• ..Prolog..

من شرب من ماء النيل عاد اليه

“Siapa yang meminum air Sungai Nil akan kembali kepadanya”

“Suatu masa pasti aku akan kembali padamu..”

Itulah doaku 12 tahun yang lampau. Sedekad lebih adalah jangka masa yang agak lama. Umur Ahmad Harith Marwazi sudah 11 tahun. Umur itulah aku meninggalkan Perlembahan Nil, Negara Sejuta Ulama, bumi bertuah Ardul Kinanah.  Hanya mereka yang pernah menjejaki negara Mesir yang tahu dan arif apa pengertian sebenar Ardul Kinanah. Kerana gelaran Ardul Kinanah kami menjaga tingkah laku dan perkataan. Kami dberi ingat oleh abang-abng terdahulu jangan cakap sebarangan, jangan cakap besar dan apa lagi cakap bohong! Sesungguhnya bumi yang pernah menanggung jasad mulia Nabi Musa ini juga pernah melahirkan Firuan Ramses yang akhirnya bumi mulia itu juga menelan di lautan gelombangnya.

 

Hampir 10 kali aku 'terpaksa' mengunjungi Piramid!

 

  • ..Tiba Di Kaherah..

kalau saja-saja nak masuk kena bayar!

Udara dingin di Cairo International Airport menyelinap hingga ke tulang hitam, meskipun tubuhku diselimuti jaket tebal yang baru aku beli di pasaraya Giant Kota Bharu. Nak berjalan jauhlah kononnya. Sekilas terimbau pertama kali dulu sampai ke tanah Al Azhar. Musim yang sama, musim syitak, musim dingin. Mulutku jadi pecah-pecah dan pedih. Kulit terasa kekeringan sehingga terpaksa melumur krim Nivea. Macam perempuan. Hidung seperti disumbat, tengkuk pula sedikit berkahak. Itu dahulu. Kali ini aku tidak pula mengalami sintom-sintom itu.

“Hari ni memang udara agak sejuk sekali,” kata Ustaz Zainudin selepas kami berpelukan. Berpelukan kanan dan kiri adalah budaya masyarakat arab yang turut menjadi buadaya pelajar kita di Mesir. Terutamanya bila lama tidak bertemu dan lama akan berpisah. Budaya ini secara lansung akan hilang bila pulang ke tanah air!

Memang cukup lama aku dan Zainudin tidak ketemuan. Semenjak kepulanganku lewat tahun 1999, inilah pula aku berjumpa sahabat lamaku ini. Ketika Zainudin pulang ke Pasir Mas 2004 dulu pun kami tidak berjumpa. Dia kelihatan cekap sekali mengurusi bas-bas yang akan terus menghantar pelajar ke muhafazah masing-masing. Kaherah dan Manusrah. Tanta, Damanhur terus ke Iskandariah.

Seingat aku dulu Zainudin tidaklah selincah seperti sekarang. Dalam program-program anjuran Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) dia lebih cekap berada di dapur. Mungkin pengalaman mengajarnya lebih banyak perkara. Adik-adik banyak merujuk kepadanya. Abe Din, panggil mereka. Sementelah dia sekarang berstatus Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM. Tahniah Ustaz Din. Pahalamu cukup besar mempertahankan legasi generasi terdahulu. Cuma, bila agaknya ya enta akan pulang ke tanah watanmu.

 

  • ..Memoir..

penyambung legasi generasi dulu

KPKM adalah persatuan yang menaungi anak-anak Kelantan di bumi Seribu Menara ini. Ia mula diasaskan oleh ulama-ulama terdahulu lewat tahun 1965 dulu.

Tok Kenali dianggap orang pertama yang menjejaki univeresti Al Azhar, unversiti tertua di dunia pada awal abad 20. Sesudah kedatangan beliau, angkatan kedua pula menyusul pada tahun 20-an dan 30-an. Antaranya Dato’ Muhammad Maher bin Ismail (bekas mufti Kelantan), Tuan Nik Abdullah bin Haji Wan Musa, Wan Mustafa bin Che Ngah (meninggal di Mesir), Dato’ Nik Mustafa Nik Mahmud, dan lain-lain ulama besar yang terakam dalam sejarah.

Selepas kemerdekaan, perkembangan pembelajaran di Malaysia bertambah pesat dan rakyat Malaysia telah mendapat kemudahan untuk menyambung pengajian mereka ke Timur Tengah. Universiti al-Azhar telah memberi lampu hijau dan memberi pengiktirafan kepada graduan-graduan Kolej Islam Klang dan Pusat Pengajian Tinggi Islam, Nilam Puri untuk menyambung pengajian mereka. Peluang ini tidak dilepaskan oleh anak-anak Kelantan untuk menyambung pengajian mereka ke Timur Tengah. Pada tahun 1980, bilangan pelajar Kelantan telah bertambah kepada 221 orang. Pada sesi 1995/1996 pula, meningkat kepada lebih kurang 1000 orang pelajar.

Bilangan pelajar Kelantan bertambah, menjadikan pengurusan pelajar menjadi bertambah dan semakin komplek, terutamanya melibatkan urusan kemasukkan ke universiti dan urusan dengan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah. Bertitik tolak daripada itulah, anak-anak Kelantan di bumi Mesir telah bersepakat untuk menubuhkan satu organisasi bagi menanggani pelbagai masalah yang dihadapi mereka. Pada hari Jumaat 28 Syawal 1385 Hijrah bersamaan 18 Februari 1965 Masehi, Panitia Pelajar-pelajar Kelantan Kaherah telah ditubuhkan.

Antara  perintis yang telah mengasaskan Panitia Pelajar-pelajar Kelantan Kaherah ini ialah:
(1) Ustaz Ali Harun (Allahyarham)
(2) Ustaz Abdullah Ahmad
(3) Dr.Wan Ahmad D.S
(4) Ustaz Hussin Yaacob
(5) Ustaz Yahya Othman
(6) Ustaz Abdullah Abu Bakar
(7) Ustaz Mahyuddin Musa
(8) Ustaz Abdul Latif

Perkembangan semasa dan pertambahan ahli persatuan ini membawa kepada perubahan nama Panatia. Dengan persetujuan ahli, pada tahun 1975, Panitia Pelajar-pelajar Kelantan Kaherah telah ditukar nama kepada Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM).

 

  • ..Asrama Kelantan Lama..

Setelah tamat Perang Dunia kedua, bilangan pelajar-pelajar Kelantan di Mesir kian bertambah dari tahun ke tahun. Pertambahan bilangan ini amat menyulitkan pelajar-pelajar Kelantan untuk mengadakan pelbagai aktiviti di rumah yang terletak di Mansyiatul Bakri, Heliopolis, Roxy. Rumah tersebut telah dibeli pada tahun 1963 sebagai pusat pentadbiran dan tempat perhimpunan pelajar-pelajar Kelantan.

Pada tahun 1972, jawatankuasa tadbir KPKM telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Asri bin Haji Muda selaku Menteri Besar Kelantan pada masa itu untuk membeli suatu penginapan sebagai pusat operasi KPKM.

Walaupun pada peringkat awalnya peruntukan untuk membeli rumah baru telah diluluskan, pembelian ini terpaksa ditangguhkan setelah bajet tersebut ditarik balik disebabkan berlaku perang Mesir-Israel pada tahun 1973. Pada 2 September 1975, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi mencari dan membeli rumah baru.

Pada akhir tahun 1976, KPKM hampir berjaya memiliki dua buah pangsapuri tingkat empat di kawasan Abbasiah dan sebuah kediaman di Hadaiq Qubbah dan telah membayar wang pendahuluannya. Walau bagaiamanpun beberapa bulan kemudian tuan punya rumah berkenaan telah mengembalikan wang tersebut kepada KPKM kerana enggan menjualnya.

Pada tahun 1977, KPKM sekali lagi telah mengemukakan permohonan dan peruntukan membeli rumah baru sebagai pusat pentadbiran. Peruntukan ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Mohammad bin Nasir dan KPKM telah berjaya mendapatkan rumah di Masakin Othman. Rumah yang baru dimiliki ini juga tidak dapat memenuhi keperluan para pelajar disebabkan beberapa masalah yang timbul dengan tuan rumah tersebut.

Berikutan itu, sekali lagi permohonan diajukan kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk mencari rumah yang lebih sesuai. Pada 17 Februari 1980, satu jawatankuasa terdiri dari 13 orang ahli telah dibentuk bagi mencari rumah baru.

Akhirnya rumah yang terletak di No.21, Jalan Imam Ahmad Ibnu hambal, Hayyu Sabie telah dibeli pada 17 Zulhijjah 1400H bersamaan 26 Oktober 1980M oleh Dato’ Haji Mohamed bin Yaacob selaku Menteri Besar Kelantan pada masa itu.

  • ..Asrama Kelantan Baru..

Banyak berjasa

Pada awal tahun 80an timbul desakan dan permintaan daripada ahli-ahli KPKM untuk membeli sebuah lagi asrama bagi menampung jumlah ahli yang kian bertambah. Inisiaitif ke arah pembelian asrama ini mula dibuat pada sesi 1983/1984 di bawah kepimpinan Ustaz Ghazali Majis sebagai Ketua KPKM. Usaha tersebut kemudian diteruskan oleh kepimpinan KPKM pada tahun berikutnya.

Pada tahun 1985, pihak KPKM telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk membeli asrama baru Kelantan. Pada tahun berikutnya sekali lagi jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneruskan usaha murni tersebut. Setelah perundingan dibuat oleh KPKM dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak Kedutaan Besar Malaysia, satu persepakatan tercapai untuk membeli sebuah bangunan yang terletak di Syari’e El-Baramica, Hayy Sabie.

Proses pembelian Rumah Kelantan Baru (asrama) telah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Maka pada 23 Mei 1985, akad jual beli berlangsung antara pihak kedutaan Besar Malaysia Kaherah dengan pemilik bangunan tersebut dengan harga LE 315 000. Perjanjian ini bertempat di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dengan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Encik Abdullah Zawawi Haji Mohamad, Ketua Canseri, Encik Zulkifli Abdul Rahman, Encik Zainuddin Haji Ahmad (Bahagian Penerangan), Tuan Rumah, Abdul Adzim Ewadh el-Syarqawi, Syed Ali Shalabi (peguam) dan Haji Fathi (broker).

Wakil pelajar tidak dijemput dalam upacara tersebut. Walaupun perjanjian telah ditandatangi pada Mei 1985, akan tetapi pihak tuan rumah enggan menyerahkan bangunan tersebut. Keadaan ini berlarutan sehingga dua tahun. Hanya pada 21 Januari 1987, barulah diserahkan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia.

Apa yang mendukacita dan menimbulkan masalah ialah rumah tersebut diterima oleh pihak KPKM dalam keadaan yang menyedihkan, yang penuh kekurangan dan kerosakan. Justeru, usaha pembersihan dan pembaikan prasarana asrama secara bergotong-royong dan besar-besaran telah dijalankan oleh ahli-ahli KPKM. Pada Oktober 1987, Asrama Kelantan (Baru) mula didiami dan menempatkan pelajar-pelajar Kelantan walaupun tidak keseluruhannya. Asrama baru ini dinamakan ‘Asrama Pelajar-pelajar Kelantan Darul Naim, Republik Arab Mesir’

 

  • ..Ke Hayyu Sabie..

Berderum bas-bas meluncur menghantar 200 orang pelajar Malaysia ke destinasi masing-masing. Mereka pulang kerana Revolusi Mesir. Sesunggtuhnya keadaan yang memaksa untuk mereka pulang.

Aku seperti tidak sabar rasa untuk ke Rumah Kelantan Baru, tempat kami menabur budi menyemai bakti. Tempat kami mempersiapkan diri untuk berdepan dengan realiti. Realiti di tanah air yang meletak harapan yang tinggi kepada graduan Azhari.

Ternyata RKB masih seperti dulu, sebagaimana begitulah rupa Hayyu Sabie’ di Madinet An Nasr. Dewan Tok Kenali yang aku namakan masih seperti dahulu. Maktabah seperti tidak menjadi tempat rujukan kerana hampir semua pelajar mempunyai sumber rujukan sendiri.

“Ustaz Din nak berjalan ke mana?” Zainudin seperti menyedari aku tidak berapa ceria melihat persekitaran RKB yang tidak sepertinya dek tempias Revolusi Mesir.

“Iskandriah? Mansurah? Dumyat?” soalnya bertalu-talu.

Kami mengadap hidangan nasi di perpustakaan RKB. Lauk gulai kuning ikan Salamon dan ulam gergil bercicahkan sambal. Barang tentu akhawat yang masakkan.

“Entahlah Din, ana serupa jah mana-mana,” pingkasku sambil menelan nasi berulamkan gergil segar itu.

Ulam gergil agak terkenal kalangan orang arab dan melayu juga. Katanya ia ada khasiat tersendiri sehinggakan orang arab bermadah “kalaulah tuan tahu khasiat gergil, nescaya tuan tanamkan ia di bawah katil!”

“Pastinya ana nak ke Medan Tahrir, Azhar dan Hussin,”

“Ustaz Din ni serupa jah dengan ana.”

Kami ketawa kecil.

..bersambung..

Advertisement