Saya menerima panggilan sekitar jam 4 pagi memaklumkan pemergian sahabat Kamalruzaman Abdullah. Saya bertanya berkali-kali untuk pengesahan, kerana mungkin kerana seawal pagi itu, saya sedang bermimpi. Perasaan sayu makin menyelinap ke segenap sanubari saya, apabila bertalu-talu menerima pesanan ringkas sms yang menyakinkan saya bukan berada di alam tidur.

Saya bukanlah  sahabat yang sudah lama mengenali beliau, sekadar mengenali secara jauh sewaktu dia menjawat Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenajung (GAMIS), tambahan dia aktif di Pulau Pinang. Saya menjadi sedikit rapat apabila dia pulang ke Kelantan bersama menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (DPPKB). Lebih merapatkan saya dengan ustaz Kamal kerana bilik pejabat kami hanya dipisahkan oleh dinding. Kerana itu bagaimana untuk saya menyeka airmata lelaki saya, untuk meratapi sekujur tubuh sahabat saya ini.

Masih terngiang-ngiang di deria pendengaran saya suara ketawa kecilnya. Sering kali tersenyum dan ketawa menandakan dia seorang yang riang dan tidak kedekut melontar senyuman.

Bila sahaja membicarakan Kamruzaman kepada sesiapa pun saya tidak akan terlepas menyebut bahawa beliau seorang yang cukup ikhlas. Ikhlas ketika berbicara, ikhlas melemparkan senyuman dan ikhlas bila melontarkan pandangan dan kritikan. Pandangannya kadang-kadang lantang, tetap tetap berhemah dan berhikmah.

Dia seperti pandai memujuk saya ketika saya dimain dengan pelbagai perasaan. Kita sebagai manusia, lebih-lebih lagi yang bekerja dalam jemaah akan berdepan dengan pelbagai perasaan bercampur-campur. Kata-kata ringkasnya memberi impak yang menenangkan saya. Samada ia dilontar antara emapat mata, mahupun melalui laman sosial muka buku. Kerana itulah secara peribadi saya ulangi Ustaz Kamaruzaman mempunyai sikap yang cukup-cukup ikhlas.

Saya tidak kekok berbicara dengan dia tentang beberapa isu yang saya akan berfikir banyak kali jika saya ingin lontarkan kepada orang lain. Kerana saya cukup yakin dengan keikhlasan hatinya yang luhur itu. Tidak perlulah saya panjangkan apakah topik dan isunya.

Sesiapa yang tidak mengenali beliau, mungkin mengira dia mempunyai sifat sedikit sombong. Tidak! Saya menafikan sekeras-kerasnya. Janganlah kerana seseorang kurang bercakap, lekas dilabel sombong. Ya, Kamaruzaman adalah termasuk kategori yang tidak bercakap banyak, tetapi apabila beliau mula bercakap penuh dengan idea dan pandangan yang baik.

Sewaktu dia mula menampilkan diri dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu awal tahun ini, Cikgu Wan Rahim, YDP kami mula merisik menanya saya, untuk mengenal siapa Kamalruzaman.

“Dia baru sahaja nak naik…” sepontan saya bersuara kepada Dato’ Takiyuddin sewaktu menziarahi rumah ayahandanya di Wakaf Che Yeh.

“Erm.., dia ada potensi besar dan dia yang nampak akan mengganti Cikgu Zuhairi Ketua Pemuda (DPPKB)” balas Dato’ Taki.

Selain menjawat Setiausaha DPPKB, dia adalah Timbalan Pengarah 3 DUN Bunut Payong. Saya baru saja ingin meraikan kemunculannya di Bunut Payong, dia sudah meninggalkan saya………

Kali terakhir saya bersama beliau pada 8 November 2011, dalam bilik pejabatnya, sehari sebelum dia ke Kuala Lumpur untuk bersama Dato’ Husam menyerahkan petikan ucapan Tun Abdul Razak berkenaan tuntutan royalti minyak Kelantan. Dua hari selepas itu saya dan kami kehilangan dia. Dia adalah milik DIA. Milik Allah.

Menambah kesayuan saya di saat dia pergi saya baru sahaja selesai menyiapkan projek video PAS Kawasan Kota Bharu untuk majlis makan malam yang sepintas lalu turut saya selitkan aksi sepontannya.

Dia pergi selepas menunaikan suatu tanggungjawab yang besar, memperjuangkan satu hak dan tuntutan. Bukan hak dia tetapi hak ummah, hak rakyat Kelantan.

Kerana perjuangannya adalah melawan suatu kezaliman dan kemungkaran, kita menyakini  bahawa Allah Taala akan menempatkan Ustaz Kamalruzaman bin Hj Abdullah bersama dengan para syuhada dan solihin. Dia terlebih dahulu diambil oleh Allah, kerana Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya dia adalah milik DIA.