Category: Anekdot Bersama Ust Yahya


Entahlah setiap kali Ustaz datang saya dipertanggungjawabkan menjaga jadual dan masa ustaz Yahaya Othman.

Saya jenis payah untuk mengejutkan orang tidur. Bukan apa. Memang rasa kasihan dan tak tergamak gerok ore tido nih.

Begitu juga saya boleh marah kalau orang tak pasal-pasal kejutkan dari tidur saya. Kalau dah sedar bukan mudah nak lena balik.

“Din, gerok ustaz, nok gi doh ni” kata ustaz Zaid, penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM)”

“Kesian ko ustaz nampok letih tu,” kami baru sahaja pulang dari satu tempat.

“Tok apo,” kata ustaz  Zaid.

Perlahan saya menolak pintu bilik yang menempatkan ustaz dan rombongan kerajaan negeri Kelantan di sebuah apartmen mewah di Hayyu Sabie’ Madinah Nasr.

“Ustaz…” perlahan saya panggil.

“Ustazzz!…,” sekali lagi.

Tersentak ustaz bangkit.

“ Ya! Ke mana pula kita?,” sedang matanya separuh tertutup.

Ketika menyarungkan stokin di ruang tamu, ustaz berpaling kepada anak daranya yang turut serta bersamanya seraya berkata

“Haaza abuki ya Surayya!. Haaza abuki ya Surayya!”*

Kami semua tersenyum.

 

* Inilah ayahmu wahai Suraya

EnTa TaK LiaR??

Ketika menunggu Sheikh Dr. Umar Hashim, Presiden Al Azhar, kawan saya Azmi tidak lepas peluang mengambil gambar-gambar dalam pejabat Dr Umar Hashim yang cukup luas dan ekskulsif itu.

 

Kebetulan kami lantik dia secara tak rasmi sebagai cameraman. Saya tidak kisah sangat bila saya tidak menjadi fokus lensa kamera yang dikiliknya.

 

Apa yang jadi saya sikit sakit hati apabila saya yang kena ‘buah keras’ ustaz hari itu. Tapi itu tentu sahaja menjadi pengajaran berharga pada saya. Tiada pengalaman yang tidak berharga ketika saya bersama ustaz.

 

“Mi, ambillah gambar ustaz sedang berunding dengan Dr. Umar Hashim tu,” bisik saya.

 

“Padan dah Din, banyak dah ambil gambar tadi,,” jawabnya ringkas.

 

“Tak kan aku nak bertekak pulak dengan dia ni dalam pejabat Presiden Azhar ni,” saya bermonolog sendiri.

 

Misi ustaz selesai untuk menyambung mua’dalah (penghantaran pelajar) antara Universiti Al Azahar dan Yayasan Islam Kelantan.

Dii Maktab Tansit
Dii Maktab Tansit
 
 

Usai pertemuan dan perbincangan kami di bawa ke dewan makan. Seperti biasa hidangan arab ialah syai (teh) dan biskut snek.

 

Sambil berjalan ustaz bersuara bertanya pada saya. Suara keramat, menikam kalbu dan meluruhkan jantung hatiku.

 

“Enta ambil gambar ana dengan Dr Umar Hasyim tadi?”

 

“Dok ustaz!,” jawab saya lemah berbaur rasa terkilan yang teramat.

 

“ Enta tak liar, banyak lagi kena belajar!” sinis ustaz mengajar.

 

Kontrol, kontrol Nasruddin!. Sedang dalam hati saya mengelegak pada Si Jemin, juru kamera tak bertauliah itu.

 

Saya berpaling pada sahabat saya tadi. Mukanya tersengih-sengih macam kerang busuk.

 

Hampir sebulan saya kena sindir kawan-kawan.

 

“ Enta tak liar, banyak lagi kena belajar!”

 

 

Di pejabat Presiden Al Azhar
Di pejabat Presiden Al Azhar

Nota bawah :

 

* Tidak liar dalam loghat Kelantan merujuk kepada lambat bertindak, tidak pro aktif dan tidak pandai mengambil kesempatan atau peluang.

Ketika menunggu untuk kunjung hormat kepada Omar Hashim (Presiden Al Azhar) kami mengikut Ustaz ke pejabat Maktab Tansit. Di situlah proses terakhir keputusan peperiksaan Universiti Al Azhar dilakukan.

 

Peluang bertemu dengan kakitangan di situ ustaz ambil untuk mendapatkan nombor faksmili Al Azhar. Walaup anetdot ini kecil tapi ia tetap menyimpan kenangan kepada saya. Kami bertiga. Aziz (YDP KPKM) dan Hussaini (Setiausaha).

 

“Tengok, saya boleh nombor faks Al Azhar,” Ustaz mula bersuara agak tinggi.

 

Sambungnya lagi, “ Menasabah tiap kali saya minta, kamu bagi alasan Azhar tidak ada faks!”

 

“Sebesar Al Azhar tak ada mesin faks??”

 

Saya mula perasan muka Aziz sudah bertukar merah. Sabar Jit! Sabar.

 

Kepala saya berputar untuk mencari jawapan. Memang kami berusaha untuk mencari nombor faksmili Al Azhar termasuk pihak kedutaaan dan PMRAM, tapi gagal.

 

Setelah mengambil masa yang agak lama dan sesuai saya bersuara,

 

“Ini pertama kali kami boleh masuk di sini ustaz.”

 

“Jangan harap pelajar boleh datang ke sini, nampak muka saja sudah dihalau!”

 

Saya tidak pasti Ustaz faham atau tidak mesej saya. Dia sekadar diam.

 

Tapi terfikir jugak mengapa kami tidak berusaha mencari nombor faks Al Azhar melalui sumber lain? Macamanalah nak berjuang kalau perkara seremeh itu tak dapat diselesaikan.

Misi yang dibawa oleh Ustaz Yahya Othaman memang hebat. Saya hanya mendengar cerita daripada sahabat yang turut serta dalam misi untuk memperkenalkan Maahad Dakwah wal Imamah (MDI), sekali gus mengajukan permohonan universiti berkembar Al Azhar dan MDI.

 Antara cadangan yang dikemukakan dalam proposal kepada pihak berkenaan ialah pelajar yang menamatkan pengajian 2 tahun di MDI Kelantan layak menyambung pengajian di Al Azhar.

Perbincangan di Kuliah Dirasat Islamiah berjalan sehingga pihak pegawai kuliah menimbulkan pertanyaan keramat (soalan maut?) mengapa beberapa mata pelajaran tidak dimasukkan dalam kurikulum yang diajar di MDI. Lantas ustaz Yahya bertanya mata pelajaran mana yang dimaksudkan. Pengawai berkenaan merujuk kepada mata pelajaran Aqidah dan Falsafah.

Ustaz Yahya bertanyakan kembali, “Pada tahap mana matapelajaran tersebut diajar?”

Jawab mereka, “tahun ketiga.”

Lalu dibalas oleh ustaz, “apa perlu diajar di Mahaad Dakwah kerana pelajar akan berada di Al Azhar di tahun 3.

“Anak-anak saya akan belajar semua itu di sini.”

Semua pegawai terdiam dan misi berjaya!

SABOTAJ

Pada tahun yang lain ketika kunjungan Ustaz Yahya Othman ke Mesir kami mengurus dan mengatur pertemuan dengan pihak yang berkenaan sebagaimana yang diarah pihak kerajaan negeri. Ketika itu saya memangku jawatan Setiausaha Keluarga Pelajar-pejalar Kelantan Mesir (KPKM). Tentu sahaja rombongan adalah rasmi dari pihak kerajaan negeri, kami  merujuk kepada pihak kedutaan Malaysia di Kaherah. Salah satu desitinasi ialah Majlis Pendidikan Tinggi Mesir (MPTM). Lantaran kami belum mengenali lokasi pejabat MPTM, saya maklumkan masalah itu kepada pihak kedutaan. Persetujuan diberi bahawa mereka akan menjemput kami di Asrama Kelantan. Pada hari yang ditetapkan sebagaimana dijanjikan, kami menunggu di Rumah Kelantan. Menunggu, namun pihak kedutaan tidak muncul.  Masa semakin suntuk, pihak kedutaan tidak sampai dan gagal dihubungi. Saya mula berpeluh gelisah. Ustaz Yahya memutuskan kita bertolak ke kedutaan. Kesesakan jalanraya di bandaraya Kaherah yang penduduknya 20 juta itu menyebabkan masa kami berlalu di atas kubri (fly over). Sampai di kedutaan, di Tahrir, kami terus bertemu dengan pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (JPM). Beliau berberapa kali melahirkan rasa terkilan dengan atas apa yang berlaku sambil tidak mengakui bahawa itu kesilapan daripada pihak JPM. Saya sebagai orang yang bertanggung jawab menyatakan hujjah saya yang tidak mengenali pejabat MPTM. Tetapi sebagai orang atasan mereka tidak akan meletakkan kesilapan atas mereka. Sewaktu makan tengahari di restoran Asrama Kedah ustaz hanya memberi ulasan kepada saya “Sebarang tindakan kita jangan sampai kita disabotaj.”

Suatu kali ustaz Yahya Othman ke Mesir, seperti biasa saya bersama beberapa sahabat bertindak menjemput beliau di International Cairo Airport. Saya terlebih dahulu mengingatkan rakan-rakan, Iskandar dan Husaini tentang sikap ustaz terhadap masa.

“Pergi lewat pun duduk saja juga” kata Hussaini. Lazimnya apabila Ustaz Yahya Othman menjejakkan kaki ke Mesir, paling kurang 1 jam berada dalam airport. Saya jadi akur dengan kata rakan-rakan, lalu tidak bersegera ke Matar Kaherah Ad Dauliyyah .

Tiba masanya kami berada di airport, tanpa disangka ustaz sudah berada di luar! Tentu sahaja kami mengelabah jadinya. Masing-masing tolak menolak untuk berhadapan dengan beliau. Akhirnya saya juga yang kena. Otak ligat mencari idea apakah kalimah yang akan saya keluarkan untuk menyelamatkan keadaan.

“Awal benar keluar sekali ini ustaz, boleh tubik selalu,” saya cuba mengumpan.

“Ya saya juga jadi hairan,” kata ustaz. Alhamdulillah mengena, lega hati kami.

Keesokan harinya ketika sarapan, sebelum menjamah hidangan roti isyh bersama kacang fuul kegemaran ustaz, dia bersuara, “Saya sudah dapat jawapannya, saya buat pasport baru.”

Ketika perjalanan pulang ke tanah air ustaz singgah di Jordan. Sesampainya dia di sana, beliau menelefon kami. “Saya 2 jam ditahan di lapangan terbang Amman.”

Saya mengenali Ustaz Yahya Othman sewaktu mengikuti kelasnya di Institut An Nur (IAN) Jalan Atas Banggol (sekarang sekolah An Nur). Sayangnya institut itu sudah tidak wujud. Walaupun produknya boleh dibilang dengan jari, tetapi terbukti ia mampu melahirkan amalin yang bersetia untuk jamaah Islam. Walaupun saya tidak menamatkan pengajian di situ (atas faktor tertentu) tetapi pertama kali mendengar muhaadharah Us Ya, mengesahkan kepada saya beliau sememangnya seorang yang berprinsip, tegas dan berterus terang. Kawan, Faiz yang saya ceritakan dalam Road To Nile Valley ketika itu menyimpan rambut agak panjang. Tetapi rambutnya tidaklah terlalu terikut ala setan Metalica atau Deep Purple yang menjadi kegilaan remaja ketika itu. Ustaz hanya menyampaikan info bahawa di Mesir ramai pelajar yang menyimpan rambut sehingga melepasi paras pinggang! Selepas itu Faiz dan saya tidak lagi muncul-muncul di IAN. Namun peribadi bukan itu yang menjadi sebab saya tidak meneruskan pengajian berkonsep kursus di IAN. Saya berdepan dengan masalah yang berkait dengan pihak yang mengurusan pemergian saya ke Perlembahan Nil.Dalam ruangan Ustaz Yahya Yang KuKenali ini, saya lebih memokuskan kepada pengalaman peribadi saya dan sahabat-sahabat bersama ustaz yang cukup mencabar, mengesankan, penuh hikmah, pengajaran yang tak ternilaikan dan kekadang ada humornya. Selamat menghayatinya…