Category: kerajaan


Auto Show Anak Muda Ramadhan 1432


*12 Ramadhan 1432 *2.30 ptg – 11 malam *Di Qaryah Ramadhan Kota Bharu

Perasmian oleh YB Tuan Hj Abdul Fattah Mahmod (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan)

 

Penutup oleh YB Dato’ Hj Takiyuddin bin Hj Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan)

Auto Show l GTR l Viva l Myvi l Vespa l Motor Honda Klasik l Tendangan Penalti l Kuiz l Dart

Advertisements

IJTIMA’ TARBAWI

Rasanya seperti sudah agak lama tidak berada dalam program yang berdepan dengan situasi yang mencabar. Bukanlah mencabar sangat sebagaimana getirnya Rasulullah dan sahabat berada dalam mukhayyam peperangan. Sekadar tiada air dan tidur di masjid bukanlah kepayahan yang melampau. Ijtima Tarbawi Pemuda PAS Pusat di perkampungan Rusila Terengganu. Suasana panas dan menghidu peluh sahabat-sahabat itulah suatu yang sukar dicari dalam dunia perjuangan sekarang, hatta dunia perjuangan PAS yang semakin senang. Keinginan saya untuk terus berada sepenuhnya dalam ijtima’ itu juga terhalang. Terhalang kerana Wacana Perdana dan terhalang dek nafsu yang sentiasa beralasan.

Pun begitu walaupun sebentar, hati amat-amat tersentuh dengan kehadiran syeikhuna wa murabbina Ustaz Dato’ Hj Yahaya bin Othman dalam ijtima yang kembali mengamit nostalgia pejuang-pejuang PAS terdahulu itu. Walaupun pembentangan beliau hanya keesokan harinya, beliau datang awal untuk menyertai majlis perasmian oleh Tuan Guru Dato’ Seri Presiden pada malamnya. Ketika sesi pembentangan beliau pula, jelas tampak keuzuran beliau terketar-ketar bangun. Tetapi menakjubkan! Beliau tidak duduk di kerusi yang di sediakan, sebaliknya kekal berdiri ketika berucap!

Sepatutnya beliau menumpang kenderaan Ustaz Azariza bersama saya untuk pulang ke Kota Bharu sebaik sahaja pembentangan tamat sekitar jam 10 pagi. Tetapi beliau memilih untuk terus berada hingga ke petang kerana ingin mengikuti sesi forum pula.

Masyaalah! Bagaimana mata saya ini tidak menumpahkah sebutir dua manik-manik air melihat kegigihan beliau. Di mana kedudukan saya berbanding dia? Tidak selayaknya dibandingkan. Sedang saya masih bergelut melawan hawa nafsu yang tidak sudah-sudah!

CHENG HO EXPO 2010 : KELANTAN – CHINA INTERNATIONAL TRADE FAIR

Saya bekerja tidak lain adalah kerana saya meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada rakyat Kelantan yang mesti mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh ulama ini. Kerana itu saya tidak menyanggah bila ditaklifkan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Ekspo Cheng Ho 20101. Saya bekerja tanpa perlu membuat perhitungan bekerja untuk siapa dan kepada siapa. Ya, sememangnya keserasian itu adalah perlu, tetapi terlalu tunduk kepada sentimen dan kehendak nafsu sendiri, juga saya kira suatu yang boleh merosakkan.

1000 orang bukanlah angka yang kecil. Angka itulah yang menjadi sasaran kami. Tenaga dan minda diperah dan dikerah untuk menghasilkan kuantiti angka itu. Jika Pemuda PAS Pusat telah mencapai target menghimpunkan pemuda dalam Ijtima Tarbawi, itu juga harapan saya. Cuma saya tidak termampu mengalasnya seorang sebagaimana Rasullulah memikul Risalah bersama Sahabatnya.

Mungkin. Mungkinlah kerja saya mencari sedikit mudah kerana tawaran-tawaran keistimewaan yang ditawarkan apabila menjadi sukarelawan. Saya mendoakan pada diri saya agar tidak meletakkan metarial di hadapan saya apabila saya memperhambakan diri untuk kerja-kerja Islam. Anda bagaimana?

WACANA PERDANA

“ Tak dok doh ko wacana (Wacana Perdana) lepas ini?” Masih terngiyang-ngiyang ekspersi wajah Prof Agus ketika melontarkan soalan itu kepada Ustaz Baihaqi sewaktu kami makan pagi di warung belakang Hotel Renaissance pagi tadi. Emosi saya terusik sehingga saya tidak dapat menanggapi jawapan yang diberi oleh pengarah tetap program yang semakin tersohor di seantero dunia itu. Sesungguhnya dunia menyaksikan forum itu bila internet tidak buat hal.

Kami berkerja untuk Wacana Perdana juga tanpa menoleh ke belakang. Segalanya untuk memperkasakan kerajaan Islam Kelantan. Balasan?? Ah! Jangan sentuh soal pengorbanan dan keperitan yang dicurah dan dirasakan. Bimbang ia bisa memakan pahala, bahkan boleh memalit dosa. Korban dan perit itu sebenarnya yang memaniskan perjuangan.

Selalunya saya gembira. Gembira setiap kali selesai Wacana Perdana, walaupun untuk kesekian kalinya saya tidak banyak menyumbang tenaga, sebagaimana lelahnya sahabat saya Saifudin bercawat kote memastikan acara ini berjalan sebagaimana dirancang. Dia juga tidak banyak menggamit saya, mungkin kerana memikirkan masa saya terfokus kepada volunteer Laksamana Cheng Ho.

Ya, kalau pun ada sekelumit rasa gembira, ia seperti cepat sirna, tambahan lagi mengingat sapaan prof Agus tadi. Dia bagai terhidu kepada senario yang berlaku dan bakal terjadi. Cukuplah setakat ini. Saya tidak dapat bayangkan kehidupan saya dan kami selepas ini tanpa wacana. Allah sahaja yang maha mengatur segalanya.

27 Mei – Pihak kerajaan Negeri Kelantan melalui agensi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) akan menjalinkan kerjasama lebih erat dalam aspek pelancongan antara negeri Kelantan dan Selangor.
Hal ini dipersetujui antara Dato’ Hj Takiyuddin bin Hj. Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan dan Cik Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Selangor dalam pertemuan mereka di pejabat TIC di sini, hari ini.

Turut serta dalam perjumpaan ini ADUN Rawang, Gan Pei Nei yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor.

Cik Elizabeth Wong yang menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Kota Bharu mengambil peluang mengadakan pertemuan empat mata dengan Takiyuddin Hassan.

” Kita amat-amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang ingin berkerjasama dengan kita, terutama negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, hasil daripada persidangan pelancongan yang diadakan di Langkawi sebelum daripada ini,” kata Takiyuddin.

Sementara itu Elizabeth dalam taklimatnya menyatakan hasrat untuk menjalinkan suatu projek usahasama berupa pakej pelancongan antara kedua-dua buah kerajaan yang turut melibatkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

“Adalah dicadangkan pelancong samada dalam atau luar negara akan menikmati pakej ini dengan berada di kedua-dua buah negeri ini selama beberapa hari yang dipersetujui bersama,” ujarnya.

Cik Elizabeth juga memohon pihak kerajaan negeri menghantar suatu kontijen sempena dengan pesta muzik kebudayaan yang akan dilangsungkan di Selangor dalam bulan Jun depan.

Selain itu persetujuan juga dicapai bersama untuk mempromosi pelancongan agama (Ibadah tourism) yang terdapat di Kelantan seperti Ihya Ramadhan dan Quran Aidil Adha dan sebagainya.

Kota Ilmu

Kota Ilmu


Tajuk di atas kelihatan agak agak emosional. Namun harapnya isi tidaklah menggambarkan tajuknya..

Saya dihujani beberapa soalan berhubung dengan penganjuran Karnival Jom Heboh yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV 26 dan 27 Mac depan.

Isunya ialah kenapa Kelantan meluluskan Jom Heboh yang dulunya dikenali dengan Sure Heboh. Sure Heboh bertukar kepada Jom Heboh selepas menerima banyak bantahan terutamanya daripada pakar bahasa, berhubung dengan penggunaan kata Inggeris sure.

Mufti Perak, Datuk Harun Sani pernah mengeluarkan fatwa bahawa Sure Heboh adalah suatu program yang hukumnya haram. Ia merujuk kepada beberapa aktivitinya, terutama persembahan konsert malam terakhir yang dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan, penampilan artis wanita dengan aksi yang melampau dan percampuran bebas antara khalayak penonton.

Hanya sekali itu sahaja beliau mengeluarkan kenyataan atau fatwa tersebut ketika awal-awal Sure Heboh diperkenalkan.

26 dan 27 Mac depan Jom Heboh bakal bertandang ke Kota Bharu. Isu kedatangan karnival anjuran Media Prima ini tidaklah heboh sangat tetapi ia tetap mengamit perbincangan, bias kepada fatwa Harun Sani yang mengiktiraf kerajaan kudeta haram Perak.

Jom Heboh di Kota Bharu diluluskan dalam persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Tok Guru Menteri Besar menyerahkan tangunggjawab kepada exco kebudayaan dan pelancongan, Dato’ Takiyuddin dan jawatankuasanya turut dianggotai oleh dua exco lain. Dr. Fadhli dan Kak Ubai.

Sebelum ini pihak TV3 tidak pernah memohon untuk bertandang ke Kelantan bagi tujuan mengadakan karnival tersebut kerana menganggap Kelantan menutup pintu kepada aktiviti hiburan dan seumpamanya.

Namun selepas melihat kejayaan penganjuran Karnival Sua Rasa TV9 tahun lalu dan tidak timbul sebarang isu penganjuran tersebut, maka TV3 membuat permohonan dan ia diluluskan oleh pihak kerajaan negeri.

Pihak kerajaan terlebih dahulu membuat penegasan bahawa segala aktiviti berbentuk karnival hendaklah tertakluk kepada Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Perlu disebut bahawa kerajaan Kelantan sesekali tidak menyekat atau mengharamkan hiburan, tetapi sebaliknya kerajaan mengawal hiburan di bawah enakmen ini.

Karnival dua hari yang akan berlangsung di stadium Sultan Muhamad Ke 4 ini dinaungi oleh Tengku Amalin Puteri dan Yang Amat Mulia Pemangku Raja dijangka berangkat untuk mengikuti program Al Kuliyyah di Kota Ilmu.

Kota Ilmu adalah khemah besar yang menempatkan ruang solat yang luas, pameran Jejak Rasul dan dijangka sarat dengan akiviti-aktiviti keagamaan.

Manakala pada malam akhir, sebagaimana ataurcara rutin Karnival Jom Heboh akan diserikan dengan persembahan konsert berunsur ketuhanan. Dato Takiyuddin dalam bebarapa mesyuarat dengan pihak TV3 menegaskan bahawa pihak TV3 perlu mematuhi wajib menyenaraikan selebriti yang akan muncul dalam konsert tersebut. Beliau juga memohon pihak TV3 menyenaraikan lagu-lagu yang akan disampaikan.

Selain itu penegasan daripada sudut pengasingan tempat duduk penonton yang dibahagikan kepada tiga iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.

Akhir sekali saya ingin menukilkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Kelantan melalui laman web :

http://www.pemudaumno.org.my

Ketua Pemudanya, Dali Hussin berkata pihaknya sudah menjangkakan perkara itu kerana tidak apa yang mustahil dalam kamus Pas asalkan tindakan yang dibuat itu boleh mendatangkan kepentingan politik kepada mereka.

Menurut beliau segala dasar yang diwujudkan sebelum ini hanya sekadar alat politik semata-mata yang lebih menjurus kepada kosmetik Islam.”

Pembuka Tirai 2010

Biar pun tirai 2009 ditutup pada 31 Disember dengan berita Kerajaan Kelantan disaman sebanyak 800 juta namun beberapa senario pembuka tirai 2010 diharap dapat mendingin, mengharmonis dan menyegarkan fenomena serta iklim politik Kelantan, terutama politik anak beranak negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, Serambi Mekah dan Negeri Tadahan Wahyu ini.

Antara fenomena menarik yang mungkin tidak berlaku di negeri-negeri lain

1. Pemangku Raja Kelantan mengimami solat hajat di Stadium Sultan Mohd ke IV yang telah disifatkan oleh YAB Tok Guru Menteri Besar Kelantan sebagai menempa sejarah dalam kesultanan Melayu moden.

2. Pidato Perdana Royalti YBM Tengku Razaliegh Hamzah di Stadium Sultan Muhamad ke IV yang dianggap mencatat kehadiran teramai. Tengku Razaliegh menegaskan bahawa Kelantan berhak menerima royalti, bukan wang ihsan. Rakyat Kelantan bukan tok pakir atau peminta sedekah!

3. Khutbah Jumaat Ketua Polis Negeri Kelantan di Masjid Telipot yang antara lain dalam khutbahnya menyebut Kelantan adalah negeri yang cukup terkawal dari segi kadar jenayahnya.

Ya Allah, moga keadaan ini kekal dan terus bertambah baik. Moga selepas ini akan menyusul lagi peristiwa-peristiwa yang menyejukkan perasaan ini.

Jangan hendaknya ada lagi pihak yang membuat apa-apa provokasi, mengeluar kenyataan-kenyataan kontroversi yang memberi jalan musuh mengambil kesempatan dan peluang.

Fokuskan sasaran kita menyedarkan UMNO Barisan Nasional bahawa zaman mereka yang memperjuangkan nosionalis dan sekular semakin berakhir dan bakal terkubur. Seterusnya kita benamkan rapat-rapat idealogi sesat dan menyesatkan mereka itu.

Kelantan mencapai 2 dekad di bawah dasar Membangun Bersama Islam. Bersama kita memikir, menganalisis, mencerakin, merencana dan merancang agar dasar ini dapat dipertingkat dan terus subur dalam misi dan visi kita mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar menepati falsafah “Baldatun toyyibatun wa Rabbun ghafur”

* Semua gambar-gambar hiasan adalah dari sumber internet, bukan kamera saya

Berjaya, puashati dan mengesankan. Itulah yang dikatakan oleh rata-rata audien Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang berlangsung pada 21 Jun lepas di Balai Islam Kota Bharu. Wacana Perdana yang dikendalikan moderator YB Ahmad Baihaqi Atiqullah ternyata hidup dengan menggunakan format ahli panel bebas mengemukakan pandangan dengan tidak terlalu terikat dengan soalan. Pada satu-satu ketika moderator memberi peluang kepada panelis untuk segera respon kepada kenyataan rakan panelis lain. Profesor Dr. Aziz Bari beberapa kali mendapat tepukan gemuruh apabila menyebut tentang jangkaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September, lebih cepat daripada tarikh itu adalah lebih baik. Dalam keadaan markah lulus Pakatan Rakyat hari ini lebih tinggi daripada Barisan Nasional, maka menjadi cabaran kepada PR untuk terus merubah landskap politik negara.

Sohibu Samahah Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam muqadimah pusingan pertama mengingatkan tentang sejarah manusia tidak seharusnya lupa apabila diberi kuasa. “Saya tidak bimbang dengan Kelantan kerana rakyatnya menghayati firman Allah yang bermaksud : orang-orang yang sekiranya mereka diberi kekuasaan di muka bumi, mereka mendirikan solat, dan mereka mereka menunaikan zakat, dan mereka menyuruh yang maaruf dan mereka mencegah mungkar.” Menurutnya kita jangan terlalu gembira dan seronok dengan kekalahan orang lain, tetapi bagaimana kita mengisi kemenangan. Beliau juga menerima tepukan apabila secara sinis mengulas Islam Hadhari. Prinsip yang terkandung dalam Islam Hadhari asasnya baik, tetapi pelaksanannya yang perlu mengikut acaun yang sebenar berteraskan Al Quran dan Hadis.

Ketika beliau melahirkan kebimbangan tentang nasib umat Melayu Islam di Pulang Pinang ianya disambut oleh YB Saifudin Nasution Ismail, panelis ketiga dengan menyebut bahawa kebimbangan itu bukannya baru dengan memberi beberapa contoh nasib melayu muslim yang terpinggir di bawah pemerintahan parti Gerakan. Menyentuh apa yang disinggung oleh Dr. Asri dengan dasar tender terbuka, Saifudin mempersoalkan apakah kita mahu terus dengan dasar tender tertutup yang rata-ratanya diperolehi oleh kroni pimpinan Umno termasuk kerabat Perdana Menteri sendiri.

 

Pusingan kedua wacana menjadi lebih hangat dengan penglibatan audien dengan soalan-soalan yang mengamatkan dewan yang penuh dengan orang ramai itu

 

Ternyata Wacana Perdana Wacana Perdana 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang didahului ucapan YB Dr Fadzli Dato Hassan selaku ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tayangan dokumentari wawancara Global Media Channel membawa damensi baru dalam menampilkan sikap telus dan keterbukaan kerajaan Kelantan yang diterajui oleh PAS.

 

Oleh : Nasruddin Mahmud Muhaidin (Setiausaha Wacana Perdana)