drhata1

“Masa ini adalah suasana terbaik dan selesa untuk kita mengambilalih kerajaan, terutama dalam keadaan parti Umno yang berada dalam serba kegawatan.

“Kita tidak berhenti daripada meneruskan matlamat dan usaha untuk menumbangkan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional sekarang.

“Walaupun 16 September telah lama berlalu, usaha-usaha tersebut masih berterusan sehingga ke pilihanraya akan datang,” demikian ucap Dr Hatta Ramli, Bendahari Agung Parti Islam SeMalyasia (PAS) sewaktu menyampaikan taklimat dan penerangan isu tertutup kepada pimpian PAS Kawasan Kota Bharu dekat sini.

Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menegaskan bahawa kerja-kerja menambah daftar pemilih dan pemutihan daftar pemilih adalah sebahagian daripada usaha PAS untuk menumbangkan kerajaan BN.

” Pada masa yang sama BN bekerja dan bertungkus lumus untuk mengekalkan kuasa mereka dengan cara apa sekalipun samada melalui kekerasan atau pun menggunakan kuasa wang yang ada pada mereka.

“Mereka cuba untuk menafi dan menutup kegawatan ekonomi yang turut dialami oleh negara, sedang negara seperti Amerika boleh bergabung antara parti Demokrat dan Republikan demi untuk menyelamatkan ekonomi negara mereka,” katanya.

Menyentuh tentang gabungan Pakatan Rakyat, Dr Ramli menyatakan bahawa pakatan tersebut cukup akrab dan konsisten dalam misi untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang.

” 5 negeri yang dikuasai oleh pembangkang adalah justifikasi dan simbol kepada kombinasi yang utuh, akrab dan toleran, meskipun satu-satu parti dominan di antara 5 negeri tersebut, kami boleh saling bekerjasama.

“Siapa sangka DAP yang dilabel sebagai parti chauvinis boleh menerima Menteri Besar daripada PAS di Perak,” katanya.

Ujarnya lagi dalam satu-satu isu walaupun kelihatan kontra, kami mengambil pendekatan dan falsafah tidak sampai membakar kelambu.

Turut berucap dalam majlis yang diadakan di Dewan Zulkifli Pejabat Perhubungan PAS Kelantan itu ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Dato Hj Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Hj Che Abdullah bin Mat Nawi selaku Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.

Advertisement