Category: Wacana Perdana


IJTIMA’ TARBAWI

Rasanya seperti sudah agak lama tidak berada dalam program yang berdepan dengan situasi yang mencabar. Bukanlah mencabar sangat sebagaimana getirnya Rasulullah dan sahabat berada dalam mukhayyam peperangan. Sekadar tiada air dan tidur di masjid bukanlah kepayahan yang melampau. Ijtima Tarbawi Pemuda PAS Pusat di perkampungan Rusila Terengganu. Suasana panas dan menghidu peluh sahabat-sahabat itulah suatu yang sukar dicari dalam dunia perjuangan sekarang, hatta dunia perjuangan PAS yang semakin senang. Keinginan saya untuk terus berada sepenuhnya dalam ijtima’ itu juga terhalang. Terhalang kerana Wacana Perdana dan terhalang dek nafsu yang sentiasa beralasan.

Pun begitu walaupun sebentar, hati amat-amat tersentuh dengan kehadiran syeikhuna wa murabbina Ustaz Dato’ Hj Yahaya bin Othman dalam ijtima yang kembali mengamit nostalgia pejuang-pejuang PAS terdahulu itu. Walaupun pembentangan beliau hanya keesokan harinya, beliau datang awal untuk menyertai majlis perasmian oleh Tuan Guru Dato’ Seri Presiden pada malamnya. Ketika sesi pembentangan beliau pula, jelas tampak keuzuran beliau terketar-ketar bangun. Tetapi menakjubkan! Beliau tidak duduk di kerusi yang di sediakan, sebaliknya kekal berdiri ketika berucap!

Sepatutnya beliau menumpang kenderaan Ustaz Azariza bersama saya untuk pulang ke Kota Bharu sebaik sahaja pembentangan tamat sekitar jam 10 pagi. Tetapi beliau memilih untuk terus berada hingga ke petang kerana ingin mengikuti sesi forum pula.

Masyaalah! Bagaimana mata saya ini tidak menumpahkah sebutir dua manik-manik air melihat kegigihan beliau. Di mana kedudukan saya berbanding dia? Tidak selayaknya dibandingkan. Sedang saya masih bergelut melawan hawa nafsu yang tidak sudah-sudah!

CHENG HO EXPO 2010 : KELANTAN – CHINA INTERNATIONAL TRADE FAIR

Saya bekerja tidak lain adalah kerana saya meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada rakyat Kelantan yang mesti mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh ulama ini. Kerana itu saya tidak menyanggah bila ditaklifkan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Ekspo Cheng Ho 20101. Saya bekerja tanpa perlu membuat perhitungan bekerja untuk siapa dan kepada siapa. Ya, sememangnya keserasian itu adalah perlu, tetapi terlalu tunduk kepada sentimen dan kehendak nafsu sendiri, juga saya kira suatu yang boleh merosakkan.

1000 orang bukanlah angka yang kecil. Angka itulah yang menjadi sasaran kami. Tenaga dan minda diperah dan dikerah untuk menghasilkan kuantiti angka itu. Jika Pemuda PAS Pusat telah mencapai target menghimpunkan pemuda dalam Ijtima Tarbawi, itu juga harapan saya. Cuma saya tidak termampu mengalasnya seorang sebagaimana Rasullulah memikul Risalah bersama Sahabatnya.

Mungkin. Mungkinlah kerja saya mencari sedikit mudah kerana tawaran-tawaran keistimewaan yang ditawarkan apabila menjadi sukarelawan. Saya mendoakan pada diri saya agar tidak meletakkan metarial di hadapan saya apabila saya memperhambakan diri untuk kerja-kerja Islam. Anda bagaimana?

WACANA PERDANA

“ Tak dok doh ko wacana (Wacana Perdana) lepas ini?” Masih terngiyang-ngiyang ekspersi wajah Prof Agus ketika melontarkan soalan itu kepada Ustaz Baihaqi sewaktu kami makan pagi di warung belakang Hotel Renaissance pagi tadi. Emosi saya terusik sehingga saya tidak dapat menanggapi jawapan yang diberi oleh pengarah tetap program yang semakin tersohor di seantero dunia itu. Sesungguhnya dunia menyaksikan forum itu bila internet tidak buat hal.

Kami berkerja untuk Wacana Perdana juga tanpa menoleh ke belakang. Segalanya untuk memperkasakan kerajaan Islam Kelantan. Balasan?? Ah! Jangan sentuh soal pengorbanan dan keperitan yang dicurah dan dirasakan. Bimbang ia bisa memakan pahala, bahkan boleh memalit dosa. Korban dan perit itu sebenarnya yang memaniskan perjuangan.

Selalunya saya gembira. Gembira setiap kali selesai Wacana Perdana, walaupun untuk kesekian kalinya saya tidak banyak menyumbang tenaga, sebagaimana lelahnya sahabat saya Saifudin bercawat kote memastikan acara ini berjalan sebagaimana dirancang. Dia juga tidak banyak menggamit saya, mungkin kerana memikirkan masa saya terfokus kepada volunteer Laksamana Cheng Ho.

Ya, kalau pun ada sekelumit rasa gembira, ia seperti cepat sirna, tambahan lagi mengingat sapaan prof Agus tadi. Dia bagai terhidu kepada senario yang berlaku dan bakal terjadi. Cukuplah setakat ini. Saya tidak dapat bayangkan kehidupan saya dan kami selepas ini tanpa wacana. Allah sahaja yang maha mengatur segalanya.

Selepas solat Isyak di Masjid Paya Rambai Kota Bharu, saya bergegas turun menuju ke Pusat Dagangan Kelantan (KTC). Saya kira saya adalah antara orang terawal, tetapi rupanya manusia sudah memenuhi dewan yang jauh lebih kecil berbanding Balai Islam. Cuma tampak lebih ekskulsif.

“Ramai ke orang, malam ni Din? kalau sekadar 400 orang malu aku,” itu antara kebimbangan Profesor Dr Agus ketika menghubungi aku pada petangnya.

Sebelumnya dalam pertemuan di pangsapuri Pelangi pun dia beberapa kali menaruh bimbang tentang kehadiran penonton.

“ Aku tanya orang tak tahu pun ada program ni”

Sahabat-sahabat urusetia menyakinkan bahawa Kelantan adalah Universiti Politik Terbuka. Kehadiran tidak seharusnya menjadi kebimbangan.

“Padan dengan moderator jah, orang ramai doh,” sampuk Saifuddin.

Konsep Wacana Perdana malam tadi seperti wacana sebelumnya adalah debat, bukan diskusi atau wacana. Ironinya debat, masing-masing pihak berharap kepada suatu kemenangan, walaupun tiada sejarah yang mencatatkan debat akan berakhir dengan kemenangan kepada satu-satu pihak kecuali seperti debat antara Nabi Ibrahim dengan Raja Namrud.

Debat tidak menghasilkan suatu ketepan resolusi, bahkan debat akan merangkaikan episod polemik yang mengambil masa untuk ke penghujung yang murni. Jelasnya, masing-masing tetap akan menegakkan tali benang sendiri.

Dato’ Nik Amar seperti biasa dengan penampilannya yang tenang, bersahaja dan humorist. Dia bercakap berdasar pengalaman dan ilmuan bekas pensyarah universiti. Bait analogi yang dikemukakan memukau. Ini salah satu daripada sifat yang diwarisi (orang Kelantan sebut nurun) daripada Tok Guru.

Jawapannya ringkas dan tidak meleret lagak mantan YDP YADIM. Penjelasan yang tidak meleret menyebabkan audies fokus kepada apa yang ingin dihujjahkan oleh Nik Amar. Bagi orang yang suka berdebat babi buta (hujah keng kata orang Kelantan) tentu sahaja tidak puas bagi golongan itu. Mereka mahu lebih dari itu. Berhujjah, berbahas, kemudian lipat dan pancung terus!

Dr. Asri seperti biasa dengan pendekatannya yang mahu dilihat tidak memihak. Cukup beradab dan penuh butiran ilmiah. Walaupun kadang-kadang tidak dapat menahan sedikit emosi untuk melepaskan apa yang berbekam. Caranya disegani kawan dan lawan. Tetapi dengan isu-isu yang tertimpa kepadanya, kenyataan-kenyataan Dr. Asri banyak saya katakan membantu PAS.

Ucapan syabas boleh dilemparkan kepada Datuk Nakhaie kerana berani masuk gelanggang. Gelanggang pula di tempat lawan yang penuh dengan penyokong tegar. Setengahnya bukan sekadar tegar tetapi fanatik. Dia mengambil peluang untuk membesihkan namanya berhubung dengan dakwaan Dr. Asri, namun Dr Asri tidak memberi laluan mudah.

“Kita serahkan kepada SPRM,” kata Asri ringkas.

Beberapa ketika Nakhaei terkesima dengan taluan persoalan dari moderartor. Namun soalan perlu dijawab walau tidak mesti soalan itu yang akan dijawab. Ditambah lagi dengan asakan soalan penyokong tegar dari lantai.

Petangnya Dr. Agus juga bertanyakan saya siapa akan diberi perhatian dan orang nak dengar dalam wacana kali ini.

“Nakahie,” jawab saya.

Saudara Afendi mempunyai kekuatan daripada sudut malakah (karisma) berucap, tetapi gaya dan penampilan sahaja tidak cukup. Terjahannya dengan suara yang kuat memberi nilai tambah (cover) kepada hujahnya berdasar kepada persoalan yang dijangka (soalan spot). Kerana itu dia bersedia dengan bahan-bahan bukti lama yang dia rasakan boleh membantu. Afendi berkali-kali mengulang dia akan masuk PAS sekiranya PAS boleh melaksanakan dasarnya sepenuh tanpa ada dolak dalih. Saya tidak fikir dia akan bersama PAS. Apa faedah sudah dapat keselesaan dalam UMNO untuk menyeberang ke dalam PAS yang belum tentu menjamin masa depan kehidupan dan politiknya. Ustaz Afendi, saudara punya bakat dan kebolehan, tetapi saudara menyalah guna kebolehan saudara dengan berjuang dalam Umno.

Akhirnya untuk meletakkan kredit dan kejayaan kepada Wacana Perdana semalam adalah bergantung kepada objektifnya. Kalau objektif untuk mengundang lautan manusia, berjaya. Jika objektif untuk mewujudkan suasana panas dan sorak sorai, ia berjaya. Kalau objektif untuk melihat siapa menang, siapa kalah, ia suatu yang subjektif. Masing-masing pihak tidak akan merasa kalah. Jika objektif untuk merumuskan suatu resolusi masa depan Islam di Malaysia, saya rasa matlamat itu tidak jelas.

Saya tidak terlibat secara aktif untuk wacana kali ini. Saya juga seperti anda ada kalanya suatu perkara kita tidak dapat memaksa atas diri kita.

Moga forum Wacana Perdana yang semakin establish ini akan terus survive untuk mencorak pemikiran ummah yang lebih terbuka, bertamadun, realistik dan tidak sekadar retorik. Amein!


* Gambar-gambar diplagiat daraipada sumber intenet

OWH!! WACANA

rukunnrgara-web1

<<Berfikir sesat adalah lebih baik daripada sembahyang sunat>>

 

Itu masej saya hantarkan kepada beberapa teman untuk melega dan motivate diri bila berdepan dengan masalah yang membelenggu kami.

 

Dr Mohd Fuad Zarkashi terpaksa menolak undangan ke Wacana Perdana yang bakal berlangsung 14 Mac depan. Sewaktu bertemu dengannya di Parlimen, menyerahkan surat jemputan rasmi dan kertas konsep Wacana Perdana dia sudah membayangkan kekhuatirannya akan bertembung dengan jadual kampen countdown pemilihan Umno 24 Mac ini.

 

“Setakat ini saya freelah, bimbang kalau jadual kempen yang diatur bertembung pula, saya kena utamakan kempen,” ujarnya perlahan.

 

Memang dr fuad low profile, sekali undangan yang diajukan kepadanya, disambut baik tanpa banyak soal.

 

Untuk menambah yakin beliau agar komited dengan proram kami saya menghantar mesej kepadanya lebih kurang

 

<<..Dr dilihat sebagai Ahli parlimen yang aktif, vocal dan mempunyai prinsip sendiri..>>

 

Kebimbangan itu menjadi ternyata menjadi kenyataan apabila kami menerima masej berikut

 

<< Saya terpaksa turun ke Pahang pada malamnya. Jadual asal sebelah pagi diubah ke malam. Saya minta maaf. Saya akan cadangkan orang lain>>

 

Poster sudah ditampal merata-rata. Kami difahamkan orang sudah bercakap tentang Wacana Perdana terbaru ini. Apakah auranya akan sehebat Wacana Perdana Husam lawan Khairy.

 

Sejurus saya menerima 2 sms bussines card tertera nama YB Ahmad Maslan dan Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki.

 

Tanpa bertangguh saya menghubungi Dr. Asyraf.

 

Alhmdulillah ada respon.

 

“ Siapa lagi panelis,” soalnya.

 

“ YB Saifudin Nasution, Prof Madya Dr Abu Hasan dan moderator Prof Madya Dr. Agus.”

 

“Owh, saya kena tengok jadual saya dulu, esok cuti Maulidur Rasul…, Selasalah”

 

Masa sama saya juga cuba menghubungi YB Ahmad Maslan, wakil rakyat Pontian.

 

Juga ada maklum balas…

 

“Hee…Kenapa saya? Tak ada orang lain? Oklah saya cuba tengok jadual, kalau ikutkan Jumaat, Sabtu dan Ahad jadual saya padat. ”

 

Sambil itu saya mendapatkan nasihat Profesor Dr. Agus

 

“Tunda sajalah Din.., Kalau Dr. Asyaraf  mungkin UKM susah nak lepaskan saya sebab dia tak ada jawatan dalam Umno,” kata moderator tersohor rancangan Hujah itu.

 

“ Kalau YB Ahmad Maslan, oklah sebagai nak meraikan you,” katanya lagi.

 

Seawal pagi Selasa saya menerima khidmat pesanan ringkas Ahmad Maslan.

 

<< Maaf, saya tidak dapat memenuhi undangan kerana jadual saya terlalu padat. Terima kasih atas undangan>>

 

Tengaharinya pula saya cuba menghubungi Dr. Asyraf. Tidak seperti sebelumnya, beberapa panggilan saya tidak berjawab.

 

Saya mengetik Nokia N70 saya

 

<<Salam Dr,

Bagaimana dengan undangan kami ke Wacana Perdana. Program ini lebih kepada bentuk muzakarah. Kami bercadang untuk menjemput sejumlah penyokong Umno melalui Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan>>

 

Panggilan tak terjawab, mesej tak berbalas.

 

Sehingga saat ini kami menemui jalan buntu untuk mendapatkan wakil Umno.

 

Ezam, Ruhanie, Zaid, Annuar, Alwi…. Semua nombor-nombor vip hulubalang Umno itu ada dalam simpanan kami. Ada yang dihubungi ada yang tidak. Semuanya tidak berpihak pada kami.

 

Masa semakin suntuk…kami hanya ada beberapa hari lagi…Strategi dan usaha tak henti..

 

Otak terus ligat berputar untuk memastikan Wacana Perdana ini berlangsung.

 

Tidak adakah mana-mana Umno yang boleh bantu kami????

 

Arrgh!!

Rasanya lebih ringan telan bom asap FRU demonstrasi PPMSI baru-baru ini daripada mengurus wacana kali ini!!!!