Berjaya, puashati dan mengesankan. Itulah yang dikatakan oleh rata-rata audien Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang berlangsung pada 21 Jun lepas di Balai Islam Kota Bharu. Wacana Perdana yang dikendalikan moderator YB Ahmad Baihaqi Atiqullah ternyata hidup dengan menggunakan format ahli panel bebas mengemukakan pandangan dengan tidak terlalu terikat dengan soalan. Pada satu-satu ketika moderator memberi peluang kepada panelis untuk segera respon kepada kenyataan rakan panelis lain. Profesor Dr. Aziz Bari beberapa kali mendapat tepukan gemuruh apabila menyebut tentang jangkaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September, lebih cepat daripada tarikh itu adalah lebih baik. Dalam keadaan markah lulus Pakatan Rakyat hari ini lebih tinggi daripada Barisan Nasional, maka menjadi cabaran kepada PR untuk terus merubah landskap politik negara.

Sohibu Samahah Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam muqadimah pusingan pertama mengingatkan tentang sejarah manusia tidak seharusnya lupa apabila diberi kuasa. “Saya tidak bimbang dengan Kelantan kerana rakyatnya menghayati firman Allah yang bermaksud : orang-orang yang sekiranya mereka diberi kekuasaan di muka bumi, mereka mendirikan solat, dan mereka mereka menunaikan zakat, dan mereka menyuruh yang maaruf dan mereka mencegah mungkar.” Menurutnya kita jangan terlalu gembira dan seronok dengan kekalahan orang lain, tetapi bagaimana kita mengisi kemenangan. Beliau juga menerima tepukan apabila secara sinis mengulas Islam Hadhari. Prinsip yang terkandung dalam Islam Hadhari asasnya baik, tetapi pelaksanannya yang perlu mengikut acaun yang sebenar berteraskan Al Quran dan Hadis.

Ketika beliau melahirkan kebimbangan tentang nasib umat Melayu Islam di Pulang Pinang ianya disambut oleh YB Saifudin Nasution Ismail, panelis ketiga dengan menyebut bahawa kebimbangan itu bukannya baru dengan memberi beberapa contoh nasib melayu muslim yang terpinggir di bawah pemerintahan parti Gerakan. Menyentuh apa yang disinggung oleh Dr. Asri dengan dasar tender terbuka, Saifudin mempersoalkan apakah kita mahu terus dengan dasar tender tertutup yang rata-ratanya diperolehi oleh kroni pimpinan Umno termasuk kerabat Perdana Menteri sendiri.

 

Pusingan kedua wacana menjadi lebih hangat dengan penglibatan audien dengan soalan-soalan yang mengamatkan dewan yang penuh dengan orang ramai itu

 

Ternyata Wacana Perdana Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang didahului ucapan YB Dr Fadzli Dato Hassan selaku ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tayangan dokumentari wawancara Global Media Channel membawa damensi baru dalam menampilkan sikap telus dan keterbukaan kerajaan Kelantan yang diterajui oleh PAS.

 

Oleh : Nasruddin Mahmud Muhaidin (Setiausaha Wacana Perdana)

 

 

Advertisement