“ Ana tanya Saifudin, nak lantik sapo SU Sukarelawan, dia cadang enta.”  Di situlah bermulanya episod saya terlibat dengan Ekspo Cheng Ho 2010. Atau nama rasminya Cheng Ho Expo 2010 : Kelantan – China International Trade Fair.

 

Individu yang melantik saya itu adalah Tuan Haji Mohd Adilan bin Mat Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Ekspo Cheng Ho. Tentu sahaja beliau dilantik oleh pihak kerajaan Negeri Kelantan, penganjur kepada ekspo terbesar yang pernah diadakan di Kota Bharu.

 

“ Enta tok soh oyap banyok-banyoklah ko bos enta, ana maklum dah ko dia sepatah,” ujar Hj Adilan lagi. Bos yang dimaksudkan tentu sahaja Dato’ Taki yang kami panggil abang.

 

Saya pula diberi tanggungjawab oleh Hj Adilan untuk mencari rakan-rakan yang akan bersama dalam agenda yang maha besar ini. Kenapa tidak maha besar kerana kami diwar-warkan peringkat awalnya untuk mencari 2 ribu sukarelawan!

 

Kami sahut cabaran itu walaupun dalam debaran demi degupan! 2 ribu bukan angka kecil! Ya Allah!! Mampukah kami??

 

Ketika mana jawatankuasa-jawatankuasa kecil lain belum lagi mengadakan mesyuarat jawatankuasa masing-masing, kami paling kurang seminggu sekali pasti bertemu. Kalau tidak secara formal mesyuarat di bilik mesyuarat, kami diadakan juga di restoran dan kedai makan.

 

Ketika itu pihak kerajaan memutuskan ia diadakan pada Oktober. Bayangkan kami dilantik pada bulan September, ekspo akan berlangsung sebulan daripada itu. Bukan 2 ribu semut! 2 ribu orang!

 

Kami sedikit menghembus nafas lega apabila pihak kerajaan membuat ketetapan baru. Ekspo Cheng Ho ditunda ke bulan November. Kami bukan sekadar mewarwarkan dalam facebook, tetapi kami mengambil pendekatan menjelajah ke sekolah-sekolah sekitar Kota Bharu. Terima kasih khas kepada Ustaz Ubai, Ustaz Rosdi dan Dr Farhan yang banyak membantu saya ke hulu ke hilir memberi taklimat dan penerangan terutama kepada pelajar STAM. Hampir 10 buah sekolah kami serang dan KIAS turut jadi sasaran. Ternyata stategi itu berjaya walaupun tidak dapat disembunyikan kepenatan rakan-rakan.

 

Bulan Ramadhan karim kami dihabiskan dengan berfikir dan merancang untuk mencapai target 2K!. Moga ia juga menjadi amalan kami yang berganda pahalanya. Atas faktor kewangan pada masa itu, pihak YB Hj Zulkifli Mamat terpaksa akur dengan situasi bahawa kerajaan hanya mampu menanggung kos sukarelawan dengan jumlah 1 ribu orang. Walaupun kurang separuh ia tetap menjadi cabaran yang hebat kepada kami. Tambahan kami diarahkan supaya juga mencari sukarelawan kalangan belia cina. Satu lagi cabaran! Ini lagi maha besar cabarannya. Ah! Rasulullah lagi besar cabarannya berdakwah kepada kafir Quraisyh! Ingatkan itu jiwa jadi sedikit tenteram.

 

Menyebut tentang kos, tak keterlaluan jika saya sebutkan bahawa, sememangnya faedah-faedah yang dijanjikan apabila menjadi Sukarelawan Ekspo Cheng Ho turut menjadi umpan! Manakan tidak. Sebelum ini jarang kerja amal kita dihulurkan upah dan ganjaran. Benar juga kebimbangan yang dilontar oleh Kak Iraaa!!!

 

Cabaran demi cabaran kami tempuhi. Penghargaan khas saya kepada saudari Mas Athirah dan saudari Tuan Azizam. Merekalah yang berkerja dari mula. Mas Athirah memang banyak membantu saya. Dia hanya menampilkan ereksi wajah senyumannya yang pelbagai apabila kadang-kadang arahan saya berlapis-lapis. Maaf Mas jika saya seperti mengarah. Mengarah bukan sifat semulajadi saya. Tuan Zam dengan gelagatnya yang menghiburkan semua orang seperti tiada masalah pada wajahnya. Saya bukan tidak menghargai dan menafikan peranan besar orang lain. Tetapi meraka adalah tenaga awal yang bertungkus lumus selain Ustaz Rosdi yang saya juga baru kenal melalui cadangan rakan saya yang lain.

 

Kursus yang diadakan bagi 2 kumpulan dan 1 kumpulan lebih kepada taklimat, mendedahkan saya kepada saya cabaran berbeza, maklumat yang serba baru dan tugasan yang semakin mengujakan. Terimas En Husnal dan Puan Siti Aisyah.

 

Kami tempuhi dengan sabar walaupun karenah dan cabaran semakin kuat mendatang. Cabaran makin mengganas kerana serba kerja yang dibuat dalam jangkaan waktu yang terdesak dan singkat.

 

Hari yang dinantikan bermula dengan Pelancaran Rasmi Sukarelawan  Ekspo Cheng Ho. Saya amat-amat puashati mendengar lirik  ikrar dan haka ciptaan saya menjadi! Maaf. Bukan syok sendiri, tetapi rasa berbaloi sebagaimana semua orang puas hati dengan hasil kerja sendiri.

 

Pimpinan yang hadir tidak putus-putus dengan kata-kata “Hebat! Hebat!” Juga buka hanyut dan terkasima dengan lambungan pujian dan sanjungan, tetapi rasa kepuasan bersama dengan penat lelah memerah tenaga, idea dan berbalah dalam mesyuarat!

 

Semua potfolio menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bersemangat. Tiada potfolio yang dilihat lebih antara potfolio. Seperti yang saya laung-laungkan dalam ucapan Himpunan Terakhir Sukarelawan Ekspo Cheng Ho. CC bekerja tak kenal siang malam. KL bertugas bemandi hujan, berpanas mentari. KK berkejaran mengurus mereka yang memerlukan rawatan. PT berjam-jam berdiri kesejukan dalam penghawa dingin. PR bergerak dari utara ke selatan mana, dari timur ke barat dunia. SD setia dengan kerja tak glamor pun. PL memerah keringat seawal hari raya haji pertama!

 

Alhamdulillah kami dapat melakukkannya. Ya!! Bagaikan tak percaya kami dapat menguruskan hampir 1.2 ribu manusia yang pelbagai karenah, watak dan bangsa. Alhamdulillah! Ternyata kalian memberi kerjasama sepenuh-penuhnya!!! Kita bersama melakukkannya!! Alhamdulillah!! Dalam tempoh kurang lebih sebulan saya bertaaruf dengan 1.2 ribu orang!

 

Cabaran kami belum berakhir, bahkan seperti baru akan bermula semula. Di saat ada yang teruja dengan cadangan pihak kerajaan untuk menjadikan kumpulan ini sebagai Sukarelawan Kerajaan Negeri Kelantan, hati saya diselubungi kegundahan kelana. Apakah kita mampu untuk terus mara ke depan dengan pelbagai cabaran yang belum terlangsai. Dengan pujian dan sanjungan yang kita terima, saya bimbang apakah kelak kita mampu untuk memastikan sukarelawan ini terus survival dan merealisasikan dasar kerajaan membangun bersama Islam ini. Tapi kata orang kebimbangan itulah yang menjadikan kita normal!

Volunteers!!!!! IKHLAS MEMBANTU!!!!!

 

 

Advertisement