Written by Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir
Isnin, 02 Apr 2012 14:03

 


(Para peserta tekun menulis khat di Kota Bharu)

KOTA BHARU, 2 April: Karnival Khat  berjaya dicatatkan dalam Malaysian Book of Rekords apabila seramai 604 Huffaz telah berjaya menulis 604 muka surat al-Quran melalui tulisan khat terpantas selama sejam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, mewakili pihak berkenaan menyampaikan sijil tersebut kepada Yang Dipertua Alumni Maahad Muhammadi, Ustaz Muhammad Yunan.

Seramai 604 orang peserta yang terdiri dari pelajar Maahad Muhammadi Lelaki, Perempuan dan sekolah-sekolah tahfiz di Kelantan mengikuti program berkenaan yang bermula kira-kira 11.00 pagi.
(Datuk Takiyudin menulis khat sebagai gimik perasmian)

 

Karnival itu diadakan sempena sambutan Jubli Intan Maahad Muhammadi dan Tahun Melawat Kelantan (TMK@2012).

Datuk Takiyuddin telah merasmikan program yang diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan itu.

Sebagai tanda majlis perasmian, beliau menulis ‘bismillahirrahmanirrahim’ juga teknik tulisan khat.

Takiyuddin ketika berucap merasmikan Seminar Seni Khat Kebangsaan (Seminar Haji Wan Solleh Fathi) berkata, seni khat warisan bangsa yang semakin pupus perlu digilap sentiasa agar ianya tidak hilang lenyap dek masa.

Menurutnya,  kerajaan Kelantan akan mempertahankan seni khat ini melalui latihan, seminar dan kursus kepada pelajar di sekolah masing-masing.

“Hasil tulisan khat ini akan ditempatkan di Muzium Islam, berhampiran Masjid Muhammadi,”ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga mengutamakan tulisan jawi.

Tambahnya, kerana itu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mempunyai unit tulisan jawi sendiri bagi memperbetulkan ejaan iklan yang dipohon melalui perlesenan.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohd Yusof Abu Bakar.

Seminar berkenaan diambil bersempena Haji Wan Solleh merupakan guru pertama seni khat Maahad Muhammadi (1940-1949).

Sementara itu, peserta dari Selangor Abdul Baki Abu Bakar memenangi hadiah RM3,000 setelah mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis tulisan khat.

Tempat kedua RM2,000 disandang Mohd Fadhil juga dari Selangor, ketiga Mohd Zulfitri Mohd Sabri juga dari Selangor untuk kategori dewasa.

Manakala kategori remaja tempat pertama Mohd Yaziz Shamsuddin dari Terengganu mendapat wang tunai RM1,500, kedua, RM1,000 Mohd Nazri Mohd Rashid dari Selangor dan tempat ketiga RM500 dimenangi Mohd Afifuddin Sabri, RM500.

Tiga hadiah saguhati kategori dewasa mendapat RM400, manakala remaja RM200.

Advertisements