..Mengalirlah Nil kerana TuhanMu..
Aku memang sedikit keliru ketika menyusuri jalan menuju ke Medan Tahrir. Jambatannya yang beberapa buah merentangi sungai Nil lebih membingungkan. Samada lingkaran jalan yang baru dibina atau sememangnya minda saya sudah kelupaan.
Hanya bila betul-betul berada di persisiran sungai Nil aku baru boleh mengecam bahawa aku berada di Tahrir. Tahrir adalah sebuah bandar perniagaan dan perdagangan di kota Kaherah. Di sini tertompoknya pelbagai pusat kewangan bank. Kedutaan-kedutaan juga kebanyakkan besar melata berhampiran dengan Medan Tahrir.
Jika berada di waktu malam di persisiran Sungai Nil, anda tidak akan merasa seperti berada di Kaherah. Kilau airnya memantulkan kerdipan cahaya lampu yang pelbagai. Cruise yang menelesuri sungai yang bersejarah itu cukup mengasyikkan mata memandang. Katanya di atas kapal-kapal kecil itu ada tarian gelek yang terkenal di bumi Firaun ini! Tapi jangan terkejut! Bukan orang Mesir kalau tidak tahu gelek! Aku tak pasti betul benarnya. Itu kata mereka.
Di persisiran Nil yang indah ini juga arab menjual syai. Teh Arusya yang terkenal itu. Modal mereka hanya sebiji cerek, beberapa biji gelas dan dapur yang dihidupkan dengan bahan bakar buangan. Aku pernah teruja untuk cuba meneguknya sambil menghirup udara Nil. Tapi bila dimaklumkan bahawa mereka hanya menimba air dari sungai itu untuk diadun menjadi syai, selera aku segera terbantut.
“Erk!”
Nil punya sejarah yang tersendiri. Nilai sejarah yang tidak ternilai dan tinggi.
Tamadun manusia pernah wujud di sepanjang sungai yang menjangkau 6,500 km ini. Dikatakan Sungai Nil tiada penghujungnya kecuali ia berakhir di syurga. Wallahua’lam. Sungai ini menganjur antara dua benua. Afrika dan Asia Timur Jauh.
Sungai Nil pernah menghanyutkan susuk Nabi Mulia Saidina Musa, sampai ke tangan Ratu Aisyah, sekaligus menyelamatkan baginda daripada polisi Firaun ketika itu membunuh setiap anak yang dilahirkan lelaki, kerana dibimbangi akan merampas kerajaannya. Itu adalah tilikan yang kebetulan benar daripada ahli nujum Firaun.
Pada zaman pemerintahan Kahlifah Umar al Khattab berlaku suatu lagi peristiwa yang cukup ajaib, menyerlahkan karamah dan kemuliaan Saidina Umar.
Semenjak 6,000 tahun sebelumnya Sungai Nil menjadi sumber rezeki dan sebagai nadi pengangkutan rakyat Mesir. Tanah deltanya menyubur dan sibuk dengan industri pertanian. Suatu ketika Sungai Nil menjadi kering apabila tibanya bulan Bu’nah. Bu’nah adalah satu bulan mengikut kalendar Mesir purba. Ketika itu Islam belum sampai di Mesir.
Mereka percaya bahawa sungai Nil mempunyai penunggu yang memerlukan mereka menghantar korban gadis cantik kepada Nil setiap kali datangnya bulan Bu’nah. Hakikatnya Bu’nah (antara Jun dan Julai) adalah musim panas dan kemarau di Mesir.
Ketika Saidina Amru bin A’sr mula membawa Islam ke Mesir, beliau menyedari wujudnya amalan khurafat ini dalam masyarakat kuno Mesir.
Amalan karut ini ternyata jelas ditolak Islam. Justeru, sebaik sahaja kedatangan Amru bin al ‘As ke Mesir membawa panji-panji Islam, beliau mengutuskan surat kepada khalifah Umar memaklumkan amalan jahiliah penduduk Mesir. Khalifah Umar segera memerintahkan Amru menulis sepucuk lagi surat. Surat itu ditujukan khas untuk sungai Nil.
“Daripada hamba Allah Umar Amirul Mukminin kepada Nil Penduduk Mesir..seandainya engkau mengalir sebelum ini dengan kehendak dan urusanmu, maka engkau tidak perlu mengalir, kami tidak berhajat kepadamu.Sebaliknya jika engkau mengalir dengan kehendak dan urusan Allah al-Wahidul Qahhar, maka aku memohon ke hadrat Illahi agar mengalirkan mu”
Sesetengah pendapat lain menyebut khalifah Umar membalas surat Amru al ‘As dengan mengirim sebingkis surat dikirim khas kepada Nil. Amru diminta melemparkan surat itu ke dalam sungai Nil sebagai ganti kepada gadis korban. Surat tersebut antara lain berbunyi :
“Wahai sungai Nil, kamu ialah makhluk dari makhluk Allah, maka mengalirlah sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu.”
Sebaik Amru melontarkan surat itu ke sungai, dengan izin Allah mengalirlah air di sungai. Dengan karamah Umar al-Khattab r.a, sungai Nil tidak pernah kering hingga ke hari ini.
Aku mengerling ke puncak Cairo Tower (Buruj Al Qaherah). Selalunya ada kelibat manusia di puncak sana. Tetapi mungkin bahang Revolusi Mesir, 25 Januari yang masih terasa, aktiviti pelancongan Mesir agak terjejas. Zainudin menyebut beliau beberapa kali menerima panggilan tawaran pakej daripada hotel-hotel ternama di sekitar kota Kaherah.
Medan Tahrir aman sebagaimana seperti saya tinggalkan dahulu. Tiada sedikit pun kesan-kesan kerosakkan walaupun tunjuk perasaan Revolusi Mesir berlangsung beberapa minggu di situ. Hanya beberapa kalimah di dinding tembok yang diconteng sebagai mengecam Hosni Mubarak. Itupun seperti dipadamkan semula.
..Medan Tahrir..
Di sinilah terkorbannya beberapa syuhada’ akibat tindakan ganas polis Mesir. Ada pihak yang mengesyorkan Medan Tahrir ditukarkan nama kepada Medan Syuhada’. Mungkin juga mereka ingin memadamkan perkataan tahrir kerana sejarah nama tahrir juga tidak begitu baik. Tahrir dalam bahasa arab mengambil kata asal hur yang bermakna bebas dan merdeka. Ada versi sejarah merakamkan medan tahrir diberi nama sempena pembebasan wanita Mesir daripada tudung dan jilbab! Masya Allah, sampai begitu Islam di Mesir dirosakkan oleh pemerintah terdahulu. Lihatlah akibat kerosakkan yang mereka lakukan. Faruq digulingkan dengan hina. Berapa ramai pimpinan dan anggota Ikwanul Muslimin dibunuh oleh Presiden Jamal Abdul Nasir. Anwar Sadat mementerai perjanjian Camp David dengan Amerika Syarikat pada 17 September 1978 yang tidak banyak menguntungkan Mesir. Anwar Sadat mati di tangan askarnya sendiri dalam satu upacara perbarisan. Selepas daripada peristiwa itu Mesir tidak mengadakan sambutan seumpama itu kecuali secara tertutup sahaja.
“Firaun mati dalam gelombang lautan air, Mubarak jatuh kerana gelombang lautan manusia,” aku bermonolog sendirian.
Aku dimaklumkan beberap hari selepas Mubarak istihar letak jawatan, masih ada perhimpuan mingguan selepas solat Jumaat. Hanya beberapa minggu sahaja. Kemudian ia berakhir dengan kemenangan berpihak kepada rakyat yang mendapat sokongan tentera.
Aku masih ingat lagi bagaimana tersiksanya pengguna jalanraya setiap kali Presiden Hosni Mubarak keluar kemana-mana. Jalan ditutup beberapa jam. Sesetengah tempat polis membentuk rantaian manusia semata-mata menjaga keselamatan sayyidu rais mereka.
“Yakhribitak!!,” sumpah mereka.
Negara Mesir sekarang dikawal sepenuhnya oleh tentera. Polis lumpuh dan hampir tidak beroperasi. Bila menyebut tentera, mengingatkan saya kepada seorang pegawai tentera yang berada berhampiran dengan kediaman saya di Hayyu Zohor. Orangnya cukup alim lagi warak. Dia mengimami solat terutamanya maghrib, isyak dan subuh di amsjid kecil Hayyu Zohor. Ada kesempatan dia pasti menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat. Kerana itu aku seperti tidak terkejut bila mendapat tahu bahawa askar berada di pihak rakayat Mesir.
“Inikan Zamalek?” aku bertanya.
“Bukan ustaz Din, sebelah sana sikit Zamlek.”
Ternyata ingatanku semakin melemah.
“Kita solat maghrib di Masjid Azhar Din,” aku menyarankan.
ASSMKM,Pro,biasalah,tu” tiap-tiap maknusia yang di-jadikan olih allah,menpunyai cabaran masing-masing di-dalam hidupnya,maupun kerjanya,teruskan perjuagan Duhai sahabat ku”