Kadang-kadang saya dipanggil Pegawai Khas (PK). Terkadang pula digelar PA (Pembantu Am). Pada masa yang lain mereka menyebut setiausaha, termasuk setiausaha politik kepada bos saya. Saya tak kisah, lantaklah nak panggil apa pun. Gelaran muluk-muluk hanya sekadar menyedapkan halwa telinga yang akhirnya tetap sirna dimamah buana!

Pegawai Khas adalah jawatan yang termaktub dalam perjanjian profesyen saya. Sebagai Pegawai Khas (PK), tugas-tugas banyak dibantu dan dijalankan oleh Pembantu Am Puan Nik Norma yang lebih mesra panggilan Kak Ma.

Saya membantu bos saya dalam aspek berkaitan dengan potfolio beliau, kerajaan tempatan, pelancongan dan kebudayaan.

Kerajaan tempatan menuntut saya banyak berhubung dengan majlis perbandaran dan majlis daerah. Manakala dalam pelancongan dan kebudayaan saya banyak berurusan dengan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC).

Cuma saya akan jadi kenalin (gabra) kalau-kalau bos minta saya menggantikan beliau untuk acara rasmi yang besar. Setakat ini alhamdulillah saya selamat.. Bukan saya tidak mampu untuk berucap atau memalu gong gimik pelancaran, tetapi saya tidak berminat bila nama saya disebut-sebut dan keluar akhbar! Apalah ada pada sebuah nama. Populariti? Kemasyhuran? Lainlah kalau saya punya cita-cita siasi yang merabung langit. Hehehe. Takut cari glamour orang kata nak jadi tok wakil pulak!

Kalau ada pun saya beberapa kali menggantikan beliau untuk program Ladang Rakyat yang lebih bersifat lokaliti yang juga sepatutnya diambil alih peranan oleh pegawai khas ADUN Bunut Payong di pejabat DUN.

Kadang-kadang memang saya merasakan saya seperti benar-benar pembantu peribadi beliau, terutama ketika mengikuti majlis-majlis rasmi. Kendatipun, sumpah!!! saya tidak pernah mengambil tahu urusan kehidupan peribadi beliau, biar pun ada masanya bos saya bercakap dengan saya seolah-olah saya tahu serba serbi tentang dia. Huhuhu!

Sudah beberapa kali saya membuat ucapan untuk beliau. Selalunya beliau tidak membacakan sepenuhnya teks bikinan saya, bahkan satu pun tak diambilnya, tapi yang pasti beliau memetik ayat Al Quran atau Hadis yang saya sediakan. Saya bertanggung jawab memastikan persiapan berjalan lancar, siapa yang akan hadir, bagaimana agenda program, apa yang seharus dan apa yang tak sewajarnya.

Suatu waktu saya benar-benar belajar dari Dato Taki. Kalau dia minta saya selesaikan suatu urusan yang penting dan bersifat segera, pagi diarah, tengahari terus ditanya (follow up). Sekali lagi alhamdulillah, setakat ini saya tidak gagal dalam melangsaikan tugasan. Paling kurang saya punya jawapan yang boleh memuaskan bos saya. Contohnya “telefon doh, tok angkat!”

Saya tidak menganggap saya adalah setiausaha politik beliau. Pertamanya kerana saya terlalu kerdil dalam ilmu siasah berbanding beliau. Jauh untuk mencorak dan mempengaruhi minda politiknya. Justeru, saya hanya membantu DUN mengatur program beliau bersama rakyatnya di Bunut Payong. Itu saya anggap sebagai membina imej politiknya yang tampak mencakna rakyat. Kematian atau ada orang sakit, saya dan pejabat DUN yang bertanggungjawab memaklumkan. Antara khuluk resam prioriti Nabi adalah melawat orang mati dan menziarah orang sakit.

Ada sumber menyebut saya seperti kebisingan (tak puas hati?) bila bos saya tidak dilantik semula sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan. MasyaALah!!! Saya tidak pasti dari mana sumber itu dan saya tidak berminat untuk mencari puncanya. Lebih baik diam dan akur dengan cakap-cakap orang. Formula saya, lama-lama ia kan hilang. Sebagaimana molekul kabus yang akan luput diserap rawi, maharaja siang.

Mungkinkah ia kesan daripada tulisan saya dalam blog interaktifbp.blogspot.com yang postingnya bertajuk Tidak Dikekalkan. Salahkan saya melaporkan suatu fakta yang benar. Biarlah… saya perlu memaghlikan diri dengan cakap kalam begitu.

Rupanya zaman sekarang berterus terang bukan bermakna boleh membuat semua orang akur dan faham. Tapi saya akan terus dengan prinsip saya. Berterus terang dan terus berterus terang kerana saya yakin berselindung, celika, menyembunyi kelak akan menyerlahkan sikap hipokrit dan tidak ikhlas. Kalau nak diambil kira tahap kebisingan tidak puashati dengan keputusan Muktamar Agung lalu, rasanya frekuansinya lebih tinggi!! Cukup!!! Enoungh is enough!! Nanti saya dicap pula pendokong perpaduan! Hahaha!

Ya. Atas kapasiti saya sebagai Pegawai Khas kepada seorang exco kerajaan negeri, tentu sahaja saya bertanggungjawab untuk mengurangkan beban bos saya. Apa boleh diselesaikan sendiri, akmal sahaja tanpa merujuk kepada beliau. Jika ditegur, saya anggap mengajar. Kalau diam mungkin tandanya redha… Hendak berlebih tidak sekali…

Saya meletakkan matlamat agam saya berkerja untuk ad din dan demi Tuhan. Dengan cara itu saya menghindarkan diri berkerja semata untuk manusia. Tiada apa nilai keringat, hasil kerja saya di sisi Allah jika nawaitu saya tersasar dan menyekutu.

Kalau pun saya membantu manusia, matlamatnya kerana Allah Taala. Bukankah itu dituntut syariat. Lantas kerja saya menyalin jadi satu pengabdian kepada Al Khaliq (ubudiyyah) yang mutlak kepada Sang Ilahi.

Seandainya ketua saya melakukan kesalahan dan kesilapan, apakah perlu saya menyiakannya atau sekadar menutupinya. Tidak!!! Kerana jika saya memilih tariq itu, maka saya melalui jalan dosa dan mendorong saya ke neraka. Wa nau’zubillah min zalik!

Saya ada lagak pendekatan sendiri yang tidak perlu saya war warkan kepada khalayak. Saya tidak mahu menjadi manusia assobiyah yang menyebabkan saya jadi bolor dan penasaran. Benar kata sabdaan Baginda mafhumnya

“Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Anda perasan dengan entri saya kali ini? Sebenarnya saya sedang menekuni novel (novel pertama yang saya baca tahun ini) Mengintai Cinta Khalifah karya A. Ubaidillah Alias, rakan junior saya yang akan berkhidmat di PKINK awal Ogos ini. Sesekali bersastera terasa gurih juga.

Advertisement