Latest Entries »

Membingitkan! Bingit Bangat!

Bingit! Memang muzik bingit menjadi kegilaan remaja! Gila!

Itulah kesimpulan yang tak bermakna boleh saya gambarkan ketika berada dalam stadium sewaktu menguruskan sukarelawan Konsert Wali Band. Terlintas dalam hati saya mujurlah aku tidak pernah teruja untuk bawa anak isteri saya ke program seperti ini, walupun anak-anak saya juga fasih dengan lagu-lagu Wali Band. Saya pun kadang-kadang pelik juga di mana mereka dengar sedang saya tiada pun koleksi lagu Wali Band. Kereta saya tiada radio! Oh! Telefon Umi mereka agaknya!

Kelantan di bawah PAS sekali lagi memecah tradisi 20 tahun pemerintahannya membawa datang sebuah band yang dikategorikan sebagai band rock. Satu langkah yang berani dan bisa mengundang kontroversi. Ternyata kedengaran suara-suara bingit kontra dari dalam dan luar. Itu sudah menjadi lumrah. Pemikiran kita tidak semestinya sentiasa sehaluan dan sealiran. Pandangan yang berbeza itu kadang-kadang menghasilkan suatu natijah yang baik, berhikmah dan keputusan yang berkat.

Sungguh! Saya katakan bahawa ketika zaman kanak-kanak saya, kehidupan saya adalah di rumah. Saya seperti dikawal ketat oleh ibu saya walau pun saya selalu ikut ma dan ayah berniaga di dua permis perniagaan mereka.

Kehidupan saya boleh dikatakan berlegar di rumah kecuali ketika tengok bola. Selalunya saya bersama ayah ke Stadium Sultan Mohamad Ke IV. Jarang-jarang sekali, saya akan berjalan kaki dengan rakan-rakan ke stadium ikut  jalan short cut melalui Raja Dewa, tembus ke Jalan Sultan Yahya Petra, langsung sampai stadium. Saya nak beritahu bahawa berjalan kaki dari rumah ke stadium sampai. Kalau sekarang bayar sekali pun saya tak buat. Huhu..

Stadium tentu sahaja tidak putus-putus dengan acara dan keramian. Walau pun begitu ia seperti tidak menarik perhatian saya kecuali bola. Sebutlah apa sahaja konsert, hati saya tidak sekuat tarikan untuk tengok bola yang mana abang saya adalah sayap kiri skuad Kijang ketika itu.

Kalau saya katakan tidak pernah tengok konsert mungkin saya berbohong kerana zaman Umno Barisan Nasional memerintah program maksiat seperti itu berleluasa. Tapi ia boleh dibilang dengan jari bila ada kalangan ahli keluarga (bukan adik beradik) saya yang bawa saya ke stadium. Sengoti! ketika itu, tiap kali berada dalam program yang agak bingit-bingitan, saya akan mendongak ke langit! Apa berlaku kalau Tuhan turunkan tanda-tanda pengajarannya ketika itu!!?

Cuma suasana ketika dianjur oleh Umno dan PAS yang sangat berbeza. Apa yang boleh saya katakan jika dengan cara dan sistem keselamatan seperti hari  ini dikendali oleh Umno, mahu hancur lebur Stadium Sultam Mohamad ke IV! Tetapi malam semalam suasana tetap terkawal walaupun hanya pagar musang yang dipasang 100 meter dari stage.

Dulu, kawan-kawan sekampung pergi pun saya tidak join. Mungkin mereka juga rasa segan untuk ajak saya kerana walaupun saya berseluar jeans (rock la tu) sewaktu di Maahad Muhamadi, tetapi rakan-rakan sudah memanggil saya ustaz! Ustaz rock! Huhu…

Namun hari ini siapa sangka, saya bukan sahaja sering berada dalam program konsert di stadium, malah saya dilibatkan sebagai urusetia kerana saya berkhidmat dalam kerajaan. Bawah exco kebudayaan pula. Soalan.. Adakah ustaz tidak layak mengurus budaya? Owh! Tok Guru minta ustaz pun berdikir barat!

Bila berbicara dengan rakan-rakan sering saya luahkan “kalau tidak kerana tugas dan kerja, mungkin saya tak datang!” Saya ingin menzahirkan bahawa saya tidak biasa sangat dengan majlis seperti ini walaupun zaman remaja saya, boleh berkira juga lagu –lagu rock saya ingat. Tapi bukanlah yang bingit-bingit sangat! Huah!

Wali Band! Itulah yang masih bingit diperkatakan. Kumpulan tersohor dari Seberang yang dikatakan membawa unsur-unsur dakwah dan nasihat dalam lirik lagu mereka. Muzik tetap bingit, bingit bangat!  Tapi liriknya ada yang positif. Ada kritik dari band bingit lain yang mengatakan Wali Band hipokrit. Saya bukan hendak bincangkan itu.

Menyoro­­t pengalaman saya berada dalam Konsert Jom Heboh di Kota Bharu awal tahun lalu. Saya bukan sekadar hadir kerana tugas, tetapi saya melihat bagaimana ragam dan reaksi anak muda yang sememangnya fanatik dengan muzik bingit. Antara artis yang diundang Raihan, Lan Typewritter, Jamal dan Jay jay. Saya melihat bagaimana reaksi berbeza remaja yang gilakan muzik itu apabila aliran muzik aliran pop dan rock bingit dipersembahkan dan aliran nasyid mengambil tempat di pentas.

Bila sahaja Raihan mengambil tempat di pentas mereka mula mengundur, duduk, bercakap-cakap, isyarat tidak minat dengan aliran itu. Tetapi apabila sahaja Lan keluar, mereka kembali merapat.

Nasyid sebenarnya punya kumpulan peminat tersendiri. Selalunya pelajar aliran agama dan pelajar IPT. Nasyid hanya menjadi hiburan aliran perdana di saat kemunculan awal Raihan. Selepas itu ia kembali menjadi milik kelompok tersendiri. Taksub nasyid pun wujud. Makan nasyid, tidur nasyid, bangun nasyid. Dalam bilik air pun bernasyid. Apa jaminan bahawa nasyid tidak membawa kelekaan! Nasyid tak bingitkah? Tak kut! Hehe..

Soalnya adakah suatu yang terlalu negatif apabila kumpulan rock seperti Wali Band  diundang ke Kelantan. Saya bukan bermaksud untuk mempertahankan, atas dasar kerana saya berada dalam kerajaan. Kita bincangkan atas asas bahawa bagaimana kelak situasi kita bila Putrajaya menjadi milik kita dalam suasana politik, sosial, pemikiran rakyat dan sebagainya yang telah dirosakkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Program malam itu adalah anjuran sebuah konsultant sebagai memberi sokongan usaha pihak Cakna Palestin yang mengadakan program mereka. Kerajaan dilibatkan sebagai pihak yang bekerjasama. Yalah, apabila dilibatkan kerajaan, maka banyak perkara yang melibatkan kerajaan menjadi mudah. Tempat, pelbagai kemudahan, bajet lebih kurang dan sebagainya.

Berbalik kepada persoalan waqi’e dakwah. Kenapa Datuk Seri Ustaz Azizan yang menerajui kerajaan PAS Kedah tidak menutup semua kedai arak terutama di Langkawi yang bukan setakat merata, bahkan berlambak wak. Adakah Tuan Guru itu tidak patuh pada ajaran syariat yang tidak ada kompromi lansung tentang haramnya arak. Kerja jaga di kedai arak pun haram, apatah lagi menjadi cashernya. Tidak lain kerana berhikmah dalam berdakwah. Bukan mudah untuk membenteras 1001 tahi-tahi kemungkaran yang ditinggalkan oleh pemerintah sebelumnya.

Saya bersependapat dengan sahabat guru saya, Ustaz Nik Abduh lewat pertanyaan saya kepadanya, bagaimana kedudukan seni seperti ini kelak bila Islam yang memerintah. Ringkas sahaja beliau menjawab “dengan sendiri rakyat tak akan mahu..”

Ternyata 20 tahun PAS memerintah Kelantan, masyarakat yang tidak mahukan program seperti konsert wujud tetapi masa seiring dengan itu lahir remaja yang hidup dalam dunia yang direka oleh Yahudi. Muzik adalah kegilaan remaja yang sukar dibendung. Apabila kita memerintah adakah dalam tempoh 24 jam kita akan mengharamkan terus muzik? Buat masa ini saya tidak fikir begitu.

Remaja perlu dilayan mengikut citra mereka, tanpa membiarkan mereka hanyut tanpa kawalan. Kita di Kelantan memperkenalkan Enakmen Kawal Hiburan tanpa menyekatnya. Kawal, bukan  sekat. Jika enakmen tidak dipatuhi, maka ia tidak dibenarkan. Itu adalah usaha kita.

Namun buat masa ini, sebagai jalan dan cara untuk kita mencari puncak kemenangan, kita perlu memenangi hati dan citarasa masyarakat yang pelbagai. Asasnya Islam bukan agama regid sebagaimana yang digambar oleh barat. Walaupun tidak rigid tetapi bukan bermakna kita boleh bermudah-mudah. Dasar tetap menjadi dasar yang perlu dipertahankan hingga ke titisan darah terakhir. Prinsip dan methodogi yang boleh berubah mengikut masa dan keadaan.

Cukup mudahkah kita ingain mendakwah remaja untuk join program kita seperti memetik jari? Jom gi masjid, jom dengar nasyid, mari pergi ceramah, jom join usrah! Begitu mudah sekali?

Malangnya kita hanya tahu mengkritik, menghentam dan memberi komen yang emosional tanpa menghulur tangan untuk bersama menanganinya. Lagi malang memerhati dari jauh, kemudian menunggu peluang untuk menghentam dan terus menghentam. Bila diajak untuk berdakwah, paling kurang edar risalah seperti yang dilakukan oleh Sukarelawan malam itu pun, masing-masing mula bergeliat. Baik minum air di kedai katanya, atau main futsal lagi menyihatkan badan sendiri. Sendiri!!. Biarlah puak-puak itu punah dengan kepunahan akhlak mereka.

Tetapi sungguh! Semalam hati saya agar berdebar. Bukan berdebar kerana muzik bingit yang bisa mencopot jantung saya, tetapi   terkilan dengan pihak pengurus konsert, Anjung Tulus yang tidak secukupnya tulus. Kerajaan positif bila mereka juga tidak bersetuju jika ada countdown. Katanya mengapa harus mengikut budaya barat. Saya mungkin boleh berkompromi dengan muzik bingit Wali Band tetapi tidak dengan pihak yang gagal mematuhi enakmen kawalan hiburan.  Atas kertas panganjur bersetuju membuat halangan pemisah antara penonton, tetapi mereka hanya membuat halangan antara pentas dan penonton. Ternyata mereka hanya jaga Wali Band dan tidak jaga pengasingan penonton. Alasan mereka pihak stadium yang mensyaratkan saat akhir padang tidak boleh dipijak tidak boleh diterima. Padanlah muka mereka rugi kerana jualan tiket yang lembab. RM 20 besar bagi orang Kelantan besar. Lebih mahal dari tiket bola kata bos saya. Yang jadi mangsa Sukarelawan. “ aku beli tiket mahal-mahal duduk jauh.” “ Ikut kawe nok duk mano pun.” Itu pula herdikan mereka bila Sukarelawan menegur tempat duduk. Itu orang lain tak rasa kecuali Sukarelawan kami.

Khabarnya selepas ini Maher Zain pula akan datang. Pastinya saya juga akan terlibat walaupun sekadar jong gi mari gi mari. Bos saya adalah orang yang bertanggungjawab akan membawa Maher Zain. Saya cukup yakin dengan cara dan pengurusan bos saya. Walau pun saya juga minat lirik lagu Maher Zain, tetapi kalaulah majlis ini diserahkan kepada pihak yang tidak cakna dan tak menghayati aspirasi pihak kerajaan, saya rasa tak payahlah dianjurkan, walaupun Maher Zain dikategorikan sebagai penasyid. Nasyid yang pastinya bingit cara nasyid!

“ Ana tanya Saifudin, nak lantik sapo SU Sukarelawan, dia cadang enta.”  Di situlah bermulanya episod saya terlibat dengan Ekspo Cheng Ho 2010. Atau nama rasminya Cheng Ho Expo 2010 : Kelantan – China International Trade Fair.

 

Individu yang melantik saya itu adalah Tuan Haji Mohd Adilan bin Mat Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Ekspo Cheng Ho. Tentu sahaja beliau dilantik oleh pihak kerajaan Negeri Kelantan, penganjur kepada ekspo terbesar yang pernah diadakan di Kota Bharu.

 

“ Enta tok soh oyap banyok-banyoklah ko bos enta, ana maklum dah ko dia sepatah,” ujar Hj Adilan lagi. Bos yang dimaksudkan tentu sahaja Dato’ Taki yang kami panggil abang.

 

Saya pula diberi tanggungjawab oleh Hj Adilan untuk mencari rakan-rakan yang akan bersama dalam agenda yang maha besar ini. Kenapa tidak maha besar kerana kami diwar-warkan peringkat awalnya untuk mencari 2 ribu sukarelawan!

 

Kami sahut cabaran itu walaupun dalam debaran demi degupan! 2 ribu bukan angka kecil! Ya Allah!! Mampukah kami??

 

Ketika mana jawatankuasa-jawatankuasa kecil lain belum lagi mengadakan mesyuarat jawatankuasa masing-masing, kami paling kurang seminggu sekali pasti bertemu. Kalau tidak secara formal mesyuarat di bilik mesyuarat, kami diadakan juga di restoran dan kedai makan.

 

Ketika itu pihak kerajaan memutuskan ia diadakan pada Oktober. Bayangkan kami dilantik pada bulan September, ekspo akan berlangsung sebulan daripada itu. Bukan 2 ribu semut! 2 ribu orang!

 

Kami sedikit menghembus nafas lega apabila pihak kerajaan membuat ketetapan baru. Ekspo Cheng Ho ditunda ke bulan November. Kami bukan sekadar mewarwarkan dalam facebook, tetapi kami mengambil pendekatan menjelajah ke sekolah-sekolah sekitar Kota Bharu. Terima kasih khas kepada Ustaz Ubai, Ustaz Rosdi dan Dr Farhan yang banyak membantu saya ke hulu ke hilir memberi taklimat dan penerangan terutama kepada pelajar STAM. Hampir 10 buah sekolah kami serang dan KIAS turut jadi sasaran. Ternyata stategi itu berjaya walaupun tidak dapat disembunyikan kepenatan rakan-rakan.

 

Bulan Ramadhan karim kami dihabiskan dengan berfikir dan merancang untuk mencapai target 2K!. Moga ia juga menjadi amalan kami yang berganda pahalanya. Atas faktor kewangan pada masa itu, pihak YB Hj Zulkifli Mamat terpaksa akur dengan situasi bahawa kerajaan hanya mampu menanggung kos sukarelawan dengan jumlah 1 ribu orang. Walaupun kurang separuh ia tetap menjadi cabaran yang hebat kepada kami. Tambahan kami diarahkan supaya juga mencari sukarelawan kalangan belia cina. Satu lagi cabaran! Ini lagi maha besar cabarannya. Ah! Rasulullah lagi besar cabarannya berdakwah kepada kafir Quraisyh! Ingatkan itu jiwa jadi sedikit tenteram.

 

Menyebut tentang kos, tak keterlaluan jika saya sebutkan bahawa, sememangnya faedah-faedah yang dijanjikan apabila menjadi Sukarelawan Ekspo Cheng Ho turut menjadi umpan! Manakan tidak. Sebelum ini jarang kerja amal kita dihulurkan upah dan ganjaran. Benar juga kebimbangan yang dilontar oleh Kak Iraaa!!!

 

Cabaran demi cabaran kami tempuhi. Penghargaan khas saya kepada saudari Mas Athirah dan saudari Tuan Azizam. Merekalah yang berkerja dari mula. Mas Athirah memang banyak membantu saya. Dia hanya menampilkan ereksi wajah senyumannya yang pelbagai apabila kadang-kadang arahan saya berlapis-lapis. Maaf Mas jika saya seperti mengarah. Mengarah bukan sifat semulajadi saya. Tuan Zam dengan gelagatnya yang menghiburkan semua orang seperti tiada masalah pada wajahnya. Saya bukan tidak menghargai dan menafikan peranan besar orang lain. Tetapi meraka adalah tenaga awal yang bertungkus lumus selain Ustaz Rosdi yang saya juga baru kenal melalui cadangan rakan saya yang lain.

 

Kursus yang diadakan bagi 2 kumpulan dan 1 kumpulan lebih kepada taklimat, mendedahkan saya kepada saya cabaran berbeza, maklumat yang serba baru dan tugasan yang semakin mengujakan. Terimas En Husnal dan Puan Siti Aisyah.

 

Kami tempuhi dengan sabar walaupun karenah dan cabaran semakin kuat mendatang. Cabaran makin mengganas kerana serba kerja yang dibuat dalam jangkaan waktu yang terdesak dan singkat.

 

Hari yang dinantikan bermula dengan Pelancaran Rasmi Sukarelawan  Ekspo Cheng Ho. Saya amat-amat puashati mendengar lirik  ikrar dan haka ciptaan saya menjadi! Maaf. Bukan syok sendiri, tetapi rasa berbaloi sebagaimana semua orang puas hati dengan hasil kerja sendiri.

 

Pimpinan yang hadir tidak putus-putus dengan kata-kata “Hebat! Hebat!” Juga buka hanyut dan terkasima dengan lambungan pujian dan sanjungan, tetapi rasa kepuasan bersama dengan penat lelah memerah tenaga, idea dan berbalah dalam mesyuarat!

 

Semua potfolio menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bersemangat. Tiada potfolio yang dilihat lebih antara potfolio. Seperti yang saya laung-laungkan dalam ucapan Himpunan Terakhir Sukarelawan Ekspo Cheng Ho. CC bekerja tak kenal siang malam. KL bertugas bemandi hujan, berpanas mentari. KK berkejaran mengurus mereka yang memerlukan rawatan. PT berjam-jam berdiri kesejukan dalam penghawa dingin. PR bergerak dari utara ke selatan mana, dari timur ke barat dunia. SD setia dengan kerja tak glamor pun. PL memerah keringat seawal hari raya haji pertama!

 

Alhamdulillah kami dapat melakukkannya. Ya!! Bagaikan tak percaya kami dapat menguruskan hampir 1.2 ribu manusia yang pelbagai karenah, watak dan bangsa. Alhamdulillah! Ternyata kalian memberi kerjasama sepenuh-penuhnya!!! Kita bersama melakukkannya!! Alhamdulillah!! Dalam tempoh kurang lebih sebulan saya bertaaruf dengan 1.2 ribu orang!

 

Cabaran kami belum berakhir, bahkan seperti baru akan bermula semula. Di saat ada yang teruja dengan cadangan pihak kerajaan untuk menjadikan kumpulan ini sebagai Sukarelawan Kerajaan Negeri Kelantan, hati saya diselubungi kegundahan kelana. Apakah kita mampu untuk terus mara ke depan dengan pelbagai cabaran yang belum terlangsai. Dengan pujian dan sanjungan yang kita terima, saya bimbang apakah kelak kita mampu untuk memastikan sukarelawan ini terus survival dan merealisasikan dasar kerajaan membangun bersama Islam ini. Tapi kata orang kebimbangan itulah yang menjadikan kita normal!

Volunteers!!!!! IKHLAS MEMBANTU!!!!!

 

 

IJTIMA’ TARBAWI

Rasanya seperti sudah agak lama tidak berada dalam program yang berdepan dengan situasi yang mencabar. Bukanlah mencabar sangat sebagaimana getirnya Rasulullah dan sahabat berada dalam mukhayyam peperangan. Sekadar tiada air dan tidur di masjid bukanlah kepayahan yang melampau. Ijtima Tarbawi Pemuda PAS Pusat di perkampungan Rusila Terengganu. Suasana panas dan menghidu peluh sahabat-sahabat itulah suatu yang sukar dicari dalam dunia perjuangan sekarang, hatta dunia perjuangan PAS yang semakin senang. Keinginan saya untuk terus berada sepenuhnya dalam ijtima’ itu juga terhalang. Terhalang kerana Wacana Perdana dan terhalang dek nafsu yang sentiasa beralasan.

Pun begitu walaupun sebentar, hati amat-amat tersentuh dengan kehadiran syeikhuna wa murabbina Ustaz Dato’ Hj Yahaya bin Othman dalam ijtima yang kembali mengamit nostalgia pejuang-pejuang PAS terdahulu itu. Walaupun pembentangan beliau hanya keesokan harinya, beliau datang awal untuk menyertai majlis perasmian oleh Tuan Guru Dato’ Seri Presiden pada malamnya. Ketika sesi pembentangan beliau pula, jelas tampak keuzuran beliau terketar-ketar bangun. Tetapi menakjubkan! Beliau tidak duduk di kerusi yang di sediakan, sebaliknya kekal berdiri ketika berucap!

Sepatutnya beliau menumpang kenderaan Ustaz Azariza bersama saya untuk pulang ke Kota Bharu sebaik sahaja pembentangan tamat sekitar jam 10 pagi. Tetapi beliau memilih untuk terus berada hingga ke petang kerana ingin mengikuti sesi forum pula.

Masyaalah! Bagaimana mata saya ini tidak menumpahkah sebutir dua manik-manik air melihat kegigihan beliau. Di mana kedudukan saya berbanding dia? Tidak selayaknya dibandingkan. Sedang saya masih bergelut melawan hawa nafsu yang tidak sudah-sudah!

CHENG HO EXPO 2010 : KELANTAN – CHINA INTERNATIONAL TRADE FAIR

Saya bekerja tidak lain adalah kerana saya meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada rakyat Kelantan yang mesti mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh ulama ini. Kerana itu saya tidak menyanggah bila ditaklifkan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Ekspo Cheng Ho 20101. Saya bekerja tanpa perlu membuat perhitungan bekerja untuk siapa dan kepada siapa. Ya, sememangnya keserasian itu adalah perlu, tetapi terlalu tunduk kepada sentimen dan kehendak nafsu sendiri, juga saya kira suatu yang boleh merosakkan.

1000 orang bukanlah angka yang kecil. Angka itulah yang menjadi sasaran kami. Tenaga dan minda diperah dan dikerah untuk menghasilkan kuantiti angka itu. Jika Pemuda PAS Pusat telah mencapai target menghimpunkan pemuda dalam Ijtima Tarbawi, itu juga harapan saya. Cuma saya tidak termampu mengalasnya seorang sebagaimana Rasullulah memikul Risalah bersama Sahabatnya.

Mungkin. Mungkinlah kerja saya mencari sedikit mudah kerana tawaran-tawaran keistimewaan yang ditawarkan apabila menjadi sukarelawan. Saya mendoakan pada diri saya agar tidak meletakkan metarial di hadapan saya apabila saya memperhambakan diri untuk kerja-kerja Islam. Anda bagaimana?

WACANA PERDANA

“ Tak dok doh ko wacana (Wacana Perdana) lepas ini?” Masih terngiyang-ngiyang ekspersi wajah Prof Agus ketika melontarkan soalan itu kepada Ustaz Baihaqi sewaktu kami makan pagi di warung belakang Hotel Renaissance pagi tadi. Emosi saya terusik sehingga saya tidak dapat menanggapi jawapan yang diberi oleh pengarah tetap program yang semakin tersohor di seantero dunia itu. Sesungguhnya dunia menyaksikan forum itu bila internet tidak buat hal.

Kami berkerja untuk Wacana Perdana juga tanpa menoleh ke belakang. Segalanya untuk memperkasakan kerajaan Islam Kelantan. Balasan?? Ah! Jangan sentuh soal pengorbanan dan keperitan yang dicurah dan dirasakan. Bimbang ia bisa memakan pahala, bahkan boleh memalit dosa. Korban dan perit itu sebenarnya yang memaniskan perjuangan.

Selalunya saya gembira. Gembira setiap kali selesai Wacana Perdana, walaupun untuk kesekian kalinya saya tidak banyak menyumbang tenaga, sebagaimana lelahnya sahabat saya Saifudin bercawat kote memastikan acara ini berjalan sebagaimana dirancang. Dia juga tidak banyak menggamit saya, mungkin kerana memikirkan masa saya terfokus kepada volunteer Laksamana Cheng Ho.

Ya, kalau pun ada sekelumit rasa gembira, ia seperti cepat sirna, tambahan lagi mengingat sapaan prof Agus tadi. Dia bagai terhidu kepada senario yang berlaku dan bakal terjadi. Cukuplah setakat ini. Saya tidak dapat bayangkan kehidupan saya dan kami selepas ini tanpa wacana. Allah sahaja yang maha mengatur segalanya.

CAKNA RAKYAT DUN BUNUT PAYONG

24 SEPTEMBER 2010

9 PAGI – 11 MALAM

DI LEMBAH SIREH

PERASMIAN OLEH YB TN HJ ABDUL FATTAH BIN MAHMOD (PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN INSAN, BELIA, SUKAN DAN NGO NEGERI KELANTAN

SEMUA DIJEMPUT HADIR. JAMUAN AIDIL FITRI JAM 12 TENGAHARI

Sejak kesekian lama, jemari ini tergerak untuk menekan keyboard bagi tujuan mengirim pos ke annasru.wordpress.com. Bukan kerana kekangan masa, bukan juga hambatan tugas…tetapi boleh jadi kerana dunia facebook yang menjadi angkara.

Ok. Inilah entri yang saya muatkan untuk kali ini.

Untuk mengumpul dan menghimpun manusia bagi tujuan-tujuan tertentu bukanlah suatu hal yang mudah. Sedangkan himpunan dan perkumpulan adalah suatu sifat tabie bagi makhluk. Semut berkerumun biasanya jika ada sesuatu yang manis. Atas sifat makhluk, boleh jadi manusia pun punya sifat begitu. Hingga terpaksa diumpan dengan makanan, walaupun makanan juga belum tentu boleh menarik minat orang datang. Sesetengah perkumpulan diumpan dengan elaun dan bayaran. Saya fikir pengumpulan seperti itu bukan tajaan PAS!

Islam mensyariatkan beberapa amalan yang menuntut manusia beriman agar berkumpul. Himpunan harian sebanyak 5 kali disebut solat jamaah. Himpunan mingguan melalui solat Jumaat. Manakala himpunan besar bersifat tahunan berlangsung di Kota Suci Mekkah.

Himpunan Aidil Fitri Bekas Maahad Muhamadi Lelaki yang berlangsung pada 4 Syawal lalu di padang Maahad Muhamadi Lelaki, saya kira mencatat sejarah tersendiri. Maklumat tidak rasmi menyebut 8 ratus orang mengisi borang pendaftaran. Dan ramai juga yang tidak isi. Itu belum masuk yang tidak dapat hadir kerana kembali bertugas di rantaun. Ada yang sampai maklumat sedangkan berhasrat untuk hadir. Tidak termasuk juga yang tahu, tapi tidak mahu hadir.

Lazimnya pertemuan Aidil Fitri diadakan mengikut batch (bahasa melayunya apa eh?) masing-masing. Atas usaha dan inisiatif mereka. Paling menonjol pertemuan aidil fitri yang dianjurkan oleh persatuan Alumni Maahad Muhamadi (AMAL). Persatuan yang berusia lebih sedekad ini mampu mengumpulkan alumni Maahad generasi baru dalam jumlah yang besar.

Hanya satu harapan yang diletakkan susulan pertemuan itu. Kita mahu menjadi sebuah persatuan alumni yang gah dan megah. Gah kerana mampu mengumpulkan genarasi lepasan Maahad Muhamadi semenjak penubuhannya sebagai Jamie’ Merbau. Megah kerana mampu kembali menyumbang kepada sekolah yang menjadikan kita sebagaimana kita pada hari ini.

* Gambar-gambar adalah ehsan rakan-rakan

Sempena kedatangan Ramadhan 1431, Kementerian Pelancongan Malayisa diwarwarkan akan menganjurkan suatu pesta yang dinamakan Festival Ramadhan pada tahun ini bertempat di I-City Shah Alam. Sebelum ini lokasi sama diadakan festival sempena sambutan Hari Natal. Antara yang disebut tujuan Festival Ramadhan yang bakal dianjurkan oleh kementerian yang diterajui oleh Datuk Sei Ng Yen Yen ialah untuk menarik pelancong daripada timur tengah.

Di Kelantan, secara khusus di Kota Bharu semenjak Kelantan diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS), program yang dinamakan Ihya Ramadhan di Serambi Mekah telah dilaksnakan selama hampir 20 tahun yang lalu. Bermula dengan khemah terawih di tengah-tengah pusat bandar di Parit Dalam, hari ini ia dijadikan sebuah perkampungan di perkarangan Stadium Sultan Muhamad ke IV yang dinamakan Qaryah Ramadhan. Qaryah dalam bahasa arab bermaksud kampong. Qaryah Ramadahan mula diperkenalkan pada tahun 2007.

Adakah ini satu lagi inisiatif kerajaan negeri Kelantan yang ingin ditiru oleh kerajaan pusat selepas mereka meniru cuti Sabtu, cuti bersalin, takaful warga emas dan sistem gadaian Islam dan lain-lain.

Qaryah Ramadhan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri padat dengan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan amalan dan ibadat rakyna Kelantan. Antaranya majlis ifor (berbuka) secara terbuka yang setiap hari anggaran ratusan orang yang turut serta. Makanan disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan penajaan bandan korprat serta sumbangan orang ramai.

Solat terawih pula diimami oleh imam yang didatngkan dari Mesir. Imam ini juga bertindak sebagai pembimbing untuk memperbetulkan bacaan Al Quran selepas selesai solat terawih. Pada sebelah dinihari pula imam ini akan mengetuai solat qiamulaill.

Selain itu pelbagai aktiviti lain diadakan sepanjang bulan ramadahan seperti forum atau ceramah sempena Nuzul Quran dan Badar Qubra. Sebelah petang para belia dan remaja dihidangkan dengan slot-slot intraktif dan talkshow yang member maklumat dan aktiviti bermanafaat kepada mereka.

Lebih menarik sepanjang malam hingga ke subuh pelajar-pelajar maahad tahfiz mengadakan relay Al Quran yang dibaca secara berterusan.

Pihak kerajaan juga melalui syarikat kaitan dengan kerajaan (GLC) mengambil peluang menyampaikan zakat dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Pendeknya pelbagai aktiviti keagamaan dilangsungkan di Qaryah Ramadhan dalam usaha untuk menghidupkan (ihya’) ramadhan di Kelantan. Sebagaimana yang sering diwar-warkan oleh Dato’ Takiyuddin bin Hj Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan “Kalaupun kita tidak dapat merasai suasana Ramadhan di Mekah, paling kurang kita merasai kemeriahan Ramadhan di serambi Mekah”

Fesitival Ramadhan telah mendapat bantahan daripada bebrapa pertubahan bukan kerajaan jika ia dianjur atas sifat sebuah pestaan semata-mata dengan tidak mengambil kita tujuan ibadah dan peningkatan amalan di bulan mulia ini.

Tujuan Ng Yen Yen untuk menarik pelancong arab menyertai Festival Ramadhan ini juga suatu yang agak melucukan. Masyarakat arab yang begitu teruja dengan suasana Ramadhan di negara mereka tidak akan melancong ke luar negara semata-mata untuk menyertai suatu festival yang sekadar untuk tunjukan bahawa kita kaya dengan pelbagai makanan melalui jualan bazaar Ramadhan. Adakah orang arab selera utuk menikmati bubur lambuk kita.

Sepakat ke Putrajaya

Baru saat ini saya punya sedikit masa yang agak selesa untuk mencoret sesuatu tentang Muktamar Agung Tahunan PAS yang baru sahaja berakhir Ahad lepas. Malamnya saya diundang ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra untuk membentangkan tajuk Mahasiswa Profesional Membangun Ummah Sejahtera. Walaupun sibuk dengan muktamar, Allah Taala tetap memberi peluang untuk aku menyiapkan bahan dalam bentuk power point. Tajuk hanya diberi 2 hari sebelum program! Pengurusan yang kurang profesional!

Tok Guru sewaktu memantau persiapan

Tok Guru sewaktu memantau persiapan


Malam berikutnya saya terikat dengan program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Darul Naim. Saya ditaklifkan mengacarakan majlis mega yang disempurnakan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia. Alhamdulillah segalanya berjalan mengikut agenda.

Asalnya saya tidak punya tugas khusus pada muktamar kali ini. Atas kapasiti saya sebagai pegawai khas kepada bos saya yang kebetulan diberi tanggungjawab sebagai pengarah, maka saya lazimnya melaksanakan tugas saya yang bersifat bebas (istilah yang sering kami sebut tak masuk book). Status sebagai Pegawai Khas memberi lesen kepada saya untuk bergerak atas potfolio bos saya. Tapi tidaklah sampai saya mengggala tanah orang atau merempuh tak tentu kalu.

Beberapa hari sebelum berlangsung muktamar saya menjenguk ke PUTIK, lalu masuk ke mesyuarat unit persegaran yang sedang berlangsung ketika itu. Ketua unit persegaran YB Kak Ubai dan YB Kak Ani. Kerana Kak Ani yang mengepalai unit ini, tentu sahaja ekor-ekornya orang Kota Bharu. Saat membincangkan teknikal servis untuk jamuan VVIP, timbul isu ajk untuk VVIP masih belum beres. Lantas Setiausaha Unit, Puan Noreha mengerling kepada saya. Apa lagi tak dak kerja kena kerjalah. Saya mudah mengambil sikap menerima atas beberapa munasabah. Paling utama saya punya peluang emas untuk melayan VVIP yang tentu sahaja kalangan pimpinan tertinggi. Lebih-lebih lagi dapat merapati 2 Tok Guru yang disanjungi. Berpeluang makan minum bekasan mulut mereka.

Dengan pengalaman yang seadanya saya melakukan yang saya kira yang terbaik.

Mesranya mereka..

Mesranya mereka..


Sewaktu melayan VVIP, paling menyerlah saya melihat senario mesra antara pimpinan tertinggi. Mursyidul Am boleh berkongsi makanan dengan Timbalannya. Di meja makan Presiden bertukar pandangan dengan Naib-naib Presidennya. Timbalan Presiden bertentang mata bertukar maklumat dengan mantannya. Saya tak fikir pimpinan bersikap bermuka-muka sebagaimana hipokritnya media lama dan media baru melaga-lagakan mereka.

Untuk kesekian kalinya saya dapat menuangkan air minuman kepada Almarhum Ustaz Hassan Syukri yang baru sahaja kembali ke rahmatullah…

Disifatkan khutubkhanah dan pakar perlembagaaan PAS

Khutub khanah dan pakar perlembagaaan PAS


Muktamar kali ini saya kira antara terbaik daripada sudut pengurusannya. Bukan atas faktor bos saya yang mengurusnya, tetap lihat sahaja dalam sekelip mata PUTIK berubah wajah. Tak tahulah selepas ini, harap-harap ianya terus maintain.

Suara-suara sumbang yang kedengaran adalah lumrah dalam berkerja. Orang arab berperibahasa ” Mata (pandangan) manusia suatu yang tiada penghujungnya.” Ibarat kata Joha si pandir Mesir. Aku naik keladai dikatakan zalim pada haiwan, aku mengheret keldai dikatakan bodoh kerana tidak menungganginya, aku memikul keldai dikata pula aku gila!!

Biasanya yang bersuara sumbang itu adalah kalangan yang duduk saja-saja, kalau kerja pun sambil-sambil lew. Owh! Mengkritik pun sebahagian daripada kerja. Kerja membebel!!

Ustaz Yahya hadir muktamar pemuda meskipun uzur

Ustaz Yahya hadir muktamar pemuda meskipun uzur


Muktamar ini bagi saya adalah muktamar paling tenang, paling linang kata orang Kelantan. Sesekali timbul kritikan pedas dan tajam adalah fenomena biasa dalam bermusyawarah. Saat Nabi mencari penyelesaian untuk tidak masuk ke Tanah Haram kerana sekatan Quraish, pandangan Nabi seakan tidak dipeduli. Nabi seperti kecewa mengadu pada isterinya Ummu Salamah, pertama kali dalam hidupnya arahan tidak dipatuhi Sahabat yang cukup teruja untuk umrah. Kebijaksanaan sayap muslimat (Ummu Salamah) menyaran Nabi terlebih dahulu bercukur dan mengorbankan unta, menyebabkan sekalian sahabat mengikutinya. Ya, kadang-kadang kita buat tanpa perlu mengarah banyak. Hasilnya akan ada yang menghulur tangan.

Pimpinan yang matang dan berwibawa akan melihat ia sebagai teguran yang membina, walaupun nada kritikan yang dilontarkan seketika mampu mengigit naluri dan jiwa.

Tinggal lagi ucapan pergulungan yang dirumus oleh pimpinan bermula daripada Mursyidul Am mahupun pimpinan Dewan-dewan merupakan amanat dan arahan daripada kepimpinan perdana. Barangkali ada arahan yang tidak menepati atau tidak berapa selari dengan pandangan kita. Tetapi seandainya kita meimani arahan Nabi, taatlah kamu kepada arahan pimpinan walaupun dia seorang kulit hitam yang rambutnya bak zabib, maka taat patuhilah arahan itu. Jadikan ia inspirasi perjuangan dalam mencapai aspirasi jemaah. Bukan mengikut emosi kita sendiri-sendiri yang belum tentu benar salahnya.

Road to Puterajaya. Sepakat ke Putrajaya. Islam Adil Untuk Semua

Bukan tidur..mengamati perbahasan..

Bukan tidur..mengamati perbahasan..



* Visual adalah ehsan rakan-rakan

27 Mei – Pihak kerajaan Negeri Kelantan melalui agensi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) akan menjalinkan kerjasama lebih erat dalam aspek pelancongan antara negeri Kelantan dan Selangor.
Hal ini dipersetujui antara Dato’ Hj Takiyuddin bin Hj. Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan dan Cik Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Selangor dalam pertemuan mereka di pejabat TIC di sini, hari ini.

Turut serta dalam perjumpaan ini ADUN Rawang, Gan Pei Nei yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor.

Cik Elizabeth Wong yang menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Kota Bharu mengambil peluang mengadakan pertemuan empat mata dengan Takiyuddin Hassan.

” Kita amat-amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang ingin berkerjasama dengan kita, terutama negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, hasil daripada persidangan pelancongan yang diadakan di Langkawi sebelum daripada ini,” kata Takiyuddin.

Sementara itu Elizabeth dalam taklimatnya menyatakan hasrat untuk menjalinkan suatu projek usahasama berupa pakej pelancongan antara kedua-dua buah kerajaan yang turut melibatkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

“Adalah dicadangkan pelancong samada dalam atau luar negara akan menikmati pakej ini dengan berada di kedua-dua buah negeri ini selama beberapa hari yang dipersetujui bersama,” ujarnya.

Cik Elizabeth juga memohon pihak kerajaan negeri menghantar suatu kontijen sempena dengan pesta muzik kebudayaan yang akan dilangsungkan di Selangor dalam bulan Jun depan.

Selain itu persetujuan juga dicapai bersama untuk mempromosi pelancongan agama (Ibadah tourism) yang terdapat di Kelantan seperti Ihya Ramadhan dan Quran Aidil Adha dan sebagainya.

M Faqih (Wartawan Harakah)

KOTA BHARU, 19 Mac: Apabila disebut program Jom Heboh tentunya kita terbayang aksi artis lelaki dan perempuan terlonjat-lonjat di atas pentas.

Namun, lain pula dengan Jom Heboh yang akan diadakan di sini pada 26 dan 27 Mac ini, tiada artis wanita ditampilkan pada konsert yang akan diadakan.

Sebaliknya konsert itu pada malam 27 Mac hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Selain itu, difahamkan tiada siaran langsung dibuat bagi konsert berkenaan seperti dilakukan TV3 di negeri-negeri lain sebelum ini.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila tempat duduk di antara lelaki dan wanita diasingkan pada persembahan konsert terbabit.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihak penganjur telah memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Mereka bersetuju untuk mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 yang dikuatkuasa di negeri ini.

“Datuk Takiyuddin Hassan sebagai anggota Exco yang bertanggungjawab memberi penekanan mengenai perkara itu pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini,” katanya.

Karnival Jom Heboh TV3 sebelum ini lebih dikenali sebagai Sure Heboh diadakan di seluruh negara kecuali Kelantan.

Bagaimanapun, TV9 pernah menganjurkan program Sua Rasa dan Perkampungan Hadhari di Kota Bharu sebelum ini tanpa melibatkan percanggahan dengan dasar kerajaan negeri.

Program Jom Heboh akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.

Nasruddin juga berkata, sebuah khemah besar yang dinamakan sebgai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat dan pameran program Jejak Rasul.

“Dijangka Pemangku Raja akan hadir pada program al Kuliyyah yang akan disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac yang bakal diadakan di khemah tersebut.

“Selain itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco dijemput untuk mengisi program Talk Show,” katanya.

Program dua itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan

Kota Ilmu

Kota Ilmu


Tajuk di atas kelihatan agak agak emosional. Namun harapnya isi tidaklah menggambarkan tajuknya..

Saya dihujani beberapa soalan berhubung dengan penganjuran Karnival Jom Heboh yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV 26 dan 27 Mac depan.

Isunya ialah kenapa Kelantan meluluskan Jom Heboh yang dulunya dikenali dengan Sure Heboh. Sure Heboh bertukar kepada Jom Heboh selepas menerima banyak bantahan terutamanya daripada pakar bahasa, berhubung dengan penggunaan kata Inggeris sure.

Mufti Perak, Datuk Harun Sani pernah mengeluarkan fatwa bahawa Sure Heboh adalah suatu program yang hukumnya haram. Ia merujuk kepada beberapa aktivitinya, terutama persembahan konsert malam terakhir yang dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan, penampilan artis wanita dengan aksi yang melampau dan percampuran bebas antara khalayak penonton.

Hanya sekali itu sahaja beliau mengeluarkan kenyataan atau fatwa tersebut ketika awal-awal Sure Heboh diperkenalkan.

26 dan 27 Mac depan Jom Heboh bakal bertandang ke Kota Bharu. Isu kedatangan karnival anjuran Media Prima ini tidaklah heboh sangat tetapi ia tetap mengamit perbincangan, bias kepada fatwa Harun Sani yang mengiktiraf kerajaan kudeta haram Perak.

Jom Heboh di Kota Bharu diluluskan dalam persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Tok Guru Menteri Besar menyerahkan tangunggjawab kepada exco kebudayaan dan pelancongan, Dato’ Takiyuddin dan jawatankuasanya turut dianggotai oleh dua exco lain. Dr. Fadhli dan Kak Ubai.

Sebelum ini pihak TV3 tidak pernah memohon untuk bertandang ke Kelantan bagi tujuan mengadakan karnival tersebut kerana menganggap Kelantan menutup pintu kepada aktiviti hiburan dan seumpamanya.

Namun selepas melihat kejayaan penganjuran Karnival Sua Rasa TV9 tahun lalu dan tidak timbul sebarang isu penganjuran tersebut, maka TV3 membuat permohonan dan ia diluluskan oleh pihak kerajaan negeri.

Pihak kerajaan terlebih dahulu membuat penegasan bahawa segala aktiviti berbentuk karnival hendaklah tertakluk kepada Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Perlu disebut bahawa kerajaan Kelantan sesekali tidak menyekat atau mengharamkan hiburan, tetapi sebaliknya kerajaan mengawal hiburan di bawah enakmen ini.

Karnival dua hari yang akan berlangsung di stadium Sultan Muhamad Ke 4 ini dinaungi oleh Tengku Amalin Puteri dan Yang Amat Mulia Pemangku Raja dijangka berangkat untuk mengikuti program Al Kuliyyah di Kota Ilmu.

Kota Ilmu adalah khemah besar yang menempatkan ruang solat yang luas, pameran Jejak Rasul dan dijangka sarat dengan akiviti-aktiviti keagamaan.

Manakala pada malam akhir, sebagaimana ataurcara rutin Karnival Jom Heboh akan diserikan dengan persembahan konsert berunsur ketuhanan. Dato Takiyuddin dalam bebarapa mesyuarat dengan pihak TV3 menegaskan bahawa pihak TV3 perlu mematuhi wajib menyenaraikan selebriti yang akan muncul dalam konsert tersebut. Beliau juga memohon pihak TV3 menyenaraikan lagu-lagu yang akan disampaikan.

Selain itu penegasan daripada sudut pengasingan tempat duduk penonton yang dibahagikan kepada tiga iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.

Akhir sekali saya ingin menukilkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Kelantan melalui laman web :

http://www.pemudaumno.org.my

Ketua Pemudanya, Dali Hussin berkata pihaknya sudah menjangkakan perkara itu kerana tidak apa yang mustahil dalam kamus Pas asalkan tindakan yang dibuat itu boleh mendatangkan kepentingan politik kepada mereka.

Menurut beliau segala dasar yang diwujudkan sebelum ini hanya sekadar alat politik semata-mata yang lebih menjurus kepada kosmetik Islam.”