Baru saat ini saya punya sedikit masa yang agak selesa untuk mencoret sesuatu tentang Muktamar Agung Tahunan PAS yang baru sahaja berakhir Ahad lepas. Malamnya saya diundang ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra untuk membentangkan tajuk Mahasiswa Profesional Membangun Ummah Sejahtera. Walaupun sibuk dengan muktamar, Allah Taala tetap memberi peluang untuk aku menyiapkan bahan dalam bentuk power point. Tajuk hanya diberi 2 hari sebelum program! Pengurusan yang kurang profesional!
Malam berikutnya saya terikat dengan program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Darul Naim. Saya ditaklifkan mengacarakan majlis mega yang disempurnakan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia. Alhamdulillah segalanya berjalan mengikut agenda.
Asalnya saya tidak punya tugas khusus pada muktamar kali ini. Atas kapasiti saya sebagai pegawai khas kepada bos saya yang kebetulan diberi tanggungjawab sebagai pengarah, maka saya lazimnya melaksanakan tugas saya yang bersifat bebas (istilah yang sering kami sebut tak masuk book). Status sebagai Pegawai Khas memberi lesen kepada saya untuk bergerak atas potfolio bos saya. Tapi tidaklah sampai saya mengggala tanah orang atau merempuh tak tentu kalu.
Beberapa hari sebelum berlangsung muktamar saya menjenguk ke PUTIK, lalu masuk ke mesyuarat unit persegaran yang sedang berlangsung ketika itu. Ketua unit persegaran YB Kak Ubai dan YB Kak Ani. Kerana Kak Ani yang mengepalai unit ini, tentu sahaja ekor-ekornya orang Kota Bharu. Saat membincangkan teknikal servis untuk jamuan VVIP, timbul isu ajk untuk VVIP masih belum beres. Lantas Setiausaha Unit, Puan Noreha mengerling kepada saya. Apa lagi tak dak kerja kena kerjalah. Saya mudah mengambil sikap menerima atas beberapa munasabah. Paling utama saya punya peluang emas untuk melayan VVIP yang tentu sahaja kalangan pimpinan tertinggi. Lebih-lebih lagi dapat merapati 2 Tok Guru yang disanjungi. Berpeluang makan minum bekasan mulut mereka.
Dengan pengalaman yang seadanya saya melakukan yang saya kira yang terbaik.
Sewaktu melayan VVIP, paling menyerlah saya melihat senario mesra antara pimpinan tertinggi. Mursyidul Am boleh berkongsi makanan dengan Timbalannya. Di meja makan Presiden bertukar pandangan dengan Naib-naib Presidennya. Timbalan Presiden bertentang mata bertukar maklumat dengan mantannya. Saya tak fikir pimpinan bersikap bermuka-muka sebagaimana hipokritnya media lama dan media baru melaga-lagakan mereka.
Untuk kesekian kalinya saya dapat menuangkan air minuman kepada Almarhum Ustaz Hassan Syukri yang baru sahaja kembali ke rahmatullah…
Muktamar kali ini saya kira antara terbaik daripada sudut pengurusannya. Bukan atas faktor bos saya yang mengurusnya, tetap lihat sahaja dalam sekelip mata PUTIK berubah wajah. Tak tahulah selepas ini, harap-harap ianya terus maintain.
Suara-suara sumbang yang kedengaran adalah lumrah dalam berkerja. Orang arab berperibahasa ” Mata (pandangan) manusia suatu yang tiada penghujungnya.” Ibarat kata Joha si pandir Mesir. Aku naik keladai dikatakan zalim pada haiwan, aku mengheret keldai dikatakan bodoh kerana tidak menungganginya, aku memikul keldai dikata pula aku gila!!
Biasanya yang bersuara sumbang itu adalah kalangan yang duduk saja-saja, kalau kerja pun sambil-sambil lew. Owh! Mengkritik pun sebahagian daripada kerja. Kerja membebel!!
Muktamar ini bagi saya adalah muktamar paling tenang, paling linang kata orang Kelantan. Sesekali timbul kritikan pedas dan tajam adalah fenomena biasa dalam bermusyawarah. Saat Nabi mencari penyelesaian untuk tidak masuk ke Tanah Haram kerana sekatan Quraish, pandangan Nabi seakan tidak dipeduli. Nabi seperti kecewa mengadu pada isterinya Ummu Salamah, pertama kali dalam hidupnya arahan tidak dipatuhi Sahabat yang cukup teruja untuk umrah. Kebijaksanaan sayap muslimat (Ummu Salamah) menyaran Nabi terlebih dahulu bercukur dan mengorbankan unta, menyebabkan sekalian sahabat mengikutinya. Ya, kadang-kadang kita buat tanpa perlu mengarah banyak. Hasilnya akan ada yang menghulur tangan.
Pimpinan yang matang dan berwibawa akan melihat ia sebagai teguran yang membina, walaupun nada kritikan yang dilontarkan seketika mampu mengigit naluri dan jiwa.
Tinggal lagi ucapan pergulungan yang dirumus oleh pimpinan bermula daripada Mursyidul Am mahupun pimpinan Dewan-dewan merupakan amanat dan arahan daripada kepimpinan perdana. Barangkali ada arahan yang tidak menepati atau tidak berapa selari dengan pandangan kita. Tetapi seandainya kita meimani arahan Nabi, taatlah kamu kepada arahan pimpinan walaupun dia seorang kulit hitam yang rambutnya bak zabib, maka taat patuhilah arahan itu. Jadikan ia inspirasi perjuangan dalam mencapai aspirasi jemaah. Bukan mengikut emosi kita sendiri-sendiri yang belum tentu benar salahnya.
Road to Puterajaya. Sepakat ke Putrajaya. Islam Adil Untuk Semua
* Visual adalah ehsan rakan-rakan
Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.