Selepas solat Isyak di Masjid Paya Rambai Kota Bharu, saya bergegas turun menuju ke Pusat Dagangan Kelantan (KTC). Saya kira saya adalah antara orang terawal, tetapi rupanya manusia sudah memenuhi dewan yang jauh lebih kecil berbanding Balai Islam. Cuma tampak lebih ekskulsif.
“Ramai ke orang, malam ni Din? kalau sekadar 400 orang malu aku,” itu antara kebimbangan Profesor Dr Agus ketika menghubungi aku pada petangnya.
Sebelumnya dalam pertemuan di pangsapuri Pelangi pun dia beberapa kali menaruh bimbang tentang kehadiran penonton.
“ Aku tanya orang tak tahu pun ada program ni”
Sahabat-sahabat urusetia menyakinkan bahawa Kelantan adalah Universiti Politik Terbuka. Kehadiran tidak seharusnya menjadi kebimbangan.
“Padan dengan moderator jah, orang ramai doh,” sampuk Saifuddin.
Konsep Wacana Perdana malam tadi seperti wacana sebelumnya adalah debat, bukan diskusi atau wacana. Ironinya debat, masing-masing pihak berharap kepada suatu kemenangan, walaupun tiada sejarah yang mencatatkan debat akan berakhir dengan kemenangan kepada satu-satu pihak kecuali seperti debat antara Nabi Ibrahim dengan Raja Namrud.
Debat tidak menghasilkan suatu ketepan resolusi, bahkan debat akan merangkaikan episod polemik yang mengambil masa untuk ke penghujung yang murni. Jelasnya, masing-masing tetap akan menegakkan tali benang sendiri.
Dato’ Nik Amar seperti biasa dengan penampilannya yang tenang, bersahaja dan humorist. Dia bercakap berdasar pengalaman dan ilmuan bekas pensyarah universiti. Bait analogi yang dikemukakan memukau. Ini salah satu daripada sifat yang diwarisi (orang Kelantan sebut nurun) daripada Tok Guru.
Jawapannya ringkas dan tidak meleret lagak mantan YDP YADIM. Penjelasan yang tidak meleret menyebabkan audies fokus kepada apa yang ingin dihujjahkan oleh Nik Amar. Bagi orang yang suka berdebat babi buta (hujah keng kata orang Kelantan) tentu sahaja tidak puas bagi golongan itu. Mereka mahu lebih dari itu. Berhujjah, berbahas, kemudian lipat dan pancung terus!
Dr. Asri seperti biasa dengan pendekatannya yang mahu dilihat tidak memihak. Cukup beradab dan penuh butiran ilmiah. Walaupun kadang-kadang tidak dapat menahan sedikit emosi untuk melepaskan apa yang berbekam. Caranya disegani kawan dan lawan. Tetapi dengan isu-isu yang tertimpa kepadanya, kenyataan-kenyataan Dr. Asri banyak saya katakan membantu PAS.
Ucapan syabas boleh dilemparkan kepada Datuk Nakhaie kerana berani masuk gelanggang. Gelanggang pula di tempat lawan yang penuh dengan penyokong tegar. Setengahnya bukan sekadar tegar tetapi fanatik. Dia mengambil peluang untuk membesihkan namanya berhubung dengan dakwaan Dr. Asri, namun Dr Asri tidak memberi laluan mudah.
“Kita serahkan kepada SPRM,” kata Asri ringkas.
Beberapa ketika Nakhaei terkesima dengan taluan persoalan dari moderartor. Namun soalan perlu dijawab walau tidak mesti soalan itu yang akan dijawab. Ditambah lagi dengan asakan soalan penyokong tegar dari lantai.
Petangnya Dr. Agus juga bertanyakan saya siapa akan diberi perhatian dan orang nak dengar dalam wacana kali ini.
“Nakahie,” jawab saya.
Saudara Afendi mempunyai kekuatan daripada sudut malakah (karisma) berucap, tetapi gaya dan penampilan sahaja tidak cukup. Terjahannya dengan suara yang kuat memberi nilai tambah (cover) kepada hujahnya berdasar kepada persoalan yang dijangka (soalan spot). Kerana itu dia bersedia dengan bahan-bahan bukti lama yang dia rasakan boleh membantu. Afendi berkali-kali mengulang dia akan masuk PAS sekiranya PAS boleh melaksanakan dasarnya sepenuh tanpa ada dolak dalih. Saya tidak fikir dia akan bersama PAS. Apa faedah sudah dapat keselesaan dalam UMNO untuk menyeberang ke dalam PAS yang belum tentu menjamin masa depan kehidupan dan politiknya. Ustaz Afendi, saudara punya bakat dan kebolehan, tetapi saudara menyalah guna kebolehan saudara dengan berjuang dalam Umno.
Akhirnya untuk meletakkan kredit dan kejayaan kepada Wacana Perdana semalam adalah bergantung kepada objektifnya. Kalau objektif untuk mengundang lautan manusia, berjaya. Jika objektif untuk mewujudkan suasana panas dan sorak sorai, ia berjaya. Kalau objektif untuk melihat siapa menang, siapa kalah, ia suatu yang subjektif. Masing-masing pihak tidak akan merasa kalah. Jika objektif untuk merumuskan suatu resolusi masa depan Islam di Malaysia, saya rasa matlamat itu tidak jelas.
Saya tidak terlibat secara aktif untuk wacana kali ini. Saya juga seperti anda ada kalanya suatu perkara kita tidak dapat memaksa atas diri kita.
Moga forum Wacana Perdana yang semakin establish ini akan terus survive untuk mencorak pemikiran ummah yang lebih terbuka, bertamadun, realistik dan tidak sekadar retorik. Amein!
* Gambar-gambar diplagiat daraipada sumber intenet
Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.