Latest Entries »

Pembuka Tirai 2010

Biar pun tirai 2009 ditutup pada 31 Disember dengan berita Kerajaan Kelantan disaman sebanyak 800 juta namun beberapa senario pembuka tirai 2010 diharap dapat mendingin, mengharmonis dan menyegarkan fenomena serta iklim politik Kelantan, terutama politik anak beranak negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, Serambi Mekah dan Negeri Tadahan Wahyu ini.

Antara fenomena menarik yang mungkin tidak berlaku di negeri-negeri lain

1. Pemangku Raja Kelantan mengimami solat hajat di Stadium Sultan Mohd ke IV yang telah disifatkan oleh YAB Tok Guru Menteri Besar Kelantan sebagai menempa sejarah dalam kesultanan Melayu moden.

2. Pidato Perdana Royalti YBM Tengku Razaliegh Hamzah di Stadium Sultan Muhamad ke IV yang dianggap mencatat kehadiran teramai. Tengku Razaliegh menegaskan bahawa Kelantan berhak menerima royalti, bukan wang ihsan. Rakyat Kelantan bukan tok pakir atau peminta sedekah!

3. Khutbah Jumaat Ketua Polis Negeri Kelantan di Masjid Telipot yang antara lain dalam khutbahnya menyebut Kelantan adalah negeri yang cukup terkawal dari segi kadar jenayahnya.

Ya Allah, moga keadaan ini kekal dan terus bertambah baik. Moga selepas ini akan menyusul lagi peristiwa-peristiwa yang menyejukkan perasaan ini.

Jangan hendaknya ada lagi pihak yang membuat apa-apa provokasi, mengeluar kenyataan-kenyataan kontroversi yang memberi jalan musuh mengambil kesempatan dan peluang.

Fokuskan sasaran kita menyedarkan UMNO Barisan Nasional bahawa zaman mereka yang memperjuangkan nosionalis dan sekular semakin berakhir dan bakal terkubur. Seterusnya kita benamkan rapat-rapat idealogi sesat dan menyesatkan mereka itu.

Kelantan mencapai 2 dekad di bawah dasar Membangun Bersama Islam. Bersama kita memikir, menganalisis, mencerakin, merencana dan merancang agar dasar ini dapat dipertingkat dan terus subur dalam misi dan visi kita mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar menepati falsafah “Baldatun toyyibatun wa Rabbun ghafur”

* Semua gambar-gambar hiasan adalah dari sumber internet, bukan kamera saya

Jom Heboh di Kota Bharu?


Bulan lepas (Disember 2009) pihak TV3 menyatakan hasrat untuk membawa Karnival Jom Heboh TV3 ke Kota Bharu. Hasrat itu dinyatakan kepada Dato’ Hj. Takiyuddin Hj Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Mungkin kerana melihat kejayaan TV9 mengadakan karnival Suarasa pertengahan tahun lalu, TV3 seperti tidak menyangka bahawa Kelantan membenarkan program seperti itu.

Mereka terlebih dahulu menyatakan acara konsert ditiadakan. Mereka sekali lagi seperti tiada maklumat, bahawa Kelantan tidak menyekat aktiviti hiburan, mahu pun konsert asal ia bertepatan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Karnival Jom Heboh yang pernah difatwakan haram oleh Mufti Perak kerana terdapat aktiviti-aktiviti mungkar dalam persembahan konsert, dijangka bakal bertandang ke Kota Bharu pada Febuari depan.

Kita mengharapkan akan terbit idea bagaimana untuk mengislamisasikan program tersebut dengan menekankan elemen-elemen dakwah dan Islam daripada sudut objektif dan falsafah Jom Heboh Kota Bahru.

Kerajaan perlu mewujudkan suatu kumpulan (task force) yang memantau perjalanan program tersebut secara berterusan. Kumpulan sukarelawan juga boleh digerakkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti ke arah dakwah dan mendorong pengunjung agar tidak terlibat dengan aktiviti yang membawa unsur kemaksiatan. Kumpulan sukarelawan ini diberi suatu khemah khusus yang membolehkan mereka juga melaksanakan aktiviti sisipan seperti mini pameran, acara interaktif dan penyebaran risalah.

Landskap Jom Heboh Kota Bahru boleh dijelmakan dalam bentuk sebuah perkampungan karnival Islam dengan merekabentuk khemah dan dekorasi yang mengangkat seni serta syiar Islam.

Sebuah khemah besar yang menempatkan ruang solat perlu diwujudkan. Kalau boleh ia tidak terlalu disudutkan dan berada di tengah lapangan karnival. Lantik imam dan bilal khusus untuk mengetuai waktu solat dan kuliah (jika ada).

Suatu maskot boleh dicipta dengan menampilkan ikon yang memakai kostum watak sinbad atau aladdin. Ia pasti akan mengamit pengunjung terutama kanak-kanak dengan pemberian halawa (gula-gula) dan sebagainya.


(1) DR. ROSLI

Saya mengenali Dr. Rosli Alani ketika mula-mula dia hadir dalam Kuliah Haraki PAS Kawasan Kota Bharu beberapa tahun lalu. Lazimnya sayalah akan mempengerusikan majlis ilmu itu selepas gagal mencari orang lain yang dapat mengambil tempat saya. Kala itu muncul Dr. Rosli. Atas cadangan rakan saya, Saifudin, saya mempelawa. Tanpa banyak soal dia menerima.

Tidak lama selepas itu kami di Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (DPKB) mencadangkan beliau untuk menjadi Ahli Jawatankuasa DBKB. Senggang tidak lama, dia dilantik ahli jawatan kuasa pemuda negeri, kemudian terus ke pusat. Mungkin juga itu kerana status kedoktoran dan keaktifannya semasa di United Kingdom karier politik sahabat saya ini begitu cepat naik.

Dia telah mengambil keputusan yang besar dalam hidupnya, berkorban meletakkan jawatan di hospital kerajaan demi untuk fokus pada amal jemaei. Dia ditawarkan mengendali sebuah pusat rawatan buah pinggang untuk beberapa ketika. Saya sendiri kurang arif tentang status dan perkembangan terkini pusat rawatan di Jalan Bayam itu. Biarlah..

Beberapa ketika kami berada di pejabat yang sama di pejabat Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan, sebelum dia mengambil keputusan melepaskan jawatan. Tentu sahaja saya antara yang jadi sasaran pertanyaan khalayak sebab dia meletakkan jawatan sebagai Pegawai Khas exco. Saya hanya mampu menjawab “Mungkin dia seorang yang punya prinsip sendiri.”

Beberapa minggu sebelum isu hangatnya meletus di media, dia menelefon memaklumkan kepada saya untuk melepaskan semua jawatan dalam parti. Tentu sahaja saya menyanggah, walaupun saya dapat meneka mengapa. Sebelumya dia sudah bercerita panjang kepada saya masalah persenolnya. Dia melahirkan rasa terkilan dengan sahabat-sahabat yang ada seperti tidak menyokongnya. Maaf Dr Li, ana juga tidak dapat menghulurkan bantuan yang melangkaui keupayaan ana.

Saya hanya mampu berdoa sahabat saya ini diberi kekuatan, istiqamah dalam perjuangan dan anggaplah ia sebagai sebahagian daripada ujian Allah yang mahu terus mentarbiah kita dan boleh jadi Allah kelak mengurniakan kepada saudara suatu yang lebih bererti di masa depan.


(2) ARIF FAHMI

Saya mengenali Abdul Arif Fahmi juga ketika waktu dalam DPKB. Ketika itu dia sudah bergelar menantu YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Walaupun kami tidak rapat, tapi kami boleh bermesyuarat bersama, kalau pun tidak sempat bekerjasama.

Ketika pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan berikutnya dia kecundang. Dia berkali-kali menyatakan kepada saya ada konspirasi menjatuhkan dia. Dia melahirkan rasa malu yang teramat kerana dia menantu Tok Guru. Saya sekadar mampu menjawab tidak tahu dan sememangnya saya tidak tahu dan tidak minat ambil tahu atas dakwaan itu. Sahabat-sahabat lain juga menafikan. Demi Allah saya tak tahu dan tak fikir ada perancangan begitu terhadap beliau. WalLahua’lam. Selepas itu dia diterima baik di Machang, kampung kelahirannya.

Bila sahaja meletus isu dia dalam PMBK saya mengambil masa yang agak lama untuk mengirim sesuatu melalui sistem pesanan ringkas (sms). Akhirnya hati saya tergerak untuk menyatakan semoga saudara diberi kekuatan sekiranya saudara di pihak yang benar. Seketika kami berbalas mesej panjang. Seperti biasa saya suka berterus terang. Saya tidak suka hipokrit, bermunafik, apa lagi cuba berpolitik. Prinsip saya mudah sebagaimana digunakan umum. Selagi tidak dihukum bersalah, maka tidak bersalah.

Hakikatnya, saya juga kadang-kadang kurang senang dengan sikap, gaya dan PRnya, tetapi ia sesekali tidak menjadi sentiment kepada saya untuk pantas menghukum dia.

Mesej terakhirnya yang lebih kurang berbunyi merujuk kepada eksperasi wajah dan penampilannya yang ditohmah egois :

“..enta tidak mengenali secara mendalam ana. Ana nak buat macamana, Allah dah berikan kepada muka ana begini…”

Mesej itu tidak saya balas dan ia berhenti di situ.

Saudara Arif sekali lagi saya ulangi. Semoga saudara diberi kekuatan seandainya saudara di pihak yang benar..


(3) NIK ABDUH

Nik Muhamad Abduh adalah rakan dan guru saya. Saya hanya mula mengenalinya ketika dia datang ke Mesir selepas beberapa lama di India, Menjejaki bumi yang pernah menjadi tempat permukiman ilmu ayahandanya tercinta. Mendengar perkhabaran berita beliau bakal datang ke Mesir kami jadi teruja. Anak Tok Guru yang dikatakan menurun (mewarisi) sifat Tok Guru berbanding abang-abangnya yang lain. Dia akan menyambung pelajaran tahun 3 di Mesir.

Ternyata di sebalik perwatakan halusnya, Ustaz Nik Abduh adalah seorang yang tegas dan tiada kompromi apabila melihat sesuatu yang dianggap tidak seiring dan menepati ilmunya.

“Asrama Kelantan ni penuh dengan iblis!” itu antara kalam keras yang terpacul dari mulut beliau yang sampai kepada saya. Kalimah itu keluar apabila dia melihat suasana percampuran kalangan siswa dan siswi Al Azhar. Memang kami cukup ketat menjaga aspek ikhtilat, tetapi mungkin pada pandangan beliau masih belum cukup sempurna.

Kepincangan yang ada dalam Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) dan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditegur oleh beliau. Ternyata dia seorang pencetus kontraversi walau pun kelibatnya jarang di Mesir dan kerap pulang bercuti di Malaysia.

Mungkin atas asas itulah dia dicemuh. Tetapi atas keyakinan la yakhafu laumata la em (tiada takut akan cemuhan) dia terus dengan prinsipnya. Sampai ada yang meletakkan beliau perosak kepada politik PAS dan lialibiti kepada parti. Kendatipun dia kalah di peringkat negeri, dia diterima penuh di peringkat pusat.

Sungguh. Tulisannya digeruni dan suaranya dianggap boleh mempengaruhi. Kerana itu ada pihak yang sentiasa menyerang garapan blognya, Jalan Lurus dan melebelkan pula sebagai Jalan Berbelit. Ada yang sedaya menghalang daripada dia berada di pentas ucapan.

Saya tidaklah sangat berniat mempertahankan beliau lantaran dia adalah sahabat dan guru saya. Saya cuba mengurus diri daripada bersifat taksub tak tentu hala kepada manusia. Kami tidak kerap berhubungan, apa lagi bertemu kecuali apabila ada usrah. Itu pun kadang-kadang usrah terbengkalai juga beberapa lama. Hehe. Cuma akhir-akhir ini agak kembali kelihatan bernyawa.

Ya. Kami berada dalam satu usrah yang kami anggap dialah rais kami walaupun kami seperti tiada naqib yang tetap. Usia kami kurang lebih sebaya. Tinggal lagi lebih ilmu dan pengalaman. Tolak saya, masing-masing mempunyai ilmu yang mantap, tinggi lagi hebat.

Selama saya berada dalam usrah, saya melihat menilai politik Nik Abduh dan apa yang dia perjuangkan, terutama dalam politik Kelantan. Semuanya hampir menjadi kenyataan yang hak. Tidak perlulah saya perincikan, tetapi ternyata ia banyak membantu parti dan memperbaiki individu yang terlibat. Bahkan pihak yang sebelumnya boleh dianggap musuh, berakhir menjadi kawan dalam perjuangan.

Kelebihannya menanggapi hukum semasa dan menafsir satu-satu ayat Al Quran berdasar kepada realiti mua’sirah (terkini) tidak dapat dinafikan. Saya menceduk mutiara ilmu dari itu.

Ada kalangan yang mempertikai dia memiliki kereta besar. Saya tidak mahu komen kerana kawan-kawan saya juga ada kereta besar. Cuma bagaimana kalau saya katakan anda juga seperti saya punyai cita-cita untuk miliki kenderaan begitu. Tapi sekadar angan-angan kut. Hihi..

Dia juga seperti saya dan anda. Ada minat dan kecenderungan sendiri. Contohnya dalam arena perniagaan dan bolasepak. Tinggal lagi kerana dia anak Tok Guru dan tersohor maka segala tindakannya menjadi perbualan. Cuma kita yang kadang-kadang terlebih kepada kecenderungan hingga mengabaikan yang lebih utama. Beraktiviti dan bersosial hingga lupa tuntutan solat jemaah!

Nik Abduh tidak ada apa-apa kepentingan politik. Sekiranya ada kepentingan, nescaya isu yang berlaku tidak diletuskannya. Dia punya masa depan politik yang baik dengan hanya perlu beriman kepada arus. Mengapa bersusah-susah seperti mencari musuh, kalau anda punyai hasrat untuk berada di puncak persada.

Ironi dunianya adalah untuk dakwah dan tarbiah. Walaupun berkali dia dinafikan untuk menjawat jawatan itu dalam parti, yang selalunya ditolak oleh kebanyakkan yang lain, dia tetap dengan agendanya. Terbaru, atas kapatisinya pengerusi tarbiah pemuda pusat, kami baru sahaja melaksanakan program tarbiah untuk remaja.

Apa pun persepsi anda, apabila saya memperkatakan tentang anak Tok Guru sahabatguru saya ini, itu hak anda yang teruja dengan zaman persepsi kala ini. Ia tidak begitu senang mengubah keyakinan saya dengan apa yang dilakukannya, sebagaimana bukan mudahnya anda yang memusuhinya, melihat dia daripada posisi yang lebih terbuka dan positif.

Biarpun tanggapan yang diberi, siapa yang bersahabat dengan Nik Abduh akan jadi rosak dan perosak seperti dia, ia tidak semudahnya mengoyahkan sikap saya terhadap sahabatguru saya ini.

Kecualilah kalau saya menyakini dia merancang suatu kemungkaran yang jelas, terang lagi bersuluh yang kelak menjahanamkan Islam yang suci dan jemaah yang disayangi. Waktu itu bukan sahaja dia, kalau saudara mara saya sendiri saya sanggup berbunuh!

SELAMAT TAHUN BAHARU HIJRAH

Tahun baru masehi dibesar-besarkan, tahun baru HIJRAH sekadar jadi program keagamaan

Tahun HIJRAH sekadar hari menyampaikan anugerah-anugerah dan nyanyian-nyayian.

Tahun masehi menjadi tahun memulakan azam baru

Ada tidak tahu apa maknanya tahun HIJRAH

Ramai orang tidak tahu bila tahun HIJRAH bermula dan sempena dengan apa

Mereka lebih tahu tarikh kelahiran artis dan aktres berbanding dengan tarikh Islam, tahun HIJRAH

52 tahun Malaysia merdeka, tetapi tetap tidak mahu berHIJRAH kepada undang-undang sendiri

Sekadar mendakwa bahawa Malaysia negara Islam, tetapi masih merujuk perlembagaan lapuk penjajah

Yang dilaung-laungkan kita perlu berHIJRAH daripada kemiskinan kepada kesenangan. Kejahilan kepada ilmu dan maklumat.

Sedang kemiskinan aqidah semakin membarah dan kejahilan agama masih menebal. HIJRAH sebenar ialah HIJRAH daripada kekufuran kepada Islam. HIJRAH daripada kedegilan menolak Islam kepada tunduk kepada perintahNya.

Menyakini bahawa Islam adalah penyelesaian. Islam yang membawa kemakmuran, kemajuan dan kesejahteraan.

Sejahtera tidak sekadar di negara dunia, tetapi kesejahteraan abadi di negara Akhirat.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1431

Moga 1431 menjadi tahun kemenangan untuk Islam

Selepas solat Isyak di Masjid Paya Rambai Kota Bharu, saya bergegas turun menuju ke Pusat Dagangan Kelantan (KTC). Saya kira saya adalah antara orang terawal, tetapi rupanya manusia sudah memenuhi dewan yang jauh lebih kecil berbanding Balai Islam. Cuma tampak lebih ekskulsif.

“Ramai ke orang, malam ni Din? kalau sekadar 400 orang malu aku,” itu antara kebimbangan Profesor Dr Agus ketika menghubungi aku pada petangnya.

Sebelumnya dalam pertemuan di pangsapuri Pelangi pun dia beberapa kali menaruh bimbang tentang kehadiran penonton.

“ Aku tanya orang tak tahu pun ada program ni”

Sahabat-sahabat urusetia menyakinkan bahawa Kelantan adalah Universiti Politik Terbuka. Kehadiran tidak seharusnya menjadi kebimbangan.

“Padan dengan moderator jah, orang ramai doh,” sampuk Saifuddin.

Konsep Wacana Perdana malam tadi seperti wacana sebelumnya adalah debat, bukan diskusi atau wacana. Ironinya debat, masing-masing pihak berharap kepada suatu kemenangan, walaupun tiada sejarah yang mencatatkan debat akan berakhir dengan kemenangan kepada satu-satu pihak kecuali seperti debat antara Nabi Ibrahim dengan Raja Namrud.

Debat tidak menghasilkan suatu ketepan resolusi, bahkan debat akan merangkaikan episod polemik yang mengambil masa untuk ke penghujung yang murni. Jelasnya, masing-masing tetap akan menegakkan tali benang sendiri.

Dato’ Nik Amar seperti biasa dengan penampilannya yang tenang, bersahaja dan humorist. Dia bercakap berdasar pengalaman dan ilmuan bekas pensyarah universiti. Bait analogi yang dikemukakan memukau. Ini salah satu daripada sifat yang diwarisi (orang Kelantan sebut nurun) daripada Tok Guru.

Jawapannya ringkas dan tidak meleret lagak mantan YDP YADIM. Penjelasan yang tidak meleret menyebabkan audies fokus kepada apa yang ingin dihujjahkan oleh Nik Amar. Bagi orang yang suka berdebat babi buta (hujah keng kata orang Kelantan) tentu sahaja tidak puas bagi golongan itu. Mereka mahu lebih dari itu. Berhujjah, berbahas, kemudian lipat dan pancung terus!

Dr. Asri seperti biasa dengan pendekatannya yang mahu dilihat tidak memihak. Cukup beradab dan penuh butiran ilmiah. Walaupun kadang-kadang tidak dapat menahan sedikit emosi untuk melepaskan apa yang berbekam. Caranya disegani kawan dan lawan. Tetapi dengan isu-isu yang tertimpa kepadanya, kenyataan-kenyataan Dr. Asri banyak saya katakan membantu PAS.

Ucapan syabas boleh dilemparkan kepada Datuk Nakhaie kerana berani masuk gelanggang. Gelanggang pula di tempat lawan yang penuh dengan penyokong tegar. Setengahnya bukan sekadar tegar tetapi fanatik. Dia mengambil peluang untuk membesihkan namanya berhubung dengan dakwaan Dr. Asri, namun Dr Asri tidak memberi laluan mudah.

“Kita serahkan kepada SPRM,” kata Asri ringkas.

Beberapa ketika Nakhaei terkesima dengan taluan persoalan dari moderartor. Namun soalan perlu dijawab walau tidak mesti soalan itu yang akan dijawab. Ditambah lagi dengan asakan soalan penyokong tegar dari lantai.

Petangnya Dr. Agus juga bertanyakan saya siapa akan diberi perhatian dan orang nak dengar dalam wacana kali ini.

“Nakahie,” jawab saya.

Saudara Afendi mempunyai kekuatan daripada sudut malakah (karisma) berucap, tetapi gaya dan penampilan sahaja tidak cukup. Terjahannya dengan suara yang kuat memberi nilai tambah (cover) kepada hujahnya berdasar kepada persoalan yang dijangka (soalan spot). Kerana itu dia bersedia dengan bahan-bahan bukti lama yang dia rasakan boleh membantu. Afendi berkali-kali mengulang dia akan masuk PAS sekiranya PAS boleh melaksanakan dasarnya sepenuh tanpa ada dolak dalih. Saya tidak fikir dia akan bersama PAS. Apa faedah sudah dapat keselesaan dalam UMNO untuk menyeberang ke dalam PAS yang belum tentu menjamin masa depan kehidupan dan politiknya. Ustaz Afendi, saudara punya bakat dan kebolehan, tetapi saudara menyalah guna kebolehan saudara dengan berjuang dalam Umno.

Akhirnya untuk meletakkan kredit dan kejayaan kepada Wacana Perdana semalam adalah bergantung kepada objektifnya. Kalau objektif untuk mengundang lautan manusia, berjaya. Jika objektif untuk mewujudkan suasana panas dan sorak sorai, ia berjaya. Kalau objektif untuk melihat siapa menang, siapa kalah, ia suatu yang subjektif. Masing-masing pihak tidak akan merasa kalah. Jika objektif untuk merumuskan suatu resolusi masa depan Islam di Malaysia, saya rasa matlamat itu tidak jelas.

Saya tidak terlibat secara aktif untuk wacana kali ini. Saya juga seperti anda ada kalanya suatu perkara kita tidak dapat memaksa atas diri kita.

Moga forum Wacana Perdana yang semakin establish ini akan terus survive untuk mencorak pemikiran ummah yang lebih terbuka, bertamadun, realistik dan tidak sekadar retorik. Amein!


* Gambar-gambar diplagiat daraipada sumber intenet

IKTIBAR KB MALL


Ketika KB Mall mula-mula dibuka, saya tidak teruja pun untuk menjejakkan kaki ke situ walau pun lokasinya hanya lebih kurang 1 kilometer daripada rumah saya. Waktu itu hampir hari raya Aidul Fitri. Entahlah, selalunya saya jarang masuk pasaraya besar setiap kali musim perayaan. Hati saya tersentuh melihat umat Islam berasak-asak memenuhi pasaraya yang untungnya bukan kembali kepada umat Islam. Ramadhan dan terawikh makin dilupakan.

Sewaktu pilihanraya KB Mall menjadi bahan kempen yang memberi dalil bahawa Kelantan tidak mundur dengan kewujudan pasaraya besar. Ya, KB Mall adalah ikon kemajuan Kota Bharu bandaraya Islam.

Dalam program-program parti ada juga kadang-kadng ditimbulkan masalah sosial di pasaraya-pasaraya. Ia tidaklah menjadi isu utama, sekadar menjadi contoh dan tempelan kepada ucapan yang bergegaran. Tindakannya?

Petang semalam bertalu-talu telefon selular menerima mesej “Gempar! KB Mall Runtuh” “ KB Mall Runtuh, ramai mati” “Betul ke KB Mall Runtuh” Itu antara mesej yang diterima.

Saya ketika itu berada di Pejabat DUN Bunut Payong yang berada kira-kira 2 kilometer dari KB Mall. Saya, Shaari (SU DUN) dan Firdaus bergegas ke sana. Di Persimpangan Telipot kereta sudah sesak. Kami mengambil keputusan untuk cuba masuk melalui belakang klinik Hydar Kamal. Parking di situ.

Orang ramai memenuhi persimpangan Wakaf Siku yang menempatkan KB Mall. Kami meluru ke ruang depan mall itu. Tutup. Ketika itu pelbagai versi cerita timbul. Yang pasti KB Mall tak runtuh! Permulaannya.. Alhamdulillah..

Kami mencuba menggunakan laluan parking bawah. Kami dapat menerobos masuk sampai ke tingkat 1. Kereta yang remuk itu masih berada di atas tangga eskulator. Versi tak rasmi menyebut ada orang lagi di dalam. Wallhua’lam..

Ada pihak yang mengajak kami naik ke tingkat atas. Katanya ada mayat yang terlibat dengan kemalangan tragis itu ada di atas sana. Kami buat keputusan tidak naik. Lagi pun lif telah ditutup. Maknanya kena menapak ke tingkat 3..

Sebelum beredar pulang saya mengetik telefon memberi maklumat ringkas kepada bos. Selalunya jika berita gempar seperti itu dia pantas membalas, tapi tidak kali ini. Mungkin ada sumber yang lebih pantas daripada saya.

Apa yang berlaku pasti ada pengiktibarannya. Kita tinggalkan kenapa dan punca kereta itu boleh merempuh dan menjunam ke aras lantai KB Mall. Saudara sudah maklum melalui maklumat lain.

Anak sepupu saya Nabil (anak Dato’ Mufti kerajaan Kelantan) berniaga alatan komputer di KB Mall. Dia pernah mengeluh pada saya betapa lalainya berada di KB Mall. Azan memang tidak kedengaran. Solat pun dalam keadaan bergegas dan tergesa-gesa kerana tuntutan bisnes.

Kita boleh gambarkan sendiri setiap hari bagaimana keadaan sosial di situ. Muzik berkumandang tidak berhenti (non stop). Saya tak pasti setakat mana arahan pihak berkuasa tempatan supaya muzik dihentikan setiap kali masuk waktu solat. Fesyen dan gaya remaja tak usah ceritalah. Tahan sikit daripada berada di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Setiap kali tumbuhnya pusat komersial kita bersorak, bersohor kerana Kelantan semakin maju, tetapi kemajuan sosial kita seperti memerhatikan sahaja, habis dengan mengeluh. Kemudian menyalahkan kerajaan, jabatan agama dan halaqat. Mengutuk program TV, majalah-majalah hiburan dan sebagainya.

Kita tidak nafi bahawa ada usaha-usaha dan program-program untuk mereka. Tetapi pada saya program itu kadang-kadang seperti kita jadi syok sendiri, bila selesai dan berjaya dilaksana.

Kita masih gagal mendekati mereka hingga ke akar umbi. Melayani citra dan kehendak mereka. Berada di dunia mereka dan perlu fahami kecenderungan dan minat mereka. Kemudian, pendekatan makna yang boleh kita gunakan untuk bersama mereka dengan kaedah yang lebih semasa, kontemporari dan up to date. Tak salah saya rasa kita tampilkan gaya hip hop, indie hatta kepada shuffer dan I dance. Kita ubah suailah mengikut cara yang kita hendaki. Tujuannya utuk tarik perhatian mereka. Maaf cakap, jangan harap dengan sekadar menghidangkan istilah-istilah seperti hiburan alternatif, kesenian Islam dan macam-macam lagi mereka akan datang.

Sekadar itu pandangan ringkas saya. Saya sedang merancang untuk aktiviti di pusat-pusat dangan melalui plotform Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Doakan ia kesampaian dan berkesan.

Nasib baiklah berita KB Mall runtuh tidak benar. Kalau tidak Umno boleh sambung isu lagi. Dok kato ko Terengganu…Kota Bharu pun runtuh juga!!

Kasihan Tok Guru


Kasihan Tok Guru

Mana penasihat2 Tok Guru masa ‘perbalahan’ politik dulu. Mana jemaah penyokong Tok Guru (walaupun kewujudan mereka tak ada apa pun). Sepatutnya masa inilah semua anak-anak buah didikan TokGuru kembali duduk semeja. Bincangkan cara terbaik untuk merungkai kemelut yang ada. Atas semangat mengembalikan semula imej yang mungkin ada tercalar. Buang jauh-jauh apa yang sebelumnya tak sekata.Tutup saja rapat-rapat isu yang boleh menambah barah isu sekarang.

Kasihan Tok Guru…

Umno seperti sedang membuang wayar oksigen yang sekian lama menyambung hayat mereka. Kalau ada lagi membangkitkan isu Pakatan vs Perpaduan sememangnya orang ini dilaknat Tuhan. Kalau ada lagi manusia yang berangan-angan dan menyusun startegi untuk jawatan nombor 1 samada di peringkat negeri dan pusat, memang orang-orang ini boleh dicap bangang! Adakah kelompok yang ambil kesempatan ketika ini untuk menjolok dirinya ke atas? Kalau ada memang mendapat kutukan Tuhan!

Kasihan Tok Guru..

Sekarang bincangkan bagaimana mahu membersihkan nama Tok Guru yang diumpat orang. Ini bukan fitnah, tetapi cerita yang dibesar-besarkan untuk tujuan yang tidak betul. Kita bukan menutup kesalahan. Salah tetap salah. Silap tetap ada. Soalnya ada orang menggunakan peluang untuk tujuan politik dan peribadi.

Kasihan Tok Guru

Kita yakin Tok Guru tak tahu nilai pakej hajinya. Suatu yang mustahil kalau Tok Guru tanya pakej apa? Zamrudkah? Delimakah? Hotel bintang berapa? Mustahil! Mustahil! Mustahil. Tok Guru hanya terima bila ada orang hendak taja. Soal siapa yang jaja cerita Tok Guru pergi dengan pakej itu ini, itu kerja orang yang memang ingat dia boleh bangga dan orang boleh respek kerana dia tahu atau turut serta dalam pakej itu. Sedangkan kerana sifat menunjuk-nunjuk, riak dan ego dia yang akhirnya menjahanamkan dia.

Kasihan Tok Guru

Kita menyokong Tok Guru bukan atas batang tubuhnya. Kita menyokong kerana perjuangan yang pernah dan sedang dibawanya. Sokongan peribadi boleh membawa fanatik. Sokongan atas dasar taksub tak akan mana dan boleh jadi tak kekal. Sokonglah, tapi jangan sampai sokong membawa rebah. Sokonglah dengan iltizam dan istiqamah. Bukan sokong hanya ketika senang, bukan sokong ketika memerlukan. Saya masih ingat ada di kalangan kita yang turut mengecam Tok Guru lewat kenyataan isu ‘barua’ dan samseng. Ada yang mengecam “ kenapa Tok Guru keluar kenyataan begitu? semua ni akan memeningkan pimpinan untuk menjawabnya.” Hakikatnya barua dan samseng itulah menambah ilmu dan menjadi perbincangan ilmiah massa.

Sokonglah dia di waktu senang dan susah. Ini bukan politik sekular seperti Umno. Sokongan hanya di tampuk kuasa. Berapa ramai yang bangun malam mendoakan Tok Guru. Ya Allah berilah kekuatan pada Tok Guru andainya ini adalah ujianMu kepadaNya. Ya Allah berilah kesejahteraan kepadanya sekiaranya dia berada di landasan yang benar..

Kasihan Tok Guru

Kita tahu tahap kesabaran yang ada pada Tok Guru cukup tinggi. Tahap kesabaran yang diwarisi dari para anbia’ dan aulia’. Tok Guru orang mengaji tinggi.. Mengaji dan mengkaji bagaimana Nabi-nabi tahan melawan ujian.

Nabi sabar dilontar batu kaum Thoif. Nabi mendapat sokongan moral dari langit. Dari Jibrel. Dari Tuhannya… Berilah sokongan padanya. Tok Guru adalah milik kita, milik umah, bukan sekadar milik keluarganya…

Bukan setakat kasihankan Tok Guru. Tapi bangkitlah terus menyokong dia.. paling kurang sokongan moral sebagaimana Saidina Jibrel memberi sokongan kepada Saidina Muhammad.

Bola dan Seminar

seminar

otomen

Patut pun ada kerusi terbakar!

semayeSetiap kali adanya bola yang melibatkan perjalanan yang jauh seperti di Bukit Jalil, sering pula ditimbulkan persoalan solat jama’ qasar.

“Boleh ke ustaz jama’ tengok bola?” soalan-soalan terulang.

Inilah lebih orang di Serambi Mekah.., ke mana pergi soal solat tidak diketepikan.

“Tengok bola haram atau harus?” saya soal balik tanpa memberi jawapan yang terlalu detil. Anda tentu boleh menjawabnya sendiri ketika anda hadir menonton perlawanan bolasepak.

Dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini, sewaktu mengulas tentang bola dan perancangan untuk membina stadium baru di Bandar Baru Tunjong Tok Guru Menteri Besar memberi ulasan yang agak panjang. Antara lain dia bercita-cita suatu hari kelak akan melihat bagaimana orang Kelantan tidak ragu-ragu solat di tengah lapangan.

“Saya cadangkan stadium yang akan dibina kelak mengambil kira arah kiblat,” katanya.

Saya bukan mahu membincangkan perancangan kerajaan Kelantan yang bercadang untuk membina stadium baru yang kita pun tak tahu bila akan menjadi kenyataan. Sama-sama berdoa.

Orang Kelantan selalu dikaitkan dengan semangat kenegerian yang tinggi. Dengan bahasa kasar, taksub negeri. Semua maklum bagaimana keputusan Piala Malaysia 2009 yang tidak berpihak pada The Red Warriors. Sebelum ini bila ditanya, saya seperti meletakkan sedikit keyakinan Kelantan akan menang walaupun dengan jaringan gol yang tidak besar.

Saya membuat ulasan bahawa Kelantan boleh masuk final kerana nasib. Saingan mereka sebelumnya iaitu KL Plus (suku akhir) dan Perlis (separuh akhir) lebih berbisa daripada sudut menghantar (passing) bola.

“Kalu Kelate main gini nok buleh juara final guano,” ngomel saya kepada Ridhuan.

“Dia bergantung kepada permainan lawan dia,” balas sahabat baik saya itu yang memang ekstrem dengan skuad kijang. Orang kutuk lebih-lebih Annuar Musa pun boleh dia marah! Huhu..

{Saya rasa Kelate akan menang walaupun Kelatan bukan sedap sangat}

Itu pula antara ayat saya dalam laman sosial Facebook.

Hari ini saya tambah ulasan saya pada rakan-rakan luar dan dalam FB.

{Kelate masuk final kerana nasib, Kelate kalah final pun sebab nasib}

Negeri Sembilan bukan hebat pun. Mereka menang pun kerana nasib. Saya tidak boleh menerima Kelantan kalah disebabkan kerana tekanan daripada penyokongnya yang terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan Kelantan sebagaimana saya juga menolak dakwaan Kelantan tertekan dengan laporan akhbar. Yang tertekan ialah orang yang tidak tahan melihat bendera-bendera PAS yang berkibar di Stadium Bukit Jalil. Apa salahnya, itu adalah hak individu, hak rakyat Kelantan yang sayangkan parti mereka. Orang Kelantan adalah orang PAS!

Saya juga menolak ulasan dakwaan bahawa orang Kelantan mempunyai semangat kenegerian yang tinggi dan menebal. Mungkin untuk mengatakan itu ada kebenarannya pada aspek dan posisi tertentu tetapi hakikat yang perlu diterima orang Kelantan ada keunikan tersendiri yang tidak ada pada rakyat negeri lain. Hanya ore Kelate yang tahu.

Sejarah politik menyaksikan bagaimana orang Kelantan boleh beberapa kali menghukum dan menukar kerajaan yang mereka tidak sukai melalui pilihanraya. Begitulah mereka boleh berubah sokongan apabila kemenangan yang mereka harapkan tidak menjadi.

Saya dari kecil lagi menonton bolasepak di stadium kerana saya lahir dalam keluarga besar bolasepak. Ayah, abang-abang hatta ma saya hantu bola. Ayah jelajah Malaya kerana bola. Abang-abang pernah menyarung jersi negeri dan kebangsaan. Ma saya taklah reti main bola, tapi pakar dalam bab mengulas. Hehe. Saya? Saya kaki kerusi!!

Penyokong sendiri akan mengejek apabila permainan yang dipersembahkan tidak menghiburkan mereka. Kalau tak percaya tanya Hashim Mustafa (lagenda bolasepak Kelantan) yang teruk diboo penyokong sendiri apabila prestasi permainannya makin menjunam turun.

Saya bukan hendak membenarkan aksi ganas penyokong Red Warriors, tapi gambar banner Presiden KAFA antara yang terdahulu diturunkan, dikoyak dan dibakar. Rasa meluat mereka kepada KAFA meluap-luap sejak pusingan separuh akhir lagi apabila pengurusan KAFA mula ada karenah birokrasi dalam penjualan tiket. Percayakah anda harga tiket di pasaran gelap mencecah sehingga RM100! Saya bukan menuduh sesiapa tetapi bagaimana ulat-ulat tiket boleh menjual tiket dengan kuantiti yang banyak sedangkan ramai peminat yang terpaksa berhempas pulas semata-mata untuk mendapatkan 1 tiket.

Cukuplah ulasan saya pasal bola. Lebih-lebih tak boleh jugak kerana kita agenda yang lebih besar daripada bola. Masalah ummah banyak lagi belum selesai.

Sama-sama pula kita menyaksikan akhir Piala Tok Guru di Stadium Sultan Muhmmad ke IV 14 November ini. Kota Bharu lawan Ketereh. Harap-harapnya tiada lontaran mercun yang melampau-lampau. Gomo KB Gomo!

SEMINAR MEMPERKASAKAN PAS

Menyentuh tentang politik saya juga turut hadir dalam Seminar Memperkasakan PAS pada Sabtu lalu, hari sama perlawanan bola. Saya niat jama’ qasar kerana menghadiri seminar. Hehe.

Walau pun saya tidak sempat berada dalam majlis tersebut sehingga penghujungnya, apabila rakan-rakan yang berada di Kelantan menanyakan pandangan saya, saya hanya ringkas merumuskan :

1. Seminar bukannya medan yang boleh menyelesaikan masalah
2. Walaupun begitu masing-masing boleh menyampaikan mesej yang ingin disampaikan.
3. Dan sebagai medan untuk melepaskan perasaan.

Mog-moga seminar tersebut adalah suatu seminar yang dianjurakan dengan niat dan hasrat yang benar dan betul. Bukan dicemari dengan agenda-agenda yang tidak menguntungkan jemaah sebagaimana sukan bolasepak juga boleh jahanam kerana campurtangan politiking picisan. Moga menatijahkan sesuatu yang terbaik dan positif untuk jamaah. Ameen ya rabbal a’lamin..

Gomo Kelate Gomo

Kita tidak guna kepakaran yang ada

Visual calon gelap dan kabur

Visual calon gelap dan kabur

baner
BN memanipulasi gambar Najib ziarah Tok Guru

BN memanipulasi gambar Najib ziarah Tok Guru