Kota Ilmu

Kota Ilmu


Tajuk di atas kelihatan agak agak emosional. Namun harapnya isi tidaklah menggambarkan tajuknya..

Saya dihujani beberapa soalan berhubung dengan penganjuran Karnival Jom Heboh yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV 26 dan 27 Mac depan.

Isunya ialah kenapa Kelantan meluluskan Jom Heboh yang dulunya dikenali dengan Sure Heboh. Sure Heboh bertukar kepada Jom Heboh selepas menerima banyak bantahan terutamanya daripada pakar bahasa, berhubung dengan penggunaan kata Inggeris sure.

Mufti Perak, Datuk Harun Sani pernah mengeluarkan fatwa bahawa Sure Heboh adalah suatu program yang hukumnya haram. Ia merujuk kepada beberapa aktivitinya, terutama persembahan konsert malam terakhir yang dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan, penampilan artis wanita dengan aksi yang melampau dan percampuran bebas antara khalayak penonton.

Hanya sekali itu sahaja beliau mengeluarkan kenyataan atau fatwa tersebut ketika awal-awal Sure Heboh diperkenalkan.

26 dan 27 Mac depan Jom Heboh bakal bertandang ke Kota Bharu. Isu kedatangan karnival anjuran Media Prima ini tidaklah heboh sangat tetapi ia tetap mengamit perbincangan, bias kepada fatwa Harun Sani yang mengiktiraf kerajaan kudeta haram Perak.

Jom Heboh di Kota Bharu diluluskan dalam persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Tok Guru Menteri Besar menyerahkan tangunggjawab kepada exco kebudayaan dan pelancongan, Dato’ Takiyuddin dan jawatankuasanya turut dianggotai oleh dua exco lain. Dr. Fadhli dan Kak Ubai.

Sebelum ini pihak TV3 tidak pernah memohon untuk bertandang ke Kelantan bagi tujuan mengadakan karnival tersebut kerana menganggap Kelantan menutup pintu kepada aktiviti hiburan dan seumpamanya.

Namun selepas melihat kejayaan penganjuran Karnival Sua Rasa TV9 tahun lalu dan tidak timbul sebarang isu penganjuran tersebut, maka TV3 membuat permohonan dan ia diluluskan oleh pihak kerajaan negeri.

Pihak kerajaan terlebih dahulu membuat penegasan bahawa segala aktiviti berbentuk karnival hendaklah tertakluk kepada Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Perlu disebut bahawa kerajaan Kelantan sesekali tidak menyekat atau mengharamkan hiburan, tetapi sebaliknya kerajaan mengawal hiburan di bawah enakmen ini.

Karnival dua hari yang akan berlangsung di stadium Sultan Muhamad Ke 4 ini dinaungi oleh Tengku Amalin Puteri dan Yang Amat Mulia Pemangku Raja dijangka berangkat untuk mengikuti program Al Kuliyyah di Kota Ilmu.

Kota Ilmu adalah khemah besar yang menempatkan ruang solat yang luas, pameran Jejak Rasul dan dijangka sarat dengan akiviti-aktiviti keagamaan.

Manakala pada malam akhir, sebagaimana ataurcara rutin Karnival Jom Heboh akan diserikan dengan persembahan konsert berunsur ketuhanan. Dato Takiyuddin dalam bebarapa mesyuarat dengan pihak TV3 menegaskan bahawa pihak TV3 perlu mematuhi wajib menyenaraikan selebriti yang akan muncul dalam konsert tersebut. Beliau juga memohon pihak TV3 menyenaraikan lagu-lagu yang akan disampaikan.

Selain itu penegasan daripada sudut pengasingan tempat duduk penonton yang dibahagikan kepada tiga iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.

Akhir sekali saya ingin menukilkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Kelantan melalui laman web :

http://www.pemudaumno.org.my

Ketua Pemudanya, Dali Hussin berkata pihaknya sudah menjangkakan perkara itu kerana tidak apa yang mustahil dalam kamus Pas asalkan tindakan yang dibuat itu boleh mendatangkan kepentingan politik kepada mereka.

Menurut beliau segala dasar yang diwujudkan sebelum ini hanya sekadar alat politik semata-mata yang lebih menjurus kepada kosmetik Islam.”

Advertisement