Ketika KB Mall mula-mula dibuka, saya tidak teruja pun untuk menjejakkan kaki ke situ walau pun lokasinya hanya lebih kurang 1 kilometer daripada rumah saya. Waktu itu hampir hari raya Aidul Fitri. Entahlah, selalunya saya jarang masuk pasaraya besar setiap kali musim perayaan. Hati saya tersentuh melihat umat Islam berasak-asak memenuhi pasaraya yang untungnya bukan kembali kepada umat Islam. Ramadhan dan terawikh makin dilupakan.

Sewaktu pilihanraya KB Mall menjadi bahan kempen yang memberi dalil bahawa Kelantan tidak mundur dengan kewujudan pasaraya besar. Ya, KB Mall adalah ikon kemajuan Kota Bharu bandaraya Islam.

Dalam program-program parti ada juga kadang-kadng ditimbulkan masalah sosial di pasaraya-pasaraya. Ia tidaklah menjadi isu utama, sekadar menjadi contoh dan tempelan kepada ucapan yang bergegaran. Tindakannya?

Petang semalam bertalu-talu telefon selular menerima mesej “Gempar! KB Mall Runtuh” “ KB Mall Runtuh, ramai mati” “Betul ke KB Mall Runtuh” Itu antara mesej yang diterima.

Saya ketika itu berada di Pejabat DUN Bunut Payong yang berada kira-kira 2 kilometer dari KB Mall. Saya, Shaari (SU DUN) dan Firdaus bergegas ke sana. Di Persimpangan Telipot kereta sudah sesak. Kami mengambil keputusan untuk cuba masuk melalui belakang klinik Hydar Kamal. Parking di situ.

Orang ramai memenuhi persimpangan Wakaf Siku yang menempatkan KB Mall. Kami meluru ke ruang depan mall itu. Tutup. Ketika itu pelbagai versi cerita timbul. Yang pasti KB Mall tak runtuh! Permulaannya.. Alhamdulillah..

Kami mencuba menggunakan laluan parking bawah. Kami dapat menerobos masuk sampai ke tingkat 1. Kereta yang remuk itu masih berada di atas tangga eskulator. Versi tak rasmi menyebut ada orang lagi di dalam. Wallhua’lam..

Ada pihak yang mengajak kami naik ke tingkat atas. Katanya ada mayat yang terlibat dengan kemalangan tragis itu ada di atas sana. Kami buat keputusan tidak naik. Lagi pun lif telah ditutup. Maknanya kena menapak ke tingkat 3..

Sebelum beredar pulang saya mengetik telefon memberi maklumat ringkas kepada bos. Selalunya jika berita gempar seperti itu dia pantas membalas, tapi tidak kali ini. Mungkin ada sumber yang lebih pantas daripada saya.

Apa yang berlaku pasti ada pengiktibarannya. Kita tinggalkan kenapa dan punca kereta itu boleh merempuh dan menjunam ke aras lantai KB Mall. Saudara sudah maklum melalui maklumat lain.

Anak sepupu saya Nabil (anak Dato’ Mufti kerajaan Kelantan) berniaga alatan komputer di KB Mall. Dia pernah mengeluh pada saya betapa lalainya berada di KB Mall. Azan memang tidak kedengaran. Solat pun dalam keadaan bergegas dan tergesa-gesa kerana tuntutan bisnes.

Kita boleh gambarkan sendiri setiap hari bagaimana keadaan sosial di situ. Muzik berkumandang tidak berhenti (non stop). Saya tak pasti setakat mana arahan pihak berkuasa tempatan supaya muzik dihentikan setiap kali masuk waktu solat. Fesyen dan gaya remaja tak usah ceritalah. Tahan sikit daripada berada di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Setiap kali tumbuhnya pusat komersial kita bersorak, bersohor kerana Kelantan semakin maju, tetapi kemajuan sosial kita seperti memerhatikan sahaja, habis dengan mengeluh. Kemudian menyalahkan kerajaan, jabatan agama dan halaqat. Mengutuk program TV, majalah-majalah hiburan dan sebagainya.

Kita tidak nafi bahawa ada usaha-usaha dan program-program untuk mereka. Tetapi pada saya program itu kadang-kadang seperti kita jadi syok sendiri, bila selesai dan berjaya dilaksana.

Kita masih gagal mendekati mereka hingga ke akar umbi. Melayani citra dan kehendak mereka. Berada di dunia mereka dan perlu fahami kecenderungan dan minat mereka. Kemudian, pendekatan makna yang boleh kita gunakan untuk bersama mereka dengan kaedah yang lebih semasa, kontemporari dan up to date. Tak salah saya rasa kita tampilkan gaya hip hop, indie hatta kepada shuffer dan I dance. Kita ubah suailah mengikut cara yang kita hendaki. Tujuannya utuk tarik perhatian mereka. Maaf cakap, jangan harap dengan sekadar menghidangkan istilah-istilah seperti hiburan alternatif, kesenian Islam dan macam-macam lagi mereka akan datang.

Sekadar itu pandangan ringkas saya. Saya sedang merancang untuk aktiviti di pusat-pusat dangan melalui plotform Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Doakan ia kesampaian dan berkesan.

Nasib baiklah berita KB Mall runtuh tidak benar. Kalau tidak Umno boleh sambung isu lagi. Dok kato ko Terengganu…Kota Bharu pun runtuh juga!!

Advertisement