(1) DR. ROSLI

Saya mengenali Dr. Rosli Alani ketika mula-mula dia hadir dalam Kuliah Haraki PAS Kawasan Kota Bharu beberapa tahun lalu. Lazimnya sayalah akan mempengerusikan majlis ilmu itu selepas gagal mencari orang lain yang dapat mengambil tempat saya. Kala itu muncul Dr. Rosli. Atas cadangan rakan saya, Saifudin, saya mempelawa. Tanpa banyak soal dia menerima.

Tidak lama selepas itu kami di Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (DPKB) mencadangkan beliau untuk menjadi Ahli Jawatankuasa DBKB. Senggang tidak lama, dia dilantik ahli jawatan kuasa pemuda negeri, kemudian terus ke pusat. Mungkin juga itu kerana status kedoktoran dan keaktifannya semasa di United Kingdom karier politik sahabat saya ini begitu cepat naik.

Dia telah mengambil keputusan yang besar dalam hidupnya, berkorban meletakkan jawatan di hospital kerajaan demi untuk fokus pada amal jemaei. Dia ditawarkan mengendali sebuah pusat rawatan buah pinggang untuk beberapa ketika. Saya sendiri kurang arif tentang status dan perkembangan terkini pusat rawatan di Jalan Bayam itu. Biarlah..

Beberapa ketika kami berada di pejabat yang sama di pejabat Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan, sebelum dia mengambil keputusan melepaskan jawatan. Tentu sahaja saya antara yang jadi sasaran pertanyaan khalayak sebab dia meletakkan jawatan sebagai Pegawai Khas exco. Saya hanya mampu menjawab “Mungkin dia seorang yang punya prinsip sendiri.”

Beberapa minggu sebelum isu hangatnya meletus di media, dia menelefon memaklumkan kepada saya untuk melepaskan semua jawatan dalam parti. Tentu sahaja saya menyanggah, walaupun saya dapat meneka mengapa. Sebelumya dia sudah bercerita panjang kepada saya masalah persenolnya. Dia melahirkan rasa terkilan dengan sahabat-sahabat yang ada seperti tidak menyokongnya. Maaf Dr Li, ana juga tidak dapat menghulurkan bantuan yang melangkaui keupayaan ana.

Saya hanya mampu berdoa sahabat saya ini diberi kekuatan, istiqamah dalam perjuangan dan anggaplah ia sebagai sebahagian daripada ujian Allah yang mahu terus mentarbiah kita dan boleh jadi Allah kelak mengurniakan kepada saudara suatu yang lebih bererti di masa depan.


(2) ARIF FAHMI

Saya mengenali Abdul Arif Fahmi juga ketika waktu dalam DPKB. Ketika itu dia sudah bergelar menantu YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Walaupun kami tidak rapat, tapi kami boleh bermesyuarat bersama, kalau pun tidak sempat bekerjasama.

Ketika pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan berikutnya dia kecundang. Dia berkali-kali menyatakan kepada saya ada konspirasi menjatuhkan dia. Dia melahirkan rasa malu yang teramat kerana dia menantu Tok Guru. Saya sekadar mampu menjawab tidak tahu dan sememangnya saya tidak tahu dan tidak minat ambil tahu atas dakwaan itu. Sahabat-sahabat lain juga menafikan. Demi Allah saya tak tahu dan tak fikir ada perancangan begitu terhadap beliau. WalLahua’lam. Selepas itu dia diterima baik di Machang, kampung kelahirannya.

Bila sahaja meletus isu dia dalam PMBK saya mengambil masa yang agak lama untuk mengirim sesuatu melalui sistem pesanan ringkas (sms). Akhirnya hati saya tergerak untuk menyatakan semoga saudara diberi kekuatan sekiranya saudara di pihak yang benar. Seketika kami berbalas mesej panjang. Seperti biasa saya suka berterus terang. Saya tidak suka hipokrit, bermunafik, apa lagi cuba berpolitik. Prinsip saya mudah sebagaimana digunakan umum. Selagi tidak dihukum bersalah, maka tidak bersalah.

Hakikatnya, saya juga kadang-kadang kurang senang dengan sikap, gaya dan PRnya, tetapi ia sesekali tidak menjadi sentiment kepada saya untuk pantas menghukum dia.

Mesej terakhirnya yang lebih kurang berbunyi merujuk kepada eksperasi wajah dan penampilannya yang ditohmah egois :

“..enta tidak mengenali secara mendalam ana. Ana nak buat macamana, Allah dah berikan kepada muka ana begini…”

Mesej itu tidak saya balas dan ia berhenti di situ.

Saudara Arif sekali lagi saya ulangi. Semoga saudara diberi kekuatan seandainya saudara di pihak yang benar..


(3) NIK ABDUH

Nik Muhamad Abduh adalah rakan dan guru saya. Saya hanya mula mengenalinya ketika dia datang ke Mesir selepas beberapa lama di India, Menjejaki bumi yang pernah menjadi tempat permukiman ilmu ayahandanya tercinta. Mendengar perkhabaran berita beliau bakal datang ke Mesir kami jadi teruja. Anak Tok Guru yang dikatakan menurun (mewarisi) sifat Tok Guru berbanding abang-abangnya yang lain. Dia akan menyambung pelajaran tahun 3 di Mesir.

Ternyata di sebalik perwatakan halusnya, Ustaz Nik Abduh adalah seorang yang tegas dan tiada kompromi apabila melihat sesuatu yang dianggap tidak seiring dan menepati ilmunya.

“Asrama Kelantan ni penuh dengan iblis!” itu antara kalam keras yang terpacul dari mulut beliau yang sampai kepada saya. Kalimah itu keluar apabila dia melihat suasana percampuran kalangan siswa dan siswi Al Azhar. Memang kami cukup ketat menjaga aspek ikhtilat, tetapi mungkin pada pandangan beliau masih belum cukup sempurna.

Kepincangan yang ada dalam Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) dan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditegur oleh beliau. Ternyata dia seorang pencetus kontraversi walau pun kelibatnya jarang di Mesir dan kerap pulang bercuti di Malaysia.

Mungkin atas asas itulah dia dicemuh. Tetapi atas keyakinan la yakhafu laumata la em (tiada takut akan cemuhan) dia terus dengan prinsipnya. Sampai ada yang meletakkan beliau perosak kepada politik PAS dan lialibiti kepada parti. Kendatipun dia kalah di peringkat negeri, dia diterima penuh di peringkat pusat.

Sungguh. Tulisannya digeruni dan suaranya dianggap boleh mempengaruhi. Kerana itu ada pihak yang sentiasa menyerang garapan blognya, Jalan Lurus dan melebelkan pula sebagai Jalan Berbelit. Ada yang sedaya menghalang daripada dia berada di pentas ucapan.

Saya tidaklah sangat berniat mempertahankan beliau lantaran dia adalah sahabat dan guru saya. Saya cuba mengurus diri daripada bersifat taksub tak tentu hala kepada manusia. Kami tidak kerap berhubungan, apa lagi bertemu kecuali apabila ada usrah. Itu pun kadang-kadang usrah terbengkalai juga beberapa lama. Hehe. Cuma akhir-akhir ini agak kembali kelihatan bernyawa.

Ya. Kami berada dalam satu usrah yang kami anggap dialah rais kami walaupun kami seperti tiada naqib yang tetap. Usia kami kurang lebih sebaya. Tinggal lagi lebih ilmu dan pengalaman. Tolak saya, masing-masing mempunyai ilmu yang mantap, tinggi lagi hebat.

Selama saya berada dalam usrah, saya melihat menilai politik Nik Abduh dan apa yang dia perjuangkan, terutama dalam politik Kelantan. Semuanya hampir menjadi kenyataan yang hak. Tidak perlulah saya perincikan, tetapi ternyata ia banyak membantu parti dan memperbaiki individu yang terlibat. Bahkan pihak yang sebelumnya boleh dianggap musuh, berakhir menjadi kawan dalam perjuangan.

Kelebihannya menanggapi hukum semasa dan menafsir satu-satu ayat Al Quran berdasar kepada realiti mua’sirah (terkini) tidak dapat dinafikan. Saya menceduk mutiara ilmu dari itu.

Ada kalangan yang mempertikai dia memiliki kereta besar. Saya tidak mahu komen kerana kawan-kawan saya juga ada kereta besar. Cuma bagaimana kalau saya katakan anda juga seperti saya punyai cita-cita untuk miliki kenderaan begitu. Tapi sekadar angan-angan kut. Hihi..

Dia juga seperti saya dan anda. Ada minat dan kecenderungan sendiri. Contohnya dalam arena perniagaan dan bolasepak. Tinggal lagi kerana dia anak Tok Guru dan tersohor maka segala tindakannya menjadi perbualan. Cuma kita yang kadang-kadang terlebih kepada kecenderungan hingga mengabaikan yang lebih utama. Beraktiviti dan bersosial hingga lupa tuntutan solat jemaah!

Nik Abduh tidak ada apa-apa kepentingan politik. Sekiranya ada kepentingan, nescaya isu yang berlaku tidak diletuskannya. Dia punya masa depan politik yang baik dengan hanya perlu beriman kepada arus. Mengapa bersusah-susah seperti mencari musuh, kalau anda punyai hasrat untuk berada di puncak persada.

Ironi dunianya adalah untuk dakwah dan tarbiah. Walaupun berkali dia dinafikan untuk menjawat jawatan itu dalam parti, yang selalunya ditolak oleh kebanyakkan yang lain, dia tetap dengan agendanya. Terbaru, atas kapatisinya pengerusi tarbiah pemuda pusat, kami baru sahaja melaksanakan program tarbiah untuk remaja.

Apa pun persepsi anda, apabila saya memperkatakan tentang anak Tok Guru sahabatguru saya ini, itu hak anda yang teruja dengan zaman persepsi kala ini. Ia tidak begitu senang mengubah keyakinan saya dengan apa yang dilakukannya, sebagaimana bukan mudahnya anda yang memusuhinya, melihat dia daripada posisi yang lebih terbuka dan positif.

Biarpun tanggapan yang diberi, siapa yang bersahabat dengan Nik Abduh akan jadi rosak dan perosak seperti dia, ia tidak semudahnya mengoyahkan sikap saya terhadap sahabatguru saya ini.

Kecualilah kalau saya menyakini dia merancang suatu kemungkaran yang jelas, terang lagi bersuluh yang kelak menjahanamkan Islam yang suci dan jemaah yang disayangi. Waktu itu bukan sahaja dia, kalau saudara mara saya sendiri saya sanggup berbunuh!

Advertisement