Latest Entries »

BuLaTaN GeMbIrA

LOGO BAJU BG

Tanggungjawab membina manusia. Bina manusia? Ya! Bina, bukan cipta. Yalah kata cipta pun tak apa. Cipta watak, cipta karektor, cipta masa depan. Cipta mereka agar punya cita-cita dan matlamat yang lurus. Matlamat kehidupan seorang manusia yang selamanya bergelar hamba.

Aku tidak pasti sudah berapa ramai manusia aku bina lewat lingkaran bulatan. Samada bulatan itu besar atau kecil. Besar bukan bererti bapa, kecil bukan semestinya anak. Apa kaitan pulak bapa dan anak ni. Ada. Ada kaitan sikit sebanyak. Boleh jadi aku ini bapa dan mereka itu adalah anak. Huhu.

Suatu ketika aku hampir membina satu empayar besar Bulatan Gembira. Tetapi benar juga, membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata. Ceh! macam pernah ku dengar slogan ni. Di mana ya? Ada aku kesah..

Aku bina dengan berpaksi pada dasar dn prinsip. Kalau prinsip dan dasar itu gagal dipertahankan, lebih baik aku berundur. Berundur bukan bererti kalah tau! Mungkin setengah orang menganggap aku tak kuat. Lantaklah korang nak anggap apa sebab kamu ada prinsip, aku pun ada prinsip. Boleh jadi aku boleh ubah prinsip aku kerana prinsip bukannya dasar, tapi aku berhak pertahan prinsip aku. Apa aku cakap ni..demo faham ko Asim?

Ya. Membina manusia bukan seperti membina bangunan. Walaupun cabaran masing-masing tetap ada tetapi mehnahnya berbeza. Kalau ada orang seperti Habib sukakan cabaran dengan aktiviti luar pintu (outdoor la tu), aku pun boleh jadi gemar dengan cabaran bina manusia. Tapikan buat rumah lain, buat manusia lain. Ehem..tahniah la NazFaiz demo akan lalui proses buat manusia. Baarakallahu lakuma..lala~

Zaman sekarang juga perlu pendekatan yang berbeza. Saya suka melihat perkembangan semasa dan mengaplikasikan ia dalam membina Bulatan Gembira. Kita sebagai manusia hanya melihat pada sisi dan posisi kita. Mahu bina manusia baru perlu lihat kepada citra dan kecenderungan manusia baru. Sesekali jelmakan diri anda sebahagian daripada mereka. Memang berbelit topik aku nih. Ooo gitu..Kau ada Fauwaz?

Dunia hari dunia terbuka. Apa yang disebut sebagai globalisasi, broadless world, dunia tanpa sempadan, segalanya dihujung jari anda..semua-semualah Helmi hoi!. Jadi, jangan sempitkan minda dan fikiran anda. Dengki boleh, tapi dalam 2 perkara yang dibenar Nabi. Bersaing boleh, tapi jangan sampai nak guna santau, sihir segala. Itu syirik la bodo. Hati dan lidah perlu dijaga kerana dua organ kambing inilah yang diberi Lokmanul Hakim kepada seorang wanita bila berbicara tentang baik dan jahat. Nak tau cerita dia, korang cari sendirilah dengan hujung jari korang. Ustaz google kan ada. Aku ustaz rocker. Heheh

Apa itu bulatan? Bulatan adalah rangkaian manusia yang duduk, lalu membentuk suatu bulatan.

Kenapa gembira? Gembira kerana berjumpa, berbincang dan merancang untuk kegembiraan dunia dan membawa kepada kegembiraan abadi di akhirat.

Akhirnya ciptaan dan binaan ini kelak saya lontarkan untuk mereka berada di medan…

Untong laa..Ok fine..Sekian siri 1 Bulatan Gembira

خاطب الناس على قدر عقولهم

We do too little dakwah, too little tarbiah and too much jahiliyyah. Yet we except to enter Jannah!

خاطب الناس على قدر عقولهم
We do too little dakwah, too little tarbiah and too much jahiliyyah. Yet we except to enter Jannah!

Filem Pendek HAK KITA

Filem pendek HAK KITA meluahkan sebahagian daripada rintihan rakyat Kelantan yang hak ROYALTI minyak hasil perut bumi meraka yang dizalimi dan dinafikan.

Filem pendek ini adalah hasil kreativiti dan inovasi anak muda yang perihatin terhadap anak bangsa mereka sendiri.

Filem pendek ini dihasilkan tanpa melibatkan sebarang kos. Krew hanya disedikan nasi bungkus!!

Peralatan adalah hak milik Media Baru PAS Kelantan yang juga diusahakan kelengkapannya oleh beberapa individu yang sentiasa bersedia berkorban untuk jemaah!!

Sejarah Qasidah Burdah

Qasidah Burdah dikarang oleh Imam al-Busiri yang dilahirkan pada tahun 610 Hijrah (1213 Masehi) dan meninggal dunia pada tahun 695 Hijrah (1296 Masehi). Beliau telah diasuh oleh ayahandanya sendiri dalam mempelajari al-Quran dan ilmu pengetahuan yang lain. Untuk memperdalamkan lagi ilmu agama dan kesusasteraan Arab, Imam al-Busiri lalu berhijrah ke Kaherah. Di Kaherah, Imam al-Busiri menjadi seorang sasterawan dan penyair yang ulung. Kemahirannya didalam bidang syair mengatasi para penyair lain dizamannya. Karya-karya kaligrafinya juga terkenal dengan keindahannya. Gurunya yang paling utama ialah Abdul Abbas al-Mursi yang merupakan anak murid kepada pengasas tariqat Shazili iaitu Imam Abul Hasan as-Shazili.

Manuskrip burdah yang masih tersimpan

Qasidah Burdah mengandungi 160 bait yang ditulis dengan gaya bahasa atau uslub yang menarik, lembut dan elegan. Imam al-Busiri menterjemahkan kehidupan Nabi Muhammad saw kedalam bentuk bait-bait puisi yang sangat indah. Dengan bahasa yang sebegitu indah, Imam al-Busiri telah berhasil menanamkan kecintaan dan kasihnya umat Islam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dengan lebih mendalam. Selain dari rasa kecintaan dan kasih yang mendalam terhadap Nabi saw, nilai-nilai sastera, sejarah dan moral turut terkandung dalam qasidah tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah apabila qasidah ini sentiasa sahaja dibaca di institusi-institusi pengajian tradisional malah qasidah ini turut diajar di Universiti al-Azhar, Mesir.

Imam al-Busiri hidup dalam zaman transisi atau perpindahan kuasa dinasti Ayyubiyyah kepada dinastik Mamalik Bahriyah. Pada ketika itu, pergolakan politik semakin gawat, akhlak masyarakat merosot dan para pemerintah terlalu mengejar kemewahan. Maka dalam suasana serba kekalutan itu, muncullah Qasidah yang dikarang oleh Imam al-Busiri yang seakan-akan mengajak manusia kembali mencontohi kehdupan Nabi saw yang berasaskan uswatun hasanah yakni suri tauladan yang baik, mengawal hawa nafsu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang berasaskan al-Quran dan Hadith.

Burdah yang menjadi tema utama dalam karya al-Busiri itu adalah merujuk kepada jubah yang dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Burdah milik Nabi Muhammad saw ini telah diberikan kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma, seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam). Riwayat pemberian burdah oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab bin Zuhair bermula apabila Ka’ab sentiasa menggubah syair yang mengejek-ejek Nabi saw dan para sahabat. Kerana rasa jiwanya terancam, ia lari bersembunyi untuk melindungi diri dari kemarahan para sahabat. Ketika terjadi penaklukan Makkah, saudara Ka’ab yang bernama Bujair bin Zuhair mengutus surat kepadanya yang isinya antara lain menganjurkan Ka’ab agar pulang bertaubat dan berjumpa Rasulullah saw.

Setelah memahami isi surat itu, Ka’ab pun pulang ke rumah dan bertaubat. Ka’ab lalu berangkat menuju ke Madinah. Menerusi Abu Bakar as-Siddiq, Ka’ab menyerahkan diri kepada Rasulullah saw. Ka’ab mendapat penghormatan yang tinggi dari Rasulullah saw sehinggalah baginda melepaskan burdahnya dan diberikan kepada Ka’ab. Ka’ab kemudiannya menggubah sebuah qasidah yang dikenali dengan nama Qasidah Burdah. Qasidah ini ditulis dengan indah oleh seorang ahli kaligrafi, Hasyim Muhammad al-Baghdadi didalam kitab kaligrafinya yang berjudul Qawaid al-Khat al-Arabi. Burdah yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab kemudiannya menjadi milik keluarga Ka’ab sehinggalah ia dibeli oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dengan harga dua puluh ribu dirham. Burdah itu kemudiannya dibeli pula oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur dari dinasti Abbasiyyah dengan harga empat puluh ribu dirham. Burdah itu seterusnya dipakai pada setiap kali solat hari raya oleh khalifah dan kemudiannya menjadi tradisi turun-temurun.

Manuskrip qasidah burdah yang ditulis tangan

Diringkaskan sehingga bagaimana Qasida Burdah ini menjadi terkenal bermula apabila Imam al-Busiri tiba-tiba jatuh sakit dan diserang penyakit Syalal (lumpuh). Mengikut catatan ahli tarikh, beliau lumpuh separuh badan. Tabib-tabib yang terkemuka gagal mengubat penyakitnya. Dalam keadaan kesakitan dan tidak berdaya, Imam al-Busiri mengarang qasidah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad saw. Qasidah-qasidah ini disusun dengan begitu indah dan diulang-ulang oleh Imam al-Busiri. Kemuncaknya,pada satu malam ketika Imam al-Busiri tertidur, beliau bermimpi melagukan qasidah-qasidah yang dikarangnya di hadapan Baginda Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw dalam mimpi tersebut begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut, lantas baginda mengusap muka Imam al-Busiri dengan kedua-dua tangan baginda yang mulia. Rasulullah saw turut menyentuh bahagian tubuh Imam al-Busiri yang lumpuh dan memakaikan Imam al-Busiri dengan burdah baginda.

Sebaik sahaja tersedar dari mimpi tersebut, Imam al-Busiri mendapati beliau tidak lagi lumpuh! Imam al-Busiri dengan segera keluar dari tempatnya untuk menceritakan kisahnya kepada orang lain. Beliau bertembung dengan seorang pemuda yang bertanya kepadanya, “Syeikh, bawakan kepadaku qasidah-qasidah yang telah kau karang tentang Nabi SAW.” Terkejut dengan permintaan pemuda tersebut, Imam al-Busiri bertanya, “Dimanakah anda mengetahui tentang qasidah yang kukarang? Aku tidak pernah menceritakannya mahupun melagukannya kepada sesiapapun!!” Jawab pemuda tersebut,

“Aku bermimpi malam tadi bahawa Nabi SAW didendangkan dengan qasidah-qasidah yang cukup indah yang memuji baginda. Aku lihat baginda begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut dan memakaikan pakaian baginda (burdah) kepada orang yang melagukan qasidah tersebut…Dan aku melihatmu dalam mimpiku!”

Sejak saat tersebut, Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam al-Busiri menjadi masyhur. Anak-anak Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya dan menjadi nasyid harian. Malahan ramai di antara ‘ulama Islam seperti Ibnu Hajar Haithami yang menganggap harus untuk mempelajari qasidah ini bagi penuntut-penuntut ilmu Islam bagi memupuk kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Selain dari Qasidah Burdah, sebuah lagi qasidah yang sangat terkenal yang dikarang oleh Imam al-Busiri ialah Qsidah Mudariyya.

*artikel ini dioleh semula oleh Hafizul Hazman Bin Ngaa, Exco Informasi dan Penerbitan Persatuan Mahasiswa Islam UPM. Beliau merupakan mahasiswa jurusan Bachelor Perniagaantani dan Pertanian, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia.

Written by Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir
Isnin, 02 Apr 2012 14:03

 


(Para peserta tekun menulis khat di Kota Bharu)

KOTA BHARU, 2 April: Karnival Khat  berjaya dicatatkan dalam Malaysian Book of Rekords apabila seramai 604 Huffaz telah berjaya menulis 604 muka surat al-Quran melalui tulisan khat terpantas selama sejam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, mewakili pihak berkenaan menyampaikan sijil tersebut kepada Yang Dipertua Alumni Maahad Muhammadi, Ustaz Muhammad Yunan.

Seramai 604 orang peserta yang terdiri dari pelajar Maahad Muhammadi Lelaki, Perempuan dan sekolah-sekolah tahfiz di Kelantan mengikuti program berkenaan yang bermula kira-kira 11.00 pagi.
(Datuk Takiyudin menulis khat sebagai gimik perasmian)

 

Karnival itu diadakan sempena sambutan Jubli Intan Maahad Muhammadi dan Tahun Melawat Kelantan (TMK@2012).

Datuk Takiyuddin telah merasmikan program yang diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan itu.

Sebagai tanda majlis perasmian, beliau menulis ‘bismillahirrahmanirrahim’ juga teknik tulisan khat.

Takiyuddin ketika berucap merasmikan Seminar Seni Khat Kebangsaan (Seminar Haji Wan Solleh Fathi) berkata, seni khat warisan bangsa yang semakin pupus perlu digilap sentiasa agar ianya tidak hilang lenyap dek masa.

Menurutnya,  kerajaan Kelantan akan mempertahankan seni khat ini melalui latihan, seminar dan kursus kepada pelajar di sekolah masing-masing.

“Hasil tulisan khat ini akan ditempatkan di Muzium Islam, berhampiran Masjid Muhammadi,”ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga mengutamakan tulisan jawi.

Tambahnya, kerana itu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mempunyai unit tulisan jawi sendiri bagi memperbetulkan ejaan iklan yang dipohon melalui perlesenan.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohd Yusof Abu Bakar.

Seminar berkenaan diambil bersempena Haji Wan Solleh merupakan guru pertama seni khat Maahad Muhammadi (1940-1949).

Sementara itu, peserta dari Selangor Abdul Baki Abu Bakar memenangi hadiah RM3,000 setelah mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis tulisan khat.

Tempat kedua RM2,000 disandang Mohd Fadhil juga dari Selangor, ketiga Mohd Zulfitri Mohd Sabri juga dari Selangor untuk kategori dewasa.

Manakala kategori remaja tempat pertama Mohd Yaziz Shamsuddin dari Terengganu mendapat wang tunai RM1,500, kedua, RM1,000 Mohd Nazri Mohd Rashid dari Selangor dan tempat ketiga RM500 dimenangi Mohd Afifuddin Sabri, RM500.

Tiga hadiah saguhati kategori dewasa mendapat RM400, manakala remaja RM200.

Biarkan Saya Bersedeqah

 وعن أبي ذر – رضي الله عنه – قال : سألت النبي – عليه الصلاة والسلام – : أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ، وجهاد في سبيله. قال : قلت : فأي الرقاب أفضل ؟ قال : أغلاها ثمنا وأنفسها عند  أهلها .قلت : فإن لم أفعل ؟ قال : تعين صانعا أو تصنع لأخرق . قلت : فإن لم أفعل ؟ قال : تدع الناس من الشر ; فإنها صدقة تصدق بها على نفسك – متفق عليه 

Daripada Abi Zar radiallahuanhu “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Iman kepada Allah dan berjihad di jalanNya.” Aku bertanya lagi, “Memerdekakan hamba mana yang paling utama?” Nabi menjawab, “Hamba yang paling berharga dan paling mahal di sisi pemiliknya.” Saya bertanya lagi, “Jika saya tidak mampu melakukannya?” Nabi menjawab, “Kamu membantu seorang pekerja atau membuatkan orang yang tidak dapat bekerja.” Saya berkata, “Wahai Rasulullah, jika saya tidak mampu melakukannya?” Nabi menjawab, “Kamu meninggalkanberbuat jahat kepada orang lain, maka itu merupakan sedekah kamu atas dirimu.”

Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah yang mengurniakan kepada saya dengan apa yang ada hari ini. Saya tidak terlalu mengharapkan lebih dari ini. Jika Allah beri dan tambah, saya bersyukur. Sekira Dia menahan sesungguhnya itu adalah hak Dia.

Sewaktu saya tamat belajar, hampir setahun saya menganggur, sedang saya sudah punyai seorang anak. Subhanallah! “Setiap ucapan Tasbih SEDEQAH.” Dengan sepenuh ketentuanNya saya mampu untuk hidup (survival).

Saya tidak meminta-minta, tetapi rezeki Allah, jika ia datang siapa yang mampu menyeka. Walaupun ketika di luar negara saya pernah menjawat Yang Dipertua persatuan pelajar Kelantan dan biasa berurusan dengan pimpinan negeri, saya tidak ambil peluang jadikan ia passport untuk saya peroleh jawatan.

Ada sekali secara langsung ke sebuah sekolah mengusung sijil, kalau-kalau mendapat simpati dan rezeki. Itu pun kerana mentaati desakan ibu saya. Bukankah memenuhi kehendak ibu sebesar-besar SEDEQAH. Tidak berbekal keyakinan saya pergi dalam keadaan saya tidak kenal siapa-siapa pun di sekolah yang jaraknya kurang lebih 4 kilometer dari rumah orang tua saya.

Kerana tiada keyakinan itulah saya menapak keluar dari sekolah itu dengan tiada apa yang berpihak kepada saya kecuali pahala SEDEQAH senyuman semanis kurma. Sekolah itulah yang hari ini warganya banyak meletakkan harapan dengan jawatan saya hari ini saya boleh membantu sekolah. Di situ saya nekad tidak lagi akan mengguna modus operandi saya sama ke sekolah lain.

Saya bermula berkhidmat di Yayasan Islam Kelantan (YIK) secara kebetulan berjumpa dengan seorang rakan yang menjadi mudir di sekolahnya. Kebetulan pula masa itu beliau kekurangan 3 orang guru. Ketika itu saya baru saja 2 hari bertugas di SMJK Chung Hua Kota Bharu sebagai guru ganti. Saya sambut pelawaan dan mencadangkan isteri saya yang ketika itu bekerja di sekolah rendah swasta di Kuala Lumpur. Seorang lagi, saya cadangkan seorang rakan yang pernah berjasa menyatukan saya dan isteri saya di Mesir! Bukan niat nak balas jasa itu, tetapi niat SEDEQAH. kebetulan dia juga menganggur seperti saya. Cuma lebih dia, berkepakaran dalam hal ehwal perkomputeran.

Ringkasnya saya dan rakan saya diterima dan isteri saya ditolak. Alhamdulillah wa syukrulillah segala puji bagi Allah. Sabdaan Nabi “Setiap kalimah tahmid itu adalah SEDEQAH” Sepanjang berada di YIK, saya berkhidmat di dua buah sekolah, selama 8 tahun, sebelum dipelawa berada dalam jawatan saya pegang sekarang. Asalnya tiada perancangan langsung untuk meninggalkan YIK meskipun perasaan saya bagi disentap-sentap untuk meninggalkan sekolah terakhir saya kala itu. Kenapa dan mengapa tak perlulah saya khabarkan. Yang berlalu biarkan ia pergi. Kalau diungkit bimbang terguris kembali dan menyentuh peribadi orang lain boleh jadi pula menghakis pahala SEDEQAH saya.

Selepas meninggalkan YIK, selama 5 tahun saya kehilangan anak murid. Terasa juga kerana saban tahun saya bertaaruf dengan ratusan manusia bernama pelajar. Seronok berusrah, bertamrin dan bermukhayyam bersama. Paling gembira bila bekas muris-murid saya itu sekarang sedang bekerja bersama-sama saya. “Dan menyuruh kebaikan serta mencegah kemungkaran itu adalah SEDEQAH” (Al Hadis)

Bila ditanya apakah saya selesa berada di posisi kerjaya saya hari ini. Apa yang disebut sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan. Suatu jawapan yang bukan mudah untuk saya jawab dan ia terlalu subjektif. Tugas ini bukan suatu yang mudah. Terkadang berdepan dengan situasi dilemma, terkadang situasi yang bersimpang, terkadang keliru, terkadang lelah. Manusiakan suka mendedah yang negatif. Positif tak perlu saya senaraikan.

Belum pun saya memahami tugas hakiki saya di Blok 1 Pejabat SUK, saya ditawarkan untuk berada di Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK). Fikiran saya bersimpang dilemma lagi. Tidaklah tahap keliru dan lelah. Situasi ditelan mati kanda, diluah mati abang terkena pada saya. Exco dan Pegawai Sumber Manusia. Kedua-duanya saya kenali agak dekat. Dan kedua mereka pula cukup rapat, rapat yang mengatasi kerapatan saya pada kedua-duanya. Kedua-duanya adalah mithali saya.

Saya menganalisis, mengimbang. Istikahrah dan isytisayrah. Baru berapa bulan di sini, haruskah aku beralih profesyen lagi. Oh! Ya Tuhanku! Dalam serba salah saya mengadap sembah kepadaNya.

Saya memilih untuk kekal dengan sedia ada dengan alasan saya baru mahu bermula di sini. Walaupun saya agak optimis sekiranya saya memilih untuk ke PKINK, exco saya tiada masalah. Saya diberi jaminan-jaminan masa depan berada dalam agensi Kerajaan Negeri itu. Ya, sedang jawatan yang saya sandang ini adalah tidak kekal untuk saya. Saya hanya pegawai bertaraf kontrak yang tiada apa-apa keistimewaan kecuali orang kata saya orang besar yang bersasa kurus. Saya tidak kisah akan itu, kerana saya yakin sebenarnya sebagaimana saya mula memperoleh kerja, ia adalah kerjaan Allah.

تعين صانعا أو تصنع لأخرق

Atas inspirasi hadis di atas, peluang yang ada saya usahakan untuk membantu rakan lain pula. Saya mencadangkan rakan lain berada di situ. Saya yakin juga pada hadis:

الله في عون العبد ما دام العبد في عون أخيه

“Allah membantu hambaNya selama hambaNya membantu saudaranya”

Allahuakbar! Allah mengatur jalannya. Kata Nabi “Setiap Takbir itu adalah SEDEQAH.” Bukankah membantu rakan itu akan memperoleh pahala SEDEQAH yang tidak ternilaikan. Setiap kali rakan-rakan memerlukan khidmat dan tenaga, selalunya saya jadi rujukan kerana saya punya tentera yang boleh dikerah bila-bila masa. Setiap tentera itu saya kenal hati budi, kudrat dan kebolehan mereka. Termasuk juga barangkali mereka mengenal kelemahan dan kedhaifan saya. Selama 8 tahun di sekolah saya membina empayar tentera manusia.

Saya adalah lantikan politik. Saya dilantik oleh orang-orang politik terdiri daripada pimpinan saya. Saya sedar diri siapa yang letak saya di situ. Atas sifat kenallah, saya cuba kenal diri saya, siapa saya tanpa mereka. Sebagai balasannya saya perlu menggunakan peluang yang ada untuk membantu semula pihak yang membantu saya. Pihak itu tentu pihak yang memperjuangkan agama agar ia menjadi suatu negara.

Suatu sisi saya bekerja dengan kerajaan dan pada sisi yang lain saya adalah lantikan politik. Bukan mudah untuk mengimbangi keduanya. Saya perlu ada fiqhu aulawiyyat dan fiqhu muazanaat. Saya perlu memilih proriti dan pertimbangan keduanya. Dan pasti neraca saya lazimnya tercondong kepada jemaah yang saya dokongi. Biarpun saya terikat dengan pelbagai pekeliling dan peraturan penjawat awam, saya tetap mengutamakan jemaah saya. Ketika saya melaksanakan tugas-tugas kerajaan juga, objektif dan misi saya gariskan demi memperkasa jemaah.

Saudara bekerja sehingga jam 5 petang, sedang kami kerja sampai ke lewat malam, terbabas ke dinihari. Balik pukul satu pagi dan sewajibnya berada di pejabat seawal jam 8 pagi. Bukan sekali, sehari dua, bahkan kadang-kadang berturut-turutan hari malam. Penat memang penat, tapi bukankah Nabi mengatakan setiap 360 persendian itu ada padanya sedeqah. Kepenatan itulah yang akan menjamin kedudukan kita di hadapan Yang Maha Esa

أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ، وجهاد في سبيله

Saya tiada alasan atau cari idea buat alasan untuk lari dari perjuangan. Berapa ramai rakan-rakan saya yang sama belajar, sama berorganisasi, sekali berusrah tapi hilang dalam dunia sendiri. Tidak sedih, cuma kadang-kadang terkilan juga. Sebagai menyejuk hati, saya sematkan bahawa masing-masing ada posisi membawa matlamat yang sama. Cara saja yang berbeza. Bukan semua orang tugasnya memimpin bala tentera atau mengusung panji syiar. Kekallah di kedudukan kalian, asal kalian juga sedang berjuang di jalan Allah.

Terimakasih Ustaz Baha yang melorongi saya mengenali Berek 12.

Bila Iblis memain perasaan saya dengan alasan-alasan persis kekangan masa dan pelbagai tuntutan kerja saya akan menjawab kepada Iblis dan bermonolog pada diri saya “Tok Guru Menteri Besar lagi sibuk dari aku!.” Mursyidul Am, Pesuruhjaya Negeri dan Menteri Besar! (sekadar mengambil contoh tiga itu sahaja)

Pun begitu saya tidak dapat dari daripada berdepan dengan karenah. Tolonglah wahai tuan-tuan memahami saya. Janganlah merebut peluang wewenagnya atas diri saya yang maha kerdil ini.

“Ustaz Din, ejas JKR 10 malam ni!!”

“Ustaz, nok baju 100 helai, pisoh lah lagu mana pun dengan bos enta. Lusa nok guno!”

“Oloh! Nok surat ko? Enta ejas la lagu mano pun biar buleh!”

“Ana nok enta gi opis MB, oyak belah-belah mano pun kena jadi!!”

Masyaallah! Pahala SEDEQAH yang hendak dilorongkan pada saya biarlah dengan sepadan dengan keupayaan dan kudrat mampu saya! Saya juga bagaikan fobia apabila dilontar dengan pelbagai kata-kata.

“ Dia orang kemah, ore sedak”

“ Ustaz ore besar lo ni”

والكلمة الطيبة صدقة

“Dan kalimah yang baik itu adalah SEDEQAH”

Masyaalah tabaarakallah!!

Adakah kerja ini penuh dengan kemashyuran. Demi Allah tidak tuan-tuan. Saya minta jauh daripada tanggapan itu. Apa guna kemasyhuran jika ia menghancurkan. Apa guna kedudukan, seandainya kedudukan itu tidak menjamin untuk menghidu haruman syurga.

Apakah dengan memakai kot blazer bertali leher kita sudah asal keturunan makan budu. Adakah kerana bersuit hitam baju kebangsaan pandangan kita mula terdongak ke langit. Adakah dengan baju rasmi istiadat maka kita mula berkarenah birokarasi dengan rakyat marhaen?

Jangan begitu tuan!

Terngiang-ngiang kata syeikh kami, Syeikh Muhammad Nuruddin Al Makky “Setinggi mana pangkat kedudukan kamu, sedarlah bahawa perut kamu sama juga membawa najis yang busuk!!”

Saya tidak pasti nasib saya waktu terdekat ini. Pilihanraya Umum 13 suatu yang pasti mendatang. Apabila dewan dibubarkan maka saya juga akan turut tergugur. Menunggu-nunggu pula nasib diuntung. Seperti awalnya ia sedikitpun tidak menggangu emosi saya. Saya serah tawwakal kepada Allah. Bagaimana tawwakal tanpa usaha?. Itu lain. Hidup saya ini sudah suatu usaha. Selebihnya saya bergantung kepadaNya. Saya yakin jemaah saya tidak mengiya-iyakan saya.

Soalan akhir, apa guna saya ceritakan segala amalan saya yang berkait dengan sedeqah saya. Tidakkan ia akan menghangus dan umpama debu yang mansura. Tidak!! Saya menyakini firman Allah

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, Maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

(Al-Baqarah: 274)

Jangan kau alas hatimu itu,

Dengan secebis warna kehitaman,

Dialah seperti anai-anai,

Lambat laun hancurlah dirimu

Nau’zubillah daripada sifat yang menghanguskan kayu api SEDEQAH saya. Namun terus terang saya katakan saya punya sifat dengki dan iri hati. Dengki dengan orang yang memiliki lebih ilmu yang menggunung tinggi dan orang yang lebih banyak berSEDEQAH.

Anda ada prinsip saya ada prinsip

Sebagaimana saya menyantuni prinsip saudara, railah prinsip saya

Saya terbuka mengubahsuai prinsip saya

Kendatipun saya tiada hak mempertikai konsistensi prinsip saudara.

Biarkan saya terus BERSEDEQAH

Dia Adalah Milik DIA

Saya menerima panggilan sekitar jam 4 pagi memaklumkan pemergian sahabat Kamalruzaman Abdullah. Saya bertanya berkali-kali untuk pengesahan, kerana mungkin kerana seawal pagi itu, saya sedang bermimpi. Perasaan sayu makin menyelinap ke segenap sanubari saya, apabila bertalu-talu menerima pesanan ringkas sms yang menyakinkan saya bukan berada di alam tidur.

Saya bukanlah  sahabat yang sudah lama mengenali beliau, sekadar mengenali secara jauh sewaktu dia menjawat Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenajung (GAMIS), tambahan dia aktif di Pulau Pinang. Saya menjadi sedikit rapat apabila dia pulang ke Kelantan bersama menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (DPPKB). Lebih merapatkan saya dengan ustaz Kamal kerana bilik pejabat kami hanya dipisahkan oleh dinding. Kerana itu bagaimana untuk saya menyeka airmata lelaki saya, untuk meratapi sekujur tubuh sahabat saya ini.

Masih terngiang-ngiang di deria pendengaran saya suara ketawa kecilnya. Sering kali tersenyum dan ketawa menandakan dia seorang yang riang dan tidak kedekut melontar senyuman.

Bila sahaja membicarakan Kamruzaman kepada sesiapa pun saya tidak akan terlepas menyebut bahawa beliau seorang yang cukup ikhlas. Ikhlas ketika berbicara, ikhlas melemparkan senyuman dan ikhlas bila melontarkan pandangan dan kritikan. Pandangannya kadang-kadang lantang, tetap tetap berhemah dan berhikmah.

Dia seperti pandai memujuk saya ketika saya dimain dengan pelbagai perasaan. Kita sebagai manusia, lebih-lebih lagi yang bekerja dalam jemaah akan berdepan dengan pelbagai perasaan bercampur-campur. Kata-kata ringkasnya memberi impak yang menenangkan saya. Samada ia dilontar antara emapat mata, mahupun melalui laman sosial muka buku. Kerana itulah secara peribadi saya ulangi Ustaz Kamaruzaman mempunyai sikap yang cukup-cukup ikhlas.

Saya tidak kekok berbicara dengan dia tentang beberapa isu yang saya akan berfikir banyak kali jika saya ingin lontarkan kepada orang lain. Kerana saya cukup yakin dengan keikhlasan hatinya yang luhur itu. Tidak perlulah saya panjangkan apakah topik dan isunya.

Sesiapa yang tidak mengenali beliau, mungkin mengira dia mempunyai sifat sedikit sombong. Tidak! Saya menafikan sekeras-kerasnya. Janganlah kerana seseorang kurang bercakap, lekas dilabel sombong. Ya, Kamaruzaman adalah termasuk kategori yang tidak bercakap banyak, tetapi apabila beliau mula bercakap penuh dengan idea dan pandangan yang baik.

Sewaktu dia mula menampilkan diri dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu awal tahun ini, Cikgu Wan Rahim, YDP kami mula merisik menanya saya, untuk mengenal siapa Kamalruzaman.

“Dia baru sahaja nak naik…” sepontan saya bersuara kepada Dato’ Takiyuddin sewaktu menziarahi rumah ayahandanya di Wakaf Che Yeh.

“Erm.., dia ada potensi besar dan dia yang nampak akan mengganti Cikgu Zuhairi Ketua Pemuda (DPPKB)” balas Dato’ Taki.

Selain menjawat Setiausaha DPPKB, dia adalah Timbalan Pengarah 3 DUN Bunut Payong. Saya baru saja ingin meraikan kemunculannya di Bunut Payong, dia sudah meninggalkan saya………

Kali terakhir saya bersama beliau pada 8 November 2011, dalam bilik pejabatnya, sehari sebelum dia ke Kuala Lumpur untuk bersama Dato’ Husam menyerahkan petikan ucapan Tun Abdul Razak berkenaan tuntutan royalti minyak Kelantan. Dua hari selepas itu saya dan kami kehilangan dia. Dia adalah milik DIA. Milik Allah.

Menambah kesayuan saya di saat dia pergi saya baru sahaja selesai menyiapkan projek video PAS Kawasan Kota Bharu untuk majlis makan malam yang sepintas lalu turut saya selitkan aksi sepontannya.

Dia pergi selepas menunaikan suatu tanggungjawab yang besar, memperjuangkan satu hak dan tuntutan. Bukan hak dia tetapi hak ummah, hak rakyat Kelantan.

Kerana perjuangannya adalah melawan suatu kezaliman dan kemungkaran, kita menyakini  bahawa Allah Taala akan menempatkan Ustaz Kamalruzaman bin Hj Abdullah bersama dengan para syuhada dan solihin. Dia terlebih dahulu diambil oleh Allah, kerana Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya dia adalah milik DIA.

Auto Show Anak Muda Ramadhan 1432


*12 Ramadhan 1432 *2.30 ptg – 11 malam *Di Qaryah Ramadhan Kota Bharu

Perasmian oleh YB Tuan Hj Abdul Fattah Mahmod (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan)

 

Penutup oleh YB Dato’ Hj Takiyuddin bin Hj Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan)

Auto Show l GTR l Viva l Myvi l Vespa l Motor Honda Klasik l Tendangan Penalti l Kuiz l Dart

Kembali Meneguk Nil (2)

 

..Mengalirlah Nil kerana TuhanMu..

Nil yang tak pernah kering

Aku memang sedikit keliru ketika menyusuri jalan menuju ke Medan Tahrir. Jambatannya yang beberapa buah merentangi sungai Nil lebih membingungkan. Samada lingkaran jalan yang baru dibina atau sememangnya minda saya sudah kelupaan.

Hanya bila betul-betul berada di persisiran sungai Nil aku baru boleh mengecam bahawa aku berada di Tahrir. Tahrir adalah sebuah bandar perniagaan dan perdagangan di kota Kaherah. Di sini tertompoknya pelbagai pusat kewangan bank. Kedutaan-kedutaan juga kebanyakkan besar melata berhampiran dengan Medan Tahrir.

Jika berada di waktu malam di persisiran Sungai Nil, anda tidak akan merasa seperti berada di Kaherah. Kilau airnya memantulkan kerdipan cahaya lampu yang pelbagai. Cruise yang menelesuri sungai yang bersejarah itu cukup mengasyikkan mata memandang. Katanya di atas kapal-kapal kecil itu ada tarian gelek yang terkenal di bumi Firaun ini! Tapi jangan terkejut! Bukan orang Mesir kalau tidak tahu gelek! Aku tak pasti betul benarnya. Itu kata mereka.

Di persisiran Nil yang indah ini juga arab menjual syai. Teh Arusya yang terkenal itu. Modal mereka hanya sebiji cerek, beberapa biji gelas dan dapur yang dihidupkan dengan bahan bakar buangan. Aku pernah teruja untuk cuba meneguknya sambil menghirup udara Nil. Tapi bila dimaklumkan bahawa mereka hanya menimba air dari sungai itu untuk diadun menjadi syai, selera aku segera terbantut.

“Erk!”

Nil punya sejarah yang tersendiri. Nilai sejarah yang tidak ternilai dan tinggi.

Tamadun manusia pernah wujud di sepanjang sungai yang menjangkau 6,500 km ini. Dikatakan Sungai Nil tiada penghujungnya kecuali ia berakhir di syurga. Wallahua’lam. Sungai ini menganjur antara dua benua. Afrika dan Asia Timur Jauh.

Sungai Nil pernah menghanyutkan susuk Nabi Mulia Saidina Musa, sampai ke tangan Ratu Aisyah, sekaligus menyelamatkan baginda daripada polisi Firaun ketika itu membunuh setiap anak yang dilahirkan lelaki, kerana dibimbangi akan merampas kerajaannya. Itu adalah tilikan yang kebetulan benar daripada ahli nujum Firaun.

Pada zaman pemerintahan Kahlifah Umar al Khattab berlaku suatu lagi peristiwa yang cukup ajaib, menyerlahkan karamah dan kemuliaan Saidina Umar.

Semenjak 6,000 tahun sebelumnya Sungai Nil menjadi sumber rezeki dan sebagai nadi pengangkutan rakyat Mesir. Tanah deltanya menyubur dan sibuk dengan industri pertanian. Suatu ketika Sungai Nil menjadi kering apabila tibanya bulan Bu’nah. Bu’nah adalah satu bulan mengikut kalendar Mesir purba. Ketika itu Islam belum sampai di Mesir.

Mereka percaya bahawa sungai Nil mempunyai penunggu yang memerlukan mereka menghantar korban gadis cantik kepada Nil setiap kali datangnya bulan Bu’nah. Hakikatnya Bu’nah (antara Jun dan Julai) adalah musim panas dan kemarau di Mesir.

Ketika Saidina Amru bin A’sr mula membawa Islam ke Mesir, beliau menyedari wujudnya amalan khurafat ini dalam masyarakat kuno Mesir.

Amalan karut ini ternyata jelas ditolak Islam. Justeru, sebaik sahaja kedatangan Amru bin al ‘As ke Mesir membawa panji-panji Islam, beliau mengutuskan surat kepada khalifah Umar memaklumkan amalan jahiliah penduduk Mesir. Khalifah Umar segera memerintahkan Amru menulis sepucuk lagi surat. Surat itu ditujukan khas untuk sungai Nil.

“Daripada hamba Allah Umar Amirul Mukminin kepada Nil Penduduk Mesir..seandainya engkau mengalir sebelum ini dengan kehendak dan urusanmu, maka engkau tidak perlu mengalir, kami tidak berhajat kepadamu.Sebaliknya jika engkau mengalir dengan kehendak dan urusan Allah al-Wahidul Qahhar, maka aku memohon ke hadrat Illahi agar mengalirkan mu”

Sesetengah pendapat lain menyebut khalifah Umar membalas surat Amru al ‘As dengan mengirim sebingkis surat dikirim khas kepada Nil. Amru diminta melemparkan surat itu ke dalam sungai Nil sebagai ganti kepada gadis korban. Surat tersebut antara lain berbunyi :

“Wahai sungai Nil, kamu ialah makhluk dari makhluk Allah, maka mengalirlah sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu.”

Sebaik Amru melontarkan surat itu ke sungai, dengan izin Allah mengalirlah air di sungai. Dengan karamah Umar al-Khattab r.a, sungai Nil tidak pernah kering hingga ke hari ini.

Aku mengerling ke puncak Cairo Tower (Buruj Al Qaherah). Selalunya ada kelibat manusia di puncak sana. Tetapi mungkin bahang Revolusi Mesir, 25 Januari  yang masih terasa, aktiviti pelancongan Mesir agak terjejas. Zainudin menyebut beliau beberapa kali menerima panggilan tawaran pakej daripada hotel-hotel ternama di sekitar kota Kaherah.

Medan Tahrir aman sebagaimana seperti saya tinggalkan dahulu. Tiada sedikit pun kesan-kesan kerosakkan walaupun tunjuk perasaan Revolusi Mesir berlangsung beberapa minggu di situ. Hanya beberapa kalimah di dinding tembok yang diconteng sebagai mengecam Hosni Mubarak. Itupun seperti dipadamkan semula.

..Medan Tahrir..

medan tahrir medan syuhada’

Di sinilah terkorbannya beberapa syuhada’ akibat tindakan ganas polis Mesir. Ada pihak yang mengesyorkan Medan Tahrir ditukarkan nama kepada Medan Syuhada’. Mungkin juga mereka ingin memadamkan perkataan tahrir kerana sejarah nama tahrir juga tidak begitu baik. Tahrir dalam bahasa arab mengambil kata asal hur yang bermakna bebas dan merdeka. Ada versi sejarah merakamkan medan tahrir diberi nama sempena pembebasan wanita Mesir daripada tudung dan jilbab! Masya Allah, sampai begitu Islam di Mesir dirosakkan oleh pemerintah terdahulu. Lihatlah akibat kerosakkan yang mereka lakukan. Faruq digulingkan dengan hina. Berapa ramai pimpinan dan anggota Ikwanul Muslimin dibunuh oleh Presiden Jamal Abdul Nasir. Anwar Sadat mementerai perjanjian Camp David dengan Amerika Syarikat pada 17 September 1978 yang tidak banyak menguntungkan Mesir. Anwar Sadat mati di tangan askarnya sendiri dalam satu upacara perbarisan. Selepas daripada peristiwa itu Mesir tidak mengadakan sambutan seumpama itu kecuali secara tertutup sahaja.

“Firaun mati dalam gelombang lautan air, Mubarak jatuh kerana gelombang lautan manusia,” aku bermonolog sendirian.

Aku dimaklumkan beberap hari selepas Mubarak istihar letak jawatan, masih ada perhimpuan mingguan selepas solat Jumaat. Hanya beberapa minggu sahaja. Kemudian ia berakhir dengan kemenangan berpihak kepada rakyat yang mendapat sokongan tentera.

Aku masih ingat lagi bagaimana tersiksanya pengguna jalanraya setiap kali Presiden Hosni Mubarak keluar kemana-mana. Jalan ditutup beberapa jam. Sesetengah tempat polis membentuk rantaian manusia semata-mata menjaga keselamatan sayyidu rais mereka.

“Yakhribitak!!,” sumpah mereka.

Negara Mesir sekarang dikawal sepenuhnya oleh tentera. Polis lumpuh dan hampir tidak beroperasi. Bila menyebut tentera, mengingatkan saya kepada seorang pegawai tentera yang berada berhampiran dengan kediaman saya di Hayyu Zohor. Orangnya cukup alim lagi warak. Dia mengimami solat terutamanya maghrib, isyak dan subuh di amsjid kecil Hayyu Zohor. Ada kesempatan dia pasti menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat. Kerana itu aku seperti tidak terkejut bila mendapat tahu bahawa askar berada di pihak rakayat Mesir.

“Inikan Zamalek?” aku bertanya.

“Bukan ustaz Din, sebelah sana sikit Zamlek.”

Ternyata ingatanku semakin melemah.

“Kita solat maghrib di Masjid Azhar Din,” aku menyarankan.

..bersambung..

  • ..Prolog..

من شرب من ماء النيل عاد اليه

“Siapa yang meminum air Sungai Nil akan kembali kepadanya”

“Suatu masa pasti aku akan kembali padamu..”

Itulah doaku 12 tahun yang lampau. Sedekad lebih adalah jangka masa yang agak lama. Umur Ahmad Harith Marwazi sudah 11 tahun. Umur itulah aku meninggalkan Perlembahan Nil, Negara Sejuta Ulama, bumi bertuah Ardul Kinanah.  Hanya mereka yang pernah menjejaki negara Mesir yang tahu dan arif apa pengertian sebenar Ardul Kinanah. Kerana gelaran Ardul Kinanah kami menjaga tingkah laku dan perkataan. Kami dberi ingat oleh abang-abng terdahulu jangan cakap sebarangan, jangan cakap besar dan apa lagi cakap bohong! Sesungguhnya bumi yang pernah menanggung jasad mulia Nabi Musa ini juga pernah melahirkan Firuan Ramses yang akhirnya bumi mulia itu juga menelan di lautan gelombangnya.

 

Hampir 10 kali aku 'terpaksa' mengunjungi Piramid!

 

  • ..Tiba Di Kaherah..

kalau saja-saja nak masuk kena bayar!

Udara dingin di Cairo International Airport menyelinap hingga ke tulang hitam, meskipun tubuhku diselimuti jaket tebal yang baru aku beli di pasaraya Giant Kota Bharu. Nak berjalan jauhlah kononnya. Sekilas terimbau pertama kali dulu sampai ke tanah Al Azhar. Musim yang sama, musim syitak, musim dingin. Mulutku jadi pecah-pecah dan pedih. Kulit terasa kekeringan sehingga terpaksa melumur krim Nivea. Macam perempuan. Hidung seperti disumbat, tengkuk pula sedikit berkahak. Itu dahulu. Kali ini aku tidak pula mengalami sintom-sintom itu.

“Hari ni memang udara agak sejuk sekali,” kata Ustaz Zainudin selepas kami berpelukan. Berpelukan kanan dan kiri adalah budaya masyarakat arab yang turut menjadi buadaya pelajar kita di Mesir. Terutamanya bila lama tidak bertemu dan lama akan berpisah. Budaya ini secara lansung akan hilang bila pulang ke tanah air!

Memang cukup lama aku dan Zainudin tidak ketemuan. Semenjak kepulanganku lewat tahun 1999, inilah pula aku berjumpa sahabat lamaku ini. Ketika Zainudin pulang ke Pasir Mas 2004 dulu pun kami tidak berjumpa. Dia kelihatan cekap sekali mengurusi bas-bas yang akan terus menghantar pelajar ke muhafazah masing-masing. Kaherah dan Manusrah. Tanta, Damanhur terus ke Iskandariah.

Seingat aku dulu Zainudin tidaklah selincah seperti sekarang. Dalam program-program anjuran Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) dia lebih cekap berada di dapur. Mungkin pengalaman mengajarnya lebih banyak perkara. Adik-adik banyak merujuk kepadanya. Abe Din, panggil mereka. Sementelah dia sekarang berstatus Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM. Tahniah Ustaz Din. Pahalamu cukup besar mempertahankan legasi generasi terdahulu. Cuma, bila agaknya ya enta akan pulang ke tanah watanmu.

 

  • ..Memoir..

penyambung legasi generasi dulu

KPKM adalah persatuan yang menaungi anak-anak Kelantan di bumi Seribu Menara ini. Ia mula diasaskan oleh ulama-ulama terdahulu lewat tahun 1965 dulu.

Tok Kenali dianggap orang pertama yang menjejaki univeresti Al Azhar, unversiti tertua di dunia pada awal abad 20. Sesudah kedatangan beliau, angkatan kedua pula menyusul pada tahun 20-an dan 30-an. Antaranya Dato’ Muhammad Maher bin Ismail (bekas mufti Kelantan), Tuan Nik Abdullah bin Haji Wan Musa, Wan Mustafa bin Che Ngah (meninggal di Mesir), Dato’ Nik Mustafa Nik Mahmud, dan lain-lain ulama besar yang terakam dalam sejarah.

Selepas kemerdekaan, perkembangan pembelajaran di Malaysia bertambah pesat dan rakyat Malaysia telah mendapat kemudahan untuk menyambung pengajian mereka ke Timur Tengah. Universiti al-Azhar telah memberi lampu hijau dan memberi pengiktirafan kepada graduan-graduan Kolej Islam Klang dan Pusat Pengajian Tinggi Islam, Nilam Puri untuk menyambung pengajian mereka. Peluang ini tidak dilepaskan oleh anak-anak Kelantan untuk menyambung pengajian mereka ke Timur Tengah. Pada tahun 1980, bilangan pelajar Kelantan telah bertambah kepada 221 orang. Pada sesi 1995/1996 pula, meningkat kepada lebih kurang 1000 orang pelajar.

Bilangan pelajar Kelantan bertambah, menjadikan pengurusan pelajar menjadi bertambah dan semakin komplek, terutamanya melibatkan urusan kemasukkan ke universiti dan urusan dengan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah. Bertitik tolak daripada itulah, anak-anak Kelantan di bumi Mesir telah bersepakat untuk menubuhkan satu organisasi bagi menanggani pelbagai masalah yang dihadapi mereka. Pada hari Jumaat 28 Syawal 1385 Hijrah bersamaan 18 Februari 1965 Masehi, Panitia Pelajar-pelajar Kelantan Kaherah telah ditubuhkan.

Antara  perintis yang telah mengasaskan Panitia Pelajar-pelajar Kelantan Kaherah ini ialah:
(1) Ustaz Ali Harun (Allahyarham)
(2) Ustaz Abdullah Ahmad
(3) Dr.Wan Ahmad D.S
(4) Ustaz Hussin Yaacob
(5) Ustaz Yahya Othman
(6) Ustaz Abdullah Abu Bakar
(7) Ustaz Mahyuddin Musa
(8) Ustaz Abdul Latif

Perkembangan semasa dan pertambahan ahli persatuan ini membawa kepada perubahan nama Panatia. Dengan persetujuan ahli, pada tahun 1975, Panitia Pelajar-pelajar Kelantan Kaherah telah ditukar nama kepada Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM).

 

  • ..Asrama Kelantan Lama..

Setelah tamat Perang Dunia kedua, bilangan pelajar-pelajar Kelantan di Mesir kian bertambah dari tahun ke tahun. Pertambahan bilangan ini amat menyulitkan pelajar-pelajar Kelantan untuk mengadakan pelbagai aktiviti di rumah yang terletak di Mansyiatul Bakri, Heliopolis, Roxy. Rumah tersebut telah dibeli pada tahun 1963 sebagai pusat pentadbiran dan tempat perhimpunan pelajar-pelajar Kelantan.

Pada tahun 1972, jawatankuasa tadbir KPKM telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Asri bin Haji Muda selaku Menteri Besar Kelantan pada masa itu untuk membeli suatu penginapan sebagai pusat operasi KPKM.

Walaupun pada peringkat awalnya peruntukan untuk membeli rumah baru telah diluluskan, pembelian ini terpaksa ditangguhkan setelah bajet tersebut ditarik balik disebabkan berlaku perang Mesir-Israel pada tahun 1973. Pada 2 September 1975, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi mencari dan membeli rumah baru.

Pada akhir tahun 1976, KPKM hampir berjaya memiliki dua buah pangsapuri tingkat empat di kawasan Abbasiah dan sebuah kediaman di Hadaiq Qubbah dan telah membayar wang pendahuluannya. Walau bagaiamanpun beberapa bulan kemudian tuan punya rumah berkenaan telah mengembalikan wang tersebut kepada KPKM kerana enggan menjualnya.

Pada tahun 1977, KPKM sekali lagi telah mengemukakan permohonan dan peruntukan membeli rumah baru sebagai pusat pentadbiran. Peruntukan ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Mohammad bin Nasir dan KPKM telah berjaya mendapatkan rumah di Masakin Othman. Rumah yang baru dimiliki ini juga tidak dapat memenuhi keperluan para pelajar disebabkan beberapa masalah yang timbul dengan tuan rumah tersebut.

Berikutan itu, sekali lagi permohonan diajukan kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk mencari rumah yang lebih sesuai. Pada 17 Februari 1980, satu jawatankuasa terdiri dari 13 orang ahli telah dibentuk bagi mencari rumah baru.

Akhirnya rumah yang terletak di No.21, Jalan Imam Ahmad Ibnu hambal, Hayyu Sabie telah dibeli pada 17 Zulhijjah 1400H bersamaan 26 Oktober 1980M oleh Dato’ Haji Mohamed bin Yaacob selaku Menteri Besar Kelantan pada masa itu.

  • ..Asrama Kelantan Baru..

Banyak berjasa

Pada awal tahun 80an timbul desakan dan permintaan daripada ahli-ahli KPKM untuk membeli sebuah lagi asrama bagi menampung jumlah ahli yang kian bertambah. Inisiaitif ke arah pembelian asrama ini mula dibuat pada sesi 1983/1984 di bawah kepimpinan Ustaz Ghazali Majis sebagai Ketua KPKM. Usaha tersebut kemudian diteruskan oleh kepimpinan KPKM pada tahun berikutnya.

Pada tahun 1985, pihak KPKM telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk membeli asrama baru Kelantan. Pada tahun berikutnya sekali lagi jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneruskan usaha murni tersebut. Setelah perundingan dibuat oleh KPKM dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak Kedutaan Besar Malaysia, satu persepakatan tercapai untuk membeli sebuah bangunan yang terletak di Syari’e El-Baramica, Hayy Sabie.

Proses pembelian Rumah Kelantan Baru (asrama) telah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Maka pada 23 Mei 1985, akad jual beli berlangsung antara pihak kedutaan Besar Malaysia Kaherah dengan pemilik bangunan tersebut dengan harga LE 315 000. Perjanjian ini bertempat di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dengan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Encik Abdullah Zawawi Haji Mohamad, Ketua Canseri, Encik Zulkifli Abdul Rahman, Encik Zainuddin Haji Ahmad (Bahagian Penerangan), Tuan Rumah, Abdul Adzim Ewadh el-Syarqawi, Syed Ali Shalabi (peguam) dan Haji Fathi (broker).

Wakil pelajar tidak dijemput dalam upacara tersebut. Walaupun perjanjian telah ditandatangi pada Mei 1985, akan tetapi pihak tuan rumah enggan menyerahkan bangunan tersebut. Keadaan ini berlarutan sehingga dua tahun. Hanya pada 21 Januari 1987, barulah diserahkan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia.

Apa yang mendukacita dan menimbulkan masalah ialah rumah tersebut diterima oleh pihak KPKM dalam keadaan yang menyedihkan, yang penuh kekurangan dan kerosakan. Justeru, usaha pembersihan dan pembaikan prasarana asrama secara bergotong-royong dan besar-besaran telah dijalankan oleh ahli-ahli KPKM. Pada Oktober 1987, Asrama Kelantan (Baru) mula didiami dan menempatkan pelajar-pelajar Kelantan walaupun tidak keseluruhannya. Asrama baru ini dinamakan ‘Asrama Pelajar-pelajar Kelantan Darul Naim, Republik Arab Mesir’

 

  • ..Ke Hayyu Sabie..

Berderum bas-bas meluncur menghantar 200 orang pelajar Malaysia ke destinasi masing-masing. Mereka pulang kerana Revolusi Mesir. Sesunggtuhnya keadaan yang memaksa untuk mereka pulang.

Aku seperti tidak sabar rasa untuk ke Rumah Kelantan Baru, tempat kami menabur budi menyemai bakti. Tempat kami mempersiapkan diri untuk berdepan dengan realiti. Realiti di tanah air yang meletak harapan yang tinggi kepada graduan Azhari.

Ternyata RKB masih seperti dulu, sebagaimana begitulah rupa Hayyu Sabie’ di Madinet An Nasr. Dewan Tok Kenali yang aku namakan masih seperti dahulu. Maktabah seperti tidak menjadi tempat rujukan kerana hampir semua pelajar mempunyai sumber rujukan sendiri.

“Ustaz Din nak berjalan ke mana?” Zainudin seperti menyedari aku tidak berapa ceria melihat persekitaran RKB yang tidak sepertinya dek tempias Revolusi Mesir.

“Iskandriah? Mansurah? Dumyat?” soalnya bertalu-talu.

Kami mengadap hidangan nasi di perpustakaan RKB. Lauk gulai kuning ikan Salamon dan ulam gergil bercicahkan sambal. Barang tentu akhawat yang masakkan.

“Entahlah Din, ana serupa jah mana-mana,” pingkasku sambil menelan nasi berulamkan gergil segar itu.

Ulam gergil agak terkenal kalangan orang arab dan melayu juga. Katanya ia ada khasiat tersendiri sehinggakan orang arab bermadah “kalaulah tuan tahu khasiat gergil, nescaya tuan tanamkan ia di bawah katil!”

“Pastinya ana nak ke Medan Tahrir, Azhar dan Hussin,”

“Ustaz Din ni serupa jah dengan ana.”

Kami ketawa kecil.

..bersambung..