program seumpama ini menjadi agenda rutin wakil-wakil rakyat kita, tak kira parlimen mahu pun negeri..

Dengan sejumlah besar wakil-wakil rakyat kita, tidak bolehkah mereka turun sekali sahaja (paling minima) dalam setahun untuk satu-satu tempat yang dirancang.

Saya bukan nak berlagak pandai, tapi merasakan sekiranya cara itu diimplentasikan di seluruh negara, kerja-kerja kempen kita menjadi lebih ringan untuk masa-masa akan datang dan tentunya rakyat yang mengharap untuk bersama dengan wakil-wakil rakyat mereka akan merasa dekat dengan pemimpin mereka. Tidak sekadar ketika pilihahraya seperti di Manek Urai ini.

Sekian, hamba sekadar memberi pandangan.

Dikirim dalam Dedikasi | Leave a Comment »

Abe Uji: Mewarisi Kepimpinan Tok Guru

DIkirim oleh annasru di Julai 2, 2009

abeuji
Membangun Bersama Islam
Islam Memimpin Perubahan
Tok Guru Memimpin Manek Urai Berkat
Abe Uji Calon Kita
Pewaris Kepimpinan Tok Guru

Abe Uji
* Mesra rakyat, cakno masyarakat
* Merendah diri, tidak sombong
* Berperwatakan menarik, pengamal sunnah

Dikirim dalam Dedikasi | Leave a Comment »