IJTIMA’ TARBAWI

Rasanya seperti sudah agak lama tidak berada dalam program yang berdepan dengan situasi yang mencabar. Bukanlah mencabar sangat sebagaimana getirnya Rasulullah dan sahabat berada dalam mukhayyam peperangan. Sekadar tiada air dan tidur di masjid bukanlah kepayahan yang melampau. Ijtima Tarbawi Pemuda PAS Pusat di perkampungan Rusila Terengganu. Suasana panas dan menghidu peluh sahabat-sahabat itulah suatu yang sukar dicari dalam dunia perjuangan sekarang, hatta dunia perjuangan PAS yang semakin senang. Keinginan saya untuk terus berada sepenuhnya dalam ijtima’ itu juga terhalang. Terhalang kerana Wacana Perdana dan terhalang dek nafsu yang sentiasa beralasan.

Pun begitu walaupun sebentar, hati amat-amat tersentuh dengan kehadiran syeikhuna wa murabbina Ustaz Dato’ Hj Yahaya bin Othman dalam ijtima yang kembali mengamit nostalgia pejuang-pejuang PAS terdahulu itu. Walaupun pembentangan beliau hanya keesokan harinya, beliau datang awal untuk menyertai majlis perasmian oleh Tuan Guru Dato’ Seri Presiden pada malamnya. Ketika sesi pembentangan beliau pula, jelas tampak keuzuran beliau terketar-ketar bangun. Tetapi menakjubkan! Beliau tidak duduk di kerusi yang di sediakan, sebaliknya kekal berdiri ketika berucap!

Sepatutnya beliau menumpang kenderaan Ustaz Azariza bersama saya untuk pulang ke Kota Bharu sebaik sahaja pembentangan tamat sekitar jam 10 pagi. Tetapi beliau memilih untuk terus berada hingga ke petang kerana ingin mengikuti sesi forum pula.

Masyaalah! Bagaimana mata saya ini tidak menumpahkah sebutir dua manik-manik air melihat kegigihan beliau. Di mana kedudukan saya berbanding dia? Tidak selayaknya dibandingkan. Sedang saya masih bergelut melawan hawa nafsu yang tidak sudah-sudah!

CHENG HO EXPO 2010 : KELANTAN – CHINA INTERNATIONAL TRADE FAIR

Saya bekerja tidak lain adalah kerana saya meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada rakyat Kelantan yang mesti mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh ulama ini. Kerana itu saya tidak menyanggah bila ditaklifkan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Ekspo Cheng Ho 20101. Saya bekerja tanpa perlu membuat perhitungan bekerja untuk siapa dan kepada siapa. Ya, sememangnya keserasian itu adalah perlu, tetapi terlalu tunduk kepada sentimen dan kehendak nafsu sendiri, juga saya kira suatu yang boleh merosakkan.

1000 orang bukanlah angka yang kecil. Angka itulah yang menjadi sasaran kami. Tenaga dan minda diperah dan dikerah untuk menghasilkan kuantiti angka itu. Jika Pemuda PAS Pusat telah mencapai target menghimpunkan pemuda dalam Ijtima Tarbawi, itu juga harapan saya. Cuma saya tidak termampu mengalasnya seorang sebagaimana Rasullulah memikul Risalah bersama Sahabatnya.

Mungkin. Mungkinlah kerja saya mencari sedikit mudah kerana tawaran-tawaran keistimewaan yang ditawarkan apabila menjadi sukarelawan. Saya mendoakan pada diri saya agar tidak meletakkan metarial di hadapan saya apabila saya memperhambakan diri untuk kerja-kerja Islam. Anda bagaimana?

WACANA PERDANA

“ Tak dok doh ko wacana (Wacana Perdana) lepas ini?” Masih terngiyang-ngiyang ekspersi wajah Prof Agus ketika melontarkan soalan itu kepada Ustaz Baihaqi sewaktu kami makan pagi di warung belakang Hotel Renaissance pagi tadi. Emosi saya terusik sehingga saya tidak dapat menanggapi jawapan yang diberi oleh pengarah tetap program yang semakin tersohor di seantero dunia itu. Sesungguhnya dunia menyaksikan forum itu bila internet tidak buat hal.

Kami berkerja untuk Wacana Perdana juga tanpa menoleh ke belakang. Segalanya untuk memperkasakan kerajaan Islam Kelantan. Balasan?? Ah! Jangan sentuh soal pengorbanan dan keperitan yang dicurah dan dirasakan. Bimbang ia bisa memakan pahala, bahkan boleh memalit dosa. Korban dan perit itu sebenarnya yang memaniskan perjuangan.

Selalunya saya gembira. Gembira setiap kali selesai Wacana Perdana, walaupun untuk kesekian kalinya saya tidak banyak menyumbang tenaga, sebagaimana lelahnya sahabat saya Saifudin bercawat kote memastikan acara ini berjalan sebagaimana dirancang. Dia juga tidak banyak menggamit saya, mungkin kerana memikirkan masa saya terfokus kepada volunteer Laksamana Cheng Ho.

Ya, kalau pun ada sekelumit rasa gembira, ia seperti cepat sirna, tambahan lagi mengingat sapaan prof Agus tadi. Dia bagai terhidu kepada senario yang berlaku dan bakal terjadi. Cukuplah setakat ini. Saya tidak dapat bayangkan kehidupan saya dan kami selepas ini tanpa wacana. Allah sahaja yang maha mengatur segalanya.