Pada tahun yang lain ketika kunjungan Ustaz Yahya Othman ke Mesir kami mengurus dan mengatur pertemuan dengan pihak yang berkenaan sebagaimana yang diarah pihak kerajaan negeri. Ketika itu saya memangku jawatan Setiausaha Keluarga Pelajar-pejalar Kelantan Mesir (KPKM). Tentu sahaja rombongan adalah rasmi dari pihak kerajaan negeri, kami merujuk kepada pihak kedutaan Malaysia di Kaherah. Salah satu desitinasi ialah Majlis Pendidikan Tinggi Mesir (MPTM). Lantaran kami belum mengenali lokasi pejabat MPTM, saya maklumkan masalah itu kepada pihak kedutaan. Persetujuan diberi bahawa mereka akan menjemput kami di Asrama Kelantan. Pada hari yang ditetapkan sebagaimana dijanjikan, kami menunggu di Rumah Kelantan. Menunggu, namun pihak kedutaan tidak muncul. Masa semakin suntuk, pihak kedutaan tidak sampai dan gagal dihubungi. Saya mula berpeluh gelisah. Ustaz Yahya memutuskan kita bertolak ke kedutaan. Kesesakan jalanraya di bandaraya Kaherah yang penduduknya 20 juta itu menyebabkan masa kami berlalu di atas kubri (fly over). Sampai di kedutaan, di Tahrir, kami terus bertemu dengan pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (JPM). Beliau berberapa kali melahirkan rasa terkilan dengan atas apa yang berlaku sambil tidak mengakui bahawa itu kesilapan daripada pihak JPM. Saya sebagai orang yang bertanggung jawab menyatakan hujjah saya yang tidak mengenali pejabat MPTM. Tetapi sebagai orang atasan mereka tidak akan meletakkan kesilapan atas mereka. Sewaktu makan tengahari di restoran Asrama Kedah ustaz hanya memberi ulasan kepada saya “Sebarang tindakan kita jangan sampai kita disabotaj.”