Jika anda berkunjung ke Qaryah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke 4 sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, anda akan melihat sekumpulan anak-anak muda berbaju kuning dan memakai vest berwarna coklat yang tertera di bahagian belakang AMILIN Sukarelawan Bandar Raya Islam dengan membawa motto Sentiasa Membantu.
Mereka adalah petugas sukarela yang dikenali dengan nama AMILIN Sukarelawan Bandaraya Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
“ Peranan mereka lebih kepada membantu dan memastikan persiapan program-program sepanjang berlangsungnya Qaryah Ramadhan,” demikian menurut kata Mohd Hafiz Abd Samad, Ketua Sekretariat Bandar Raya Islam MPKB-BRI.
Lebih kurang 50 orang yang bertindak membantu tugas-tugas urusetia Qaryah Ramadhan sempena Tahun Melawat Kelantan pada tahun ini. Selain itu AMILIN juga bertanggungjawab mengendali acara Pentas Ramadhan Sepetang di Ambang Iftor di Qaryah Ramadhan.
“Kita masih memerlukan lebih ramai tenaga AMILIN bagi menjayakan misi mewujudkan sebuah kumpulan yang bergerak bagi memberi khidmat kepada masyarakat, khususnya dalam bandar Kota Bahru” katanya.
Sehubungan dengan itu MPKB BRI mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam AMILIN. Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi AMILIN bolehlah terus ke pejabat Sekretariat Bandar Raya Islam di Padang Perdana Kota Bharu atau dengan cara menghantar email ke alamat : amilin_mpkbbri@yahoo.com dengan menyatakan maklumat diri seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, kecenderungan (minat atau hobi) dan bakat atau kemahiran yang ada pada diri.
Menurut Hafiz lagi, AMILIN berkhidmat tanpa dibayar apa-apa elaun sesuai dengan matlamat penubuhannya sebagai skuad sukarelawan. Namun pada masa yang sama pihak MPKB BRI tidak akan meminggirkan daripada sudut menyalurkan kebajikan kepada tenaga AMILIN.
Qaryah Ramadhan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan dikendalikan oleh MPKB BRI adalah medan pertama AMILIN dalam usaha menggerakkan sebuah komuniti sukarelawan dalam bandar Kota Bharu.
“Apabila adanya program-program besar yang memerlukan tenaga sukarela, AMILIN akan diarah melalui ketua kumpulan untuk turun membantu,” katanya.
Penyertaan AMILIN adalah terbuka kepada sesiapa sahaja samada lelaki atau perempuan dengan syarat sedia mematuhi syarat mudah menjadi AMILIN Sukarelawan Bandaraya Islam.
Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.